Khamis, 28 November 2013

Keanggotaan Sarawak Dalam Malaysia Tidak Perlu Dipertikai - Taib

Isu berkenaan keanggotaan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia merupakan perkara lapuk yang tidak perlu dipertikaikan lagi, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.


Katanya sudah banyak syarat yang ditetapkan semasa proses penubuhan Malaysia 50 tahun lepas telah dipenuhi dan dapat dibuktikan melalui pembangunan yang dikecapi di negeri ini selama ini.

Berucap semasa menggulung perbahasan berkenaan Bajet Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini, beliau berkata tahap pembangunan yang dicapai negeri ini seharusnya menjadi tali pengukur kepada rakyat untuk menilai keputusan yang dibuat untuk menjadi anggota Malaysia.

"Saya rasa soal kita dapat atau tidak dapat (berdiri sebagai sebuah negara tersendiri) biarlah tinggal sebagai soal yang tidak perlu dipertikaikan lagi," katanya.

Taib berkata sejak separuh abad lepas, Sarawak telah menikmati kebebasan dalam Malaysia melalui autonomi dari segi kebudayaan, politik dan ekonomi.

Melalui kemajuan yang berjaya dicapai ini, beliau mengakui ia membawa cabaran baharu khususnya dalam mengekalkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.


Tiada ulasan: