Khamis, 28 November 2013

Sarawak Kaji Bangunkan Pelabuhan Laut Dalam Untuk Pelancongan Pelayaran

Sarawak sedang mengkaji kebolehlaksanaan untuk membangunkan pelabuhan laut dalamnya sendiri dan kemudahan pelayaran khusus, yang sejajar dengan Kod Keselamatan Kapal dan Kemudahan Pelabuhan Antarabangsa. Ini berdasarkan kajian yang dicadangkan mengenai Pelan Induk Kawasan Pembangunan Pantai Lundu-Sematan, kata Menteri Pelancongan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Beliau berkata pengusaha pelancongan pelayaran menyuarakan minat untuk menjadikan Kuching sebahagian daripada aturcara lawatan mereka namun keputusan untuk beroperasi di sini pada masa ini terhalang kerana terhadnya keupayaan Sungai Sarawak untuk memenuhi keperluan kapal persiaran mega mereka selain ketiadaan kemudahan khusus bagi kapal persiaran. "Dianggarkan RM360 juta diperlukan untuk mengorek terusan bagi membolehkan kapal persiaran bersaiz lebih besar memasuki Sungai Sarawak memandangkan pada masa ini hanya kapal persiaran bersaiz kecil dan sederhana (dengan muatan 100-500 penumpang) boleh berlabuh di Pelabuhan Kuching," katanya. Abang Johari, yang juga menteri perumahan negeri, berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.  - Sila klik disini untuk berita selanjutnya

Tiada ulasan: