Rabu, 4 Disember 2013

KJ: TNB jangan fikir untung semata

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini mengingatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya lebih prihatin kepada nasib rakyat dan tidak hanya memikirkan mengenai keuntungan sahaja.

Menurut Khairy yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan, kenaikan tarif elektrik tersebut tidak setara dengan peningkatan kos bahan api yang hanya menguntungkan TNB.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin
Katanya, kenaikan ini kelihatan seperti mementingkan kantung pemegang saham, bukan rakyat jelata.

"Sekarang rakyat dan komuniti perniagaan pula mengeluh tentang tarif elektrik yang akan naik awal tahun depan.

"Namun kita difahamkan bahawa peningkatan tarif elektrik ini bukan sekadar untuk menampung peningkatan harga bahan api, tetapi juga bagi menambahkan laba keuntungan TNB yang sudah berbilion ringgit.

"... oleh itu kepada TNB dan juga GLC-GLC yang lain, Pemuda mendesak janganlah terlalu mementingkan prestasi kewangan semata, tanggungjawab kepada rakyat jangan sesekali dilupa," katanya ketika memberi ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno di PWTC hari ini.

Ucapan Khairy itu mendapat tepukan gemuruh perwakilan.

Memetik laporan Bernama, subsidi elektrik dan gas akan disemak semula, dengan kadar purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Januari  2014.

Tarif elektrik semasa ialah 33.54 sen.


Sumber : Sinar Harian Klik disini

Mohd Kamal ganti Shafie sebagai KPD Sibu baharu

SIBU: Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Kamal Kordi yang ketika ini bertugas sebagai Komandan Kem Maktab Kuala Kubu Baru akan dilantik menjadi Ketua Polis Daerah (KPD) Sibu yang baharu mulai bulan ini.
ACP Shafie Ismail (Ketua Polis Daerah Sibu yang bakal digantikan)
Beliau akan menggantikan ACP Shafie Ismail yang akan mengambil alih jawatan Mohd Kamal di kem berkenaan.
“Kami akan bertukar jawatan,” kata Shafie yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sibu sejak enam tahun lalu.
Shafie memberitahu, jika tiada halangan, majlis serah terima tugas akan diadakan pada 16 Disember ini.

Shafie berasal dari Terengganu telah menolak tiga kenaikan pangkat sejak tahun lepas.

Menurut beliau, jika diberi peluang beliau akan memilih Sibu untuk bersara kerana beliau dan keluarga sudah sebati di sini.

Isterinya merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tung Hua di sini dan mereka dikurniakan enam cahaya mata berusia 16 hingga 25 tahun.

Shafie telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PRDM) selama 27 tahun.


Sumber : Utusan Borneo Klik disini

Selasa, 3 Disember 2013

Hishammuddin Dimasukkan Ke Hospital Kerana Saluran Arteri Sempit

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dimasukkan ke sebuah hospital swasta Isnin selepas mengalami masalah saluran arteri yang sempit.

Setiausaha Akhbarnya Azmi Akop berkata doktor telah menjalankan prosedur angioplasti pada 3 petang, semuanya berjalan dengan baik dan keadaan Hishammuddin, 52, stabil.

"Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan pada tengah hari tadi, dan telah diminta untuk berehat oleh doktor yang merawatnya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.

Beliau bagaimanapun kurang pasti sama ada Hishammuddin akan menyertai Persidangan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini yang berlangsung mulai hari ini hingga Sabtu.

"Segalanya bergantung kepada tahap kesihatan Naib Presiden Umno itu dan atas kebenaran doktor yang merawatnya," katanya.


Sumber : Bernama Klik disini

Lebuh Raya Pan Borneo perlu RM22b, siap 2025

KUCHING: Jumlah peruntukan untuk menyiapkan serta menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo secara keseluruhannya adalah RM22 bilion dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Namun begitu Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata, projek tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat tetapi berterusan untuk setiap lima tahun mengikut peruntukan tahunan.

“Pada tahun depan kita mempunyai peruntukan sebanyak RM800 juta untuk kerja-kerja menyiapkan dan menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo setelah ditambah dengan peruntukan lebihan daripada tahun ini.

“Namun begitu, kita harus bersikap realistik apabila melaksanakan projek dari segi kebolehan para kontraktor, bahan-bahan binaan serta peralatan yang mencukupi untuk membina jalan,” ujar Fadillah ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Futsal Terbuka Petra Jaya di Kompleks Sukan Satok kelmarin.Pada perlawanan akhir, pasukan KTT dari kawasan Tupong berjaya menguasai kejohanan dengan memenangi tiga daripada empat kategori yang dipertandingkan iaitu kategori lelaki terbuka, bawah 17 tahun dan bawah 12 tahun.

Para pemenang menerima hadiah berupa wang tunai, pingat, piala iringan serta piala pusingan yang menyaksikan sebanyak 80 pasukan melibatkan 800 pemain mengambil bahagian, anjuran Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok.

Sementara itu, pasukan Tidal Bore muncul juara bagi kategori wanita manakala pasukan N8 Satok memenangi kategori jemputan dan hadiah-hadiah pemenang disampaikan oleh Fadillah sambil diiringi Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Satok Iskandar Sharkawi dan Pengerusi KSK Satok Irwan Zulkarnain Mohd Hasbie.

Di samping itu, Fadillah turut mengumumkan perancangan fasa ketiga pembangunan Kompleks Sukan Satok termasuk pemasangan bumbung bagi gelanggang futsal akan diteruskan dalam masa terdekat bagi kemudahan serta menggalakkan aktiviti sukan dan riadah yang sihat di kalangan penduduk setempat.
Pada masa yang sama, beliau turut mengakui peruntukan untuk membina dan menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo adalah tidak mencukupi namun beliau akan tetap melaksanakannya mengikut keperluan negeri Sarawak.

“Saya mengakui peruntukan untuk menyiapkan serta menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo adalah tidak mencukupi namun kita akan tetap meneruskan pembinaan serta kerjakerja baik pulih mengikut keperluan negeri.

“Kita akan memberi tumpuan terhadap pembinaan serta kerja-kerja naik taraf di jalan-jalan yang diklasifikasikan sebagai kritikal bagi mengurangkan kesesakan serta kemalangan yang telah dikenal pasti oleh kerajaan,” jelasnya.

Menurutnya, beliau bukan sahaja akan memberi tumpuan kepada pembinaan dan menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo malah akan turut melaksanakan kerja-kerja naik taraf jalan di kawasan pedalaman.

“Secara keselurahannya, jumlah peruntukan yang diperlukan untuk membina serta menaik taraf jalan-jalan di negeri Sarawak pada tahun depan adalah RM2 bilion namun seperti yang saya nyatakan tadi ia akan dilaksanakan mengikut keperluan serta peruntukan yang diberikan,” kata Fadillah.


Sumber : Utusan Borneo Klik disini


“Jangan kerana perbalahan dalam parti, kami (ketua masyarakat) dipersalahkan." Temenggong Lu Kim Yong

Chin kata pelantikan ketua masyarakat khususnya muka baharu hanya daripada kumpulan Soon Koh

KUCHING: Ketua masya-rakat kaum Cina di sini semalam meluahkan rasa kesal dengan dakwaan Pre-siden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Peter Chin mengatakan pelantikan ketua masyara-kat khususnya beberapa muka baharu hanya daripada kalangan kumpulan yang menyokong Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh.

Mereka yang diketuai Temenggung Lu Kim Yong berkata dakwaan dibuat Chin adalah tidak berasas kerana mereka dilantik berdasarkan merit dan rekod sebelum ini sebagai ketua masyarakat dan tiada kena mengena dengan konflik dalaman SUPP ketika ini.

Lu menambah, pelantikan ketua masyarakat diperakui dan disyorkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di-sahkan oleh siasatan polis, Pejabat Daerah dan Pejabat Residen sebelum diluluskan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat.

ANGAN DIPOLITIKKAN: Lu (duduk empat kiri) dan Liu (duduk tiga kanan) bersama ketua masyarakat kaum Cina pada sidang media di Kuching semalam.
“Kami mesti menjelaskan bahawa ketua masyarakat adalah bebas daripada arena politik. Kami tidak terlibat dalam mana-mana konflik yang berlaku dalam parti (SUPP) ketika ini.

“Pelantikan kami ada-lah melalui proses yang telus tanpa agenda peribadi tersembunyi. Semua muka baharu yang dilantik baru-baru ini dan mereka dilanjutkan tempoh perkhidmatan berdasarkan kebolehan serta rekod perkhidmatan sebelum ini,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pemanca Liu Thian Leong serta kira-kira 20 kapitan dari bahagian Ku-ching, Bau dan Lundu di sini semalam.

Lu berkata masyarakat setempat tahu serta meng-iktiraf perkhidmatan diberikan beberapa kapitan dan disebabkan khidmat yang baik sebelum ini serta kesanggupan untuk terus berkhidmat ditambah keadaan fizikal masih sihat, ada dalam kala-ngan mereka dilantik semula dan tidak kurang yang mendapat pengesyoran daripada NGO.

Beliau berkata hanya sekumpulan kecil dalam parti itu yang tidak puas hati memberi kenyataan tidak adil mengenai pelantikan ketua masyarakat kaum Cina dan ia akan mengelirukan rakyat.

“Saya menggesa ahli politik atau pemimpin dalam parti menghentikan tuduhan seperti ini kepada kami yang selama ini sanggup berkhidmat di peringkat akar umbi hanya dengan bayaran sedikit.

“Jangan kerana perbalahan dalam parti, kami (ketua masyarakat) dipersalahkan.

“Pentadbiran di peringkat akar umbi kini dalam proses transformasi dan umum sedia maklum Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) sendiri mahu transformasi ini berlaku bermula dengan penambahan jumlah ahli majlis yang dibuka kepada wakil NGO dan golongan profesional tetapi bersyarat iaitu sanggup berkhidmat untuk rakyat. Itu yang lebih penting,” ujarnya.

Menurut Lu sebelum ini terdapat beberapa jawatan ketua masyarakat tidak diisi untuk beberapa tahun.

Malah ada yang sudah berusia atau tidak mampu berkhidmat tidak menerima sebarang jawapan rasmi daripada pihak relevan menyebabkan perkhidmatan kepada komuniti setempat terjejas.


Sumber : Utusan Borneo Klik disini

Sektor awam perlu ketepi pemikiran statik : Taib

KUCHING: Sektor awam perlu berani mengetepikan pemikiran statik supaya inovasi dan kreativiti mampu menjadi budaya yang berterusan dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan meneruskan pembangunan negara.


Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, budaya itu tidak boleh disekat bagi memastikan kreativiti dan inovasi menjadi amalan yang pastinya mampu memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Penyelesaian kepada cabaran yang timbul adalah melalui satu pendekatan berani iaitu melakukan inovasi pengurusan yang pesat, inovasi sektor awam mampu mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti dan mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan Ke-30 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam kelamrin.

Taib berkata, pentadbiran perkhidmatan awam negeri telah melalui proses inovasi berkat kreativiti dan kebijaksanaan pemimpin terdahulu bermula dari era pemerintahaan Brooke.
“Sarawak mempunyai geografi yang sangat luas dan mencabar, pusat pentadbiran telah dibahagikan kepada lima bahagian utama pada 1950-an yang berkembang menjadi sembilan bahagian pentadbiran pada 1980 dan seterusnya meningkat kepada 11 bahagian pada 2002 hingga sekarang.

“Untuk meneruskan inovasi terus berkembang dan unggul dalam sektor awam, maka sektor awam perlu menjadi lebih berani dalam mengetepikan pemikiran statik dan ketegaran supaya inovasi dapat menjadi satu budaya,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa masyarakat kini mempunyai jangkaan tinggi kepada perkhidmatan awam ekoran kesan daripada kepesatan teknologi maklumat.
“Justeru, adalah penting kakitangan perkhidmatan awam terus melakukan inovasi kerana ia adalah satu fenomena penting dalam dasar ekonomi inovasi-centrik, merujuk kepada ekosistem yang menyokong, bertenaga dan inklusif,” tegasnya.

Menurutnya lagi, banyak negara maju mencapai tahap pembangunan yang pesat akibat daripada kemampuan mereka dalam mencipta perkhidmatan dan produk inovatif dan kreatif walaupun dalam keadaan sumber semula jadi terhad.


Sumber : Utusan Borneo Sila klik


Isnin, 2 Disember 2013

Sistem Perbankan Internet Dan IBG Masih Kurang Popular Di Negara Ini - Abu Hassan Alshari

Penggunaan perbankan Internet dan sistem pemindahan dana antara bank secara dalam talian atau IBG, oleh pengguna di negara ini masih tidak popular, terutama dalam kalangan peniaga kecil.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abu Hassan Alshari Yahya berkata kurang yakin terhadap keselamatan sistem perbankan Internet atau tidak biasa menjalankan transaksi perbankan secara dalam talian, didapati merupakan faktor sistem itu masih kurang mendapat sambutan pengguna.

Abu Hassan Alshari bin Yahaya

Beliau berkata untuk makluman, kadar kerugian akibat penipuan perbankan Internet tahun ini menurun kepada 0.0001 peratus daripada jumlah transaksi sebanyak RM2.6 trilion.

"Berbanding tahun lepas, kadar kerugian ialah 0.0002 peratus daripada jumlah transaksi sebanyak RM3 trilion," katanya ketika merasmikan Pameran Bergerak 'Experience' IBG di sini hari ini.

Beliau berkata industri perbankan telah melaksanakan pelbagai langkah keselamatan tambahan bagi memastikan akaun dan transaksi yang dijalankan pengguna menerusi Internet selamat dan dilindungi.

"Ini termasuk memperkenal pengesahan faktor kedua bagi memastikan kesahihan pengguna perbankan Internet sebagai tambahan kepada penggunaan pengenalan kata laluan," katanya.

Pada sidang media kemudiannya belia berkata bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada e-pembayaran, BNM turut mengurangkan caj pembayaran perkhidmatan IBG bermula awal tahun ini.

"Caj bayaran bagi transaksi IBG melalui Internet dan perbankan mudah alih telah dikurangkan daripada RM2 kepada RM0.10 bagi setiap transaksi bermula 2 Mei lepas.

"Ini bertujuan memberi masa kepada pengguna selama 11 bulan untuk menerima pakai pembayaran secara elektronik sebelum caj memproses cek sebanyak RM0.50 dikenakan bermula 1 April 2014," katanya.

Katanya sehingga kini penggunaan cek masih lagi digunakan secara meluas walaupun 74 peratus atau 13.7 juta pengguna di negara ini mempunyai akses kepada perbankan Internet, dan hanya 43 peratus atau 5.9 juta orang daripadanya menggunakan sistem tersebut secara aktif.

Oleh itu pengguna diharapkan dapat mempelajari dan menambah keyakinan terhadap sistem perbankan Internet dan IBG menerusi kempen-kempen pendidikan pada pameran yang dijalankan hari ini.

"Ini kerana perbankan dalam talian membolehkan anda menikmati kemudahan urus niaga yang lebih pantas, pada bila-bila masa tanpa perlu bersusah payah beratur di kaunter untuk melakukan urusan perbankan harian," katanya.

Program sehari anjuran bersama BNM, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia, meliputi 12 bandar utama dalam negara itu bermula di Seberang Perai, Pulau Pinang pada Oktober lepas dan berakhir di Kuching, Sarawak Mac depan.

-- BERNAMA Sila klik disini

Ahad, 1 Disember 2013

RM55.5 Juta Dana Mudah Cara Diluluskan Kepada 17 Syarikat Bumiputera Sarawak

Sehingga Oktober, Jawatankuasa Dana Mudah cara Sarawak meluluskan RM55.5 juta untuk membiayai 17 syarikat Bumiputera, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Naroden Majais.

Dana mudah cara berjumlah 15 peratus daripada kos keseluruhan projek itu merupakan bantuan kepada syarikat Bumiputera yang melaksanakan projek dengan kos minimum RM5 juta.

Beliau berkata daripada 17 syarikat itu, 11 syarikat dipilih untuk dimasukkan dalam program Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras).

"Selain dana mudah cara, bagi tempoh yang sama, sebanyak RM1.46 juta diperuntukkan untuk Dana Bumiputera Program Peluasan Keusahawanan (BEEP) kepada 18 syarikat kecil Bumiputera di Sarawak.

"Menerusi bantuan dana, sama ada dari segi geran, subsidi mahupun pinjaman mudah, kerajaan yakin ia dapat memudahkan pelaksanaan pelaburan atau perusahaan yang diceburi usahawan kita," katanya pada Majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak 2013, di sini.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Naroden berkata semua program untuk membantu para usahawan di Sarawak tidak akan terlaksana atau dapat direalisasikan tanpa nasihat dan juga panduan yang betul, justeru kerajaan pusat dan negeri telah merangka pelbagai program untuk membantu mereka.

"Usaha mencerna ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara berterusan menjadi teras utama kerajaan negeri dan pusat dalam persediaan jangka masa panjang bagi menghadapi keadaan ekonomi dunia.

"Ini dapat dilihat melalui beberapa langkah proaktif bagi menggalakkan budaya keusahawanan terus berkembang dalam kalangan masyarakat, dan menerusi pengumuman Bajet 2014 baru- baru ini," katanya.

Dana mudah cara bernilai RM2 bilion diperkenalkan Teraju dan Unit Kerjasama Awam dan Swasta, Jabatan Perdana Menteri (Ukas) dengan projek minimum diturunkan kepada RM5 juta.

Sebelum ini, permohonan dana mudah cara melibatkan projek dengan nilai minimum RM20 juta ke atas.


-- BERNAMA



Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Tumpu Kawasan Kerap Kemalangan

LIMBANG: Kerajaan mem­beri tumpuan terhadap usaha menangani semua kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan di Sabah dan Sarawak di bawah Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang dilaksanakan secara berterusan sehingga 2025.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata untuk tujuan itu sejumlah RM500 juta diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangani ka­wasan berisiko selain menaik taraf serta menyelenggara jalan rosak.
Beliau berkata, di bawah Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo juga, pem­binaan jalan empat lorong dirancang dilaksanakan pada masa depan termasuk lorong memotong di setiap satu kilometer untuk menangani kawasan kerap kemalangan dan pemendekan jalan.

“Untuk Sarawak, kita ke­mukakan cadangan membina lebih 100 lorong memotong, menangani kawasan kerap kemalangan dan penamba­ikan jalan terutama Jalan Sibu-Bintulu dan Jalan Bin­tulu-Miri,” katanya ketika ditemui pada lawatan kerja di Jambatan Pandaruan, di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Neg­eri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan Residen Bahagian Limbang Maria Hasman.

Beliau berkata, peruntukan yang ada adalah untuk me­nangani masalah kesesakan lalu lintas, menambah baik jalan bagi memberi kesele­saan kepada pengguna dan mengurangkan kemalangan jalan raya.

Fadillah berkata, kerajaan turut mengenal pasti empat kawasan kerap kemalangan di Betong untuk aktiviti penye­lenggaraan dan penambah­baikan 20 baikan jalan bermula Januari depan.

“Ia akan dilaksanakan mengikut empat fasa bermula Januari tahun depan dengan peruntukan keseluruhan ber­nilai RM20 juta,” katanya.

Jelasnya, ia dijangka siap dalam tempoh setahun atau dua tahun bergantung kepada jenis projek yang ada.
“Jika membabitkan kerja meluruskan jalan, ia akan mengambil masa panjang manakala bagi kerja penam­bahbaikan tanpa melibatkan kerja pembesaran jalan atau pengambilan tanah biasanya ia siap lebih cepat,” tam­bahnya.
Mengulas mengenai Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, Fadillah berkata kerajaan bercadang untuk membina empat lorong kes­eluruhan bagi jalan di Sabah dan Sarawak.

“Buat masa ini, kita tid­ak akan membuat empat lorong keseluruhan tetapi fokus kepada pembinaan jalan memotong setiap satu kilometer menangani kawasan berisiko kemalangan dan pe­mendekkan jalan mengikut keutamaan,” jelasnya.

Tambahnya, jawatankuasa khas ditubuhkan bagi me­nangani dan mengenal pasti masalah penyelenggaraan jalan di negeri ini.

Dalam pada itu, kerajaan tidak bercadang membina jalan menghubungkan Miri terus ke Limbang tanpa mela­lui Brunei Darussalam demi memelihara hubungan baik antara kedua-dua negara.

“Kita melihat banyak perkara khususnya rakan kita Brunei untuk memeli­hara hubungan baik antara Sarawak, Sabah dan Brunei sebagai saudara serantau.

“Apapun keputusan yang kita lakukan biarlah, ia meme­nangkan kedua-dua pihak,” katanya.

Terdahulu, pada majlis makan malam dan taklimat Lembaga Pembangunan Perindustrian Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini, Fadillah menjelaskan bahawa sejumlah RM70 juta dipe­runtukkan kepada Limbang dan RM70 juta lagi kepada Lawas bagi pembangunan dan penambaikan jalan raya di kawasan itu.

Peruntukan itu membabit­kan projek diluluskan, per­ancangan dan pelaksanaan projek di kawasan utara negeri Sarawak.

Sumber : Utusan Borneo Sila klik disini

Hapus Salah Tanggap Tentang Masa Depan Bidang Teknikal - Taib Mahmud

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata dengan perkembangan sektor perindustrian di Sarawak, ia sepatutnya menghapuskan salah tanggapan tentang masa depan pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang teknikal.



Beliau berkata masyarakat perlu mengikis tanggapan tentang peluang terhad pelajar jika mereka mengambil jurusan teknikal kerana landskap ekonomi negeri itu sudah berubah apabila muncul banyak peluang pekerjaan berasaskan perindustrian.

"Masih ada pelajar yang ragu-ragu untuk mengambil bidang teknikal sebagai pilihan utama kerana beranggapan peluangnya (pekerjaan) terhad. Ini tidak benar, dahulu memang betul sektor perindustrian negeri ini hanya kira-kira 10 peratus, namun kini sudah ia meningkat kepada 26 peratus.

"Lebih banyak peluang pekerjaan di sektor teknikal akan muncul melalui projek di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak," katanya semasa merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak 2013 yang bertemakan 'A Journey of Progress' di Samarahan, Sabtu.

Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datuk Len Talif Salleh.

Abdul Taib berkata melihat kepada perkembangan sektor perindustrian, maka para pelajar perlu mengambil peluang mempersiapkan diri dan menyasarkan pencapaian mereka dalam bidang itu pada masa hadapan.

"Pelajar-pelajar perlu mempersiapkan diri masing-masing. Fikir untuk tempoh masa 20 tahun akan datang dengan kedudukan mereka merebut peluang-peluang yang muncul hasil perubahan corak ekonomi ke arah negeri perindustrian.

"Mereka perlu faham, pada masa hadapan majikan akan lebih memerlukan pekerja berkemahiran," katanya.

Sehubungan itu Abdul Taib memuji langkah yang diambil agensi seperti Yayasan Sarawak yang membelanjakan RM30 juta sebagai bantuan pendidikan tinggi dan giat mempromosi pendidikan teknikal kepada rakyat Sarawak.

Sementara itu Len Talif yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) berkata prestasi pelaksanaan promosi oleh TEGAS amat membanggakan apabila berjaya mendekati kira-kira 125,000 pelajar Tingkatan Tiga hingga Enam di seluruh Sarawak untuk mengambil jurusan teknikal.


- Bernama

KPN beri amaran kepada kolumnis Mariam Mokhtar

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (Gambar) memberi amaran kepada kolumnis freemalaysiatoday.com Mariam Mokhtar supaya tidak menulis artikel yang boleh disifatkan sebagai berbaur hasutan. 

Ketua Polis Negara
Beliau tidak senang dengan artikel tulisan Mariam bertajuk 'One Ideology, Two Reactions', dalam portal berita itu semalam yang mempertikai layanan berbeza kerajaan berhubung kepulangan dua anggota radikal komunis kelahiran Malaysia -- abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dari Bangkok, Thailand dan Siti Aishah Abdul Wahab, yang terpengaruh dengan ideologi politik komunis serta didakwa dijadikan hamba di London selama 30 tahun. 




Sumber : Berita Harian Sila klik disini

Jambatan Bebas Tol Malaysia-Brunei Dirasmi Pada 8 Dis 2013

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah akan merasmikan jambatan tanpa tol Malaysia-Brunei bernilai RM25 juta, yang menghubungkan Limbang di Sarawak dan daerah Temburong di Brunei, pada 8 Dis ini.

Menteri Kerjaya Datuk Fadillah Yusof (Gambar) berkata tarikh itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini.

"Selain pembukaan jambatan itu, Kementerian Kerjaya akan mempertingkat tahap infrastruktur di Limbang dan Lawas," katanya pada majlis makan malam dan taklimat Lembaga Pembangunan Perindustrian Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini malam ini.

Beliau berkata Kementerian Kerjaya juga menyalurkan peruntukan berjumlah RM140 juta kepada Jabatan Kerja Raya Sarawak bagi pembangunan serta penambahbaikan jalan raya di Limbang dan Lawas dengan setiap kawasan menerima RM70 juta.

Jambatan itu umpama mimpi menjadi kenyataan kepada individu yang kerap berulang alik dari Sarawak, Sabah dan Brunei kerana selama ini mereka terpaksa beratur lebih lima jam untuk menaiki feri menyeberangi Sungai Pandaruan, yang mengambil masa kurang lima minit untuk tiba di setiap destinasi.



Sumber : Bernama Sila klik disini

Sabtu, 30 November 2013

Petronas Lulus 13 Pakej Kontrak Bernilai RM10 Bilion Kepada 6 Syarikat Tempatan

Petronas meluluskan 13 pakej utama, kontrak kerja luar pesisir bagi pengoperasian dan perkhidmatan untuk tempoh lima tahun bernilai kira-kira RM10 bilion, kepada enam pembekal tempatan. Kerja-kerja itu diluluskan kepada Kencana HL Sdn Bhd, Dayang Enterprise Sdn Bhd, Petra Resources Sdn Bhd, PBVJ Sdn Bhd, Carimin Engineering Services Sdn Bhd dan Sigur Ros Sdn Bhd, untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini.
Kontrak itu melibatkan pemasangan, pengoperasian, perkhidmatan penyelenggaraan bagi kemudahan luar pesisir dan keperluan tenaga manusia bagi pelaksanaan skop kerja masing-masing. "Kontrak utama itu merupakan perakuan Petronas terhadap keupayaan penyedia perkhidmatan tempatan, termasuk syarikat-syarikat Bumiputera," kata Naib Presiden Pengurusan Petroleum Ramlan A. Malek dalam satu kenyataan hari ini.

Enam kontraktor akan menyediakan perkhidmatan pemasangan dan pengoperasian serta perkhidmatan penyelenggaraan utama kepada sembilan kontraktor perkongsian pengeluaran Petronas, termasuk Petronas Carigali Sdn Bhd, Sarawak Shell Bhd, Sabah Shell Petroleum Co Ltd dan ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc.

Kontrak itu merupakan antara projek penyelenggaraan terbesar Petronas ketika ini. Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Petronas untuk terus mengoptimumkan aktiviti penghantaran dan luar pesisir dari segi kos dan jadual, dan pada masa yang sama memacu dan menyokong keupayaan dalam kalangan kontraktor perkhidmatan Malaysia.

Mangsa kebakaran terharu di atas lawatan takziah YB Datuk Alexander

Song, 23 November 2013 (Sabtu) - Ahli Parlimen P.215 Kapit, YB Datuk Alexander Nanta Linggi yang juga selaku Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ditemani bersama rombongan telah turun menziarahi mangsa kebakaran rumah yang terletak di Kampung Gelam, Song, Kapit minggu lalu.

Ketibaan YB Datuk Alexander tiba di jeti Song untuk melawat keluarga mangsa
Kehadiran beliau disambut baik oleh penduduk tempatan disitu. Ahli Parlimen Kapit itu juga telah menyampaikan sumbangan kebajikan kepada mangsa kebakaran bagi meringankan beban mereka. Memetik ucapan beliau "Kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat berkenaan isu kebajikan rakyat".

Di kesempatan itu juga, beliau juga turut memberi kata-kata semangat kepada keluarga mangsa kebakaran, supaya banyak bersabar dan tabah dalam menghadapi segala ujian.

Gambar keadaan rumah yang habis ranap selepas musibah tersebut
Menurut salah seorang penghuni rumah berkenaan, Hassan Tahir, punca kebakaran adalah disebabkan litar pintas yang telah menyebabkan rumah tersebut mengalami kebakaran teruk. 

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.48 Pelawan memberitahu, rumah berkenaan adalah merupakan rumah pusaka keluarganya yang turut didiami oleh kakak dan beberapa pekerjanya.
Kelihatan YB Datuk Alexander sedang menyampaikan sesuatu perkara kepada keluarga mangsa


Kebakaran pada pukul 3:00 petang Jumaat lepas menyebabkan keluarga berkenaan tinggal sehelai sepinggang. Hassan Tahir, ketika ditemui melahirkan rasa terharunya atas kesudian Ahli Parlimen Kapit meluangkan masa melawatnya sekeluarga dan amat bersyukur di atas perhatian yang ditunjukan oleh beliau.

"Kami amat terharu dan hanya ucapan terima kasih mampu saya ucapkan di atas keprihatinan YB Datuk yang sudi datang melawat kami di sini," tambahnya lagi.



p/s Salam takziah dan semoga keluarga magsa tabah menghadapi dugaan dan juga diharap wakil rakyat kerajaan akan terus menyumbangkan usaha murni dalam melaksanakan tanggungjawab agar mampu menjadi contoh untuk generasi pemimpin di masa hadapan. 

Jumaat, 29 November 2013

Penjawat awam dilarang buka akaun FB rasmi

Penjawat awam dilarang membuka akaun Facebook (FB) rasmi tanpa arahan ketua jabatan ma-sing-masing bagi mengelak sebarang masalah timbul berikutan penglibatan dalam penggunaan laman sosial itu.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani (Gambar), perintah itu termaktub di dalam Perintah Am dan mana-mana penjawat awam yang melanggar perintah tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib.

“Seperti semua sedia maklum, Perintah Am ada menjelaskan penjawat awam di negara ini adalah dilarang untuk membuka akaun rasmi FB, dan sekiranya didapati mereka melanggar perintah ini, maka pihak kerajaan berhak mengambil tindakan tatatertib.

“Namun, ia merupakan di luar kawalan kerajaan seandainya mereka masih membuka akaun FB peribadi di luar pengetahuan kami.

“Setakat hari ini, pihak kami belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung perkara ini,” katanya pada sidang media Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan Ke-30 di sini, semalam.

Beliau berkata, setiap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilengkapi dengan portal rasmi yang boleh dilayari oleh orang awam yang ingin mengetahui sebarang maklumat terbaharu daripada jabatan tersebut.
Justeru, menurutnya, JPA tidak memerlukan sebarang akaun FB memandangkan portal rasmi itu sudah memadai untuk kegunaan orang awam.

Beliau menyokong ulasan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini berkenaan isu penglibatan orang awam dalam penggunaan laman sosial FB yang boleh memudaratkan sekiranya tidak dipantau.

Selain itu, katanya, penglibatan orang awam dalam jaringan sosial itu kini menjadi cabaran kepada kerajaan ter-utama dalam usaha mengawal penggunaannya agar tidak mengundang masalah kepada kehidupan seharian.
“Pihak kerajaan akan mengkaji serta membuat pantauan secara berterusan agar sebarang masalah yang timbul berkaitan laman sosial ini boleh dielakkan. Pada masa sama, saya menyeru orang ramai agar mengguna-kan laman Internet dengan sebaik-baiknya,” katanya

Sumber : Borneo Post Online  Sila klik disini

KDN beri amaran jangan bangkitkan isu perjanjian Malaysia

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) mengingatkan mana-mana pihak termasuk anggota Parlimen supaya tidak membangkitkan isu perjanjian penubuhan Malaysia kerana ia boleh memecah-belahkan masyarakat di negara ini.

"Sekarang saya hanya memberi amaran supaya mereka mengetahui skop dan batasan...supaya jangan salah langkah," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah Bersama Penduduk Kampung Santubong, kira-kira 30km dari Kuching semalam, Wan Junaidi yang merupakan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata sebelum ini beberapa anggota Parlimen turut membangkitkan isu itu dalam sidang  Dewan Rakyat. Sila klik disini untuk berita selanjutnya

Sumber : The Malaysian Insider

Khamis, 28 November 2013

Sarawak Kaji Bangunkan Pelabuhan Laut Dalam Untuk Pelancongan Pelayaran

Sarawak sedang mengkaji kebolehlaksanaan untuk membangunkan pelabuhan laut dalamnya sendiri dan kemudahan pelayaran khusus, yang sejajar dengan Kod Keselamatan Kapal dan Kemudahan Pelabuhan Antarabangsa. Ini berdasarkan kajian yang dicadangkan mengenai Pelan Induk Kawasan Pembangunan Pantai Lundu-Sematan, kata Menteri Pelancongan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Beliau berkata pengusaha pelancongan pelayaran menyuarakan minat untuk menjadikan Kuching sebahagian daripada aturcara lawatan mereka namun keputusan untuk beroperasi di sini pada masa ini terhalang kerana terhadnya keupayaan Sungai Sarawak untuk memenuhi keperluan kapal persiaran mega mereka selain ketiadaan kemudahan khusus bagi kapal persiaran. "Dianggarkan RM360 juta diperlukan untuk mengorek terusan bagi membolehkan kapal persiaran bersaiz lebih besar memasuki Sungai Sarawak memandangkan pada masa ini hanya kapal persiaran bersaiz kecil dan sederhana (dengan muatan 100-500 penumpang) boleh berlabuh di Pelabuhan Kuching," katanya. Abang Johari, yang juga menteri perumahan negeri, berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.  - Sila klik disini untuk berita selanjutnya

Keanggotaan Sarawak Dalam Malaysia Tidak Perlu Dipertikai - Taib

Isu berkenaan keanggotaan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia merupakan perkara lapuk yang tidak perlu dipertikaikan lagi, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.


Katanya sudah banyak syarat yang ditetapkan semasa proses penubuhan Malaysia 50 tahun lepas telah dipenuhi dan dapat dibuktikan melalui pembangunan yang dikecapi di negeri ini selama ini.

Berucap semasa menggulung perbahasan berkenaan Bajet Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini, beliau berkata tahap pembangunan yang dicapai negeri ini seharusnya menjadi tali pengukur kepada rakyat untuk menilai keputusan yang dibuat untuk menjadi anggota Malaysia.

"Saya rasa soal kita dapat atau tidak dapat (berdiri sebagai sebuah negara tersendiri) biarlah tinggal sebagai soal yang tidak perlu dipertikaikan lagi," katanya.

Taib berkata sejak separuh abad lepas, Sarawak telah menikmati kebebasan dalam Malaysia melalui autonomi dari segi kebudayaan, politik dan ekonomi.

Melalui kemajuan yang berjaya dicapai ini, beliau mengakui ia membawa cabaran baharu khususnya dalam mengekalkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.


Debat Terbuka: Dato' Idris Buang "MENANG TANPA BERTANDING"

Pada 26 November 2013 (Selasa) yang lalu, Suatu pages Facebook "Open Debate Challenge to Dato Idris Buang" bagi mencabar Dato' Idris berdebat mengenai tajuk 'Should Sabah Sarawak pull out from Malaysia' (Haruskah Sabah Sarawak keluar dari Malaysia). Laman tersebut dipercayai diwujudkan oleh sekumpulan kecil yang menuntut agar Sarawak keluar dari Malaysia atas beberapa alasan yang tertentu.

Secara ringkasnya, Dato' Idris Buang tidak berdiam diri dan terus menyahut CABARAN tersebut dengan tenang dan hati yang terbuka seterusnya mencadangkan beberapa syarat serta etika di dalam perdebatan di alam maya tersebut. Perdebatan ini menjadi topik perbualan hangat kepada kedua-dua pihak, ramai yang menyokong dan tidak kurang juga luahan suara sumbang dilihat. Pasti ramai yang tertunggu-tunggu akan saat dan ketika perdebatan itu nanti.



Namun demikian baru-baru ini, seperti yang telah dijangka Laman ini telah membuat pengumuman terbuka bahawa pihak SSM & SSKM menolak untuk berdebat dan amat berbeza sekali seperti yang hangat diwar-warkan oleh oleh Admin laman berkenaan sebelum ini :


Malah, Admin laman berkenaan seperti cacing kepanasan apabila mula cuba untuk meraih sokongan dengan mengajak sesiapa sahaja rakan Facebook untuk mengambil bahagian berdebat menentang Dato' Idris Buang. Tindakan-tindakan sebegini dilihat tidak bermaruah dan memalukan kumpulan itu sendiri apabila mereka dilihat cuma 'Hangat-hangat tahi ayam' yang hanya 'Lebih sudu dari kuah'.


" BERANI KERANA BENAR, TAKUT KERANA SALAH " itulah ungkapan yang paling sesuai sekali apabila melihat senario seperti ini berlaku. Kepada ke semua Rakyat Sarawak yang cintakan keamanan dan kesejahteraan Negeri Sarawak yang Tercinta, marilah kita bersama-sama menolak sikap yang tidak bertanggungjawab orang-orang seperti ini yang hanya bertindak seperti 'Menikam Batu, Sembunyi Tangan'. Hindarilah daripada mendengar laporan dan tuduhan-tuduhan tidak berasas yang lebih banyak menceritakan keburukan Kerajaan, Pemimpin-pemimpin dan sebagainya. 

Tindak-tanduk sebegini amat jelas sekali bertujuan hanya untuk memecah-belahkan keharmonian kita yang selama ini Hidup dengan aman sejahtera di dalam kelompok hidup bermasyarakat yang berbilang kaum dan agama. Pupuklah nilai-nilai murni dalam diri kita agar kesedaran untuk terus mengekalkan Sarawak Bahagia dan Terus Maju dapat direalisasikan sampai ke anak-cucu.

Sumber : Laman Sosial FB

Rabu, 27 November 2013

Sarawak oh Sarawak

Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia Nya kita masih lagi hidup dalam suasana yang aman dan tenteram di dalam negeri Sarawak khususnya dan amnya Negara Malaysia yang tercinta. 

Semoga Sarawak semakin maju dalam Malaysia dan bersama-samalah kita berdoa agar negara kita Malaysia akan terus kekal aman dan makmur sentiasa. In Sha Allah...

Sarawak Maju Jaya Selamanya...


Gambar hiasan YAB Pehin Sri selaku Ketua Menteri Sarawak sedang bersalaman dengan YB. Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu Anak Numpang Timbalan Ketua Menteri Sarawak. Ketokohan kedua-dua pemimpin berkenaan dalam menyumbangkan kemajuan dan kesejahteraan kepada Negeri Sarawak amatlah dihargai dan harus dihormati oleh seluruh penduduk yang berbilang kaum dan agama di Sarawak.