Rabu, 4 Disember 2013

KJ: TNB jangan fikir untung semata

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini mengingatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya lebih prihatin kepada nasib rakyat dan tidak hanya memikirkan mengenai keuntungan sahaja.

Menurut Khairy yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan, kenaikan tarif elektrik tersebut tidak setara dengan peningkatan kos bahan api yang hanya menguntungkan TNB.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin
Katanya, kenaikan ini kelihatan seperti mementingkan kantung pemegang saham, bukan rakyat jelata.

"Sekarang rakyat dan komuniti perniagaan pula mengeluh tentang tarif elektrik yang akan naik awal tahun depan.

"Namun kita difahamkan bahawa peningkatan tarif elektrik ini bukan sekadar untuk menampung peningkatan harga bahan api, tetapi juga bagi menambahkan laba keuntungan TNB yang sudah berbilion ringgit.

"... oleh itu kepada TNB dan juga GLC-GLC yang lain, Pemuda mendesak janganlah terlalu mementingkan prestasi kewangan semata, tanggungjawab kepada rakyat jangan sesekali dilupa," katanya ketika memberi ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno di PWTC hari ini.

Ucapan Khairy itu mendapat tepukan gemuruh perwakilan.

Memetik laporan Bernama, subsidi elektrik dan gas akan disemak semula, dengan kadar purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Januari  2014.

Tarif elektrik semasa ialah 33.54 sen.


Sumber : Sinar Harian Klik disini

Mohd Kamal ganti Shafie sebagai KPD Sibu baharu

SIBU: Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Kamal Kordi yang ketika ini bertugas sebagai Komandan Kem Maktab Kuala Kubu Baru akan dilantik menjadi Ketua Polis Daerah (KPD) Sibu yang baharu mulai bulan ini.
ACP Shafie Ismail (Ketua Polis Daerah Sibu yang bakal digantikan)
Beliau akan menggantikan ACP Shafie Ismail yang akan mengambil alih jawatan Mohd Kamal di kem berkenaan.
“Kami akan bertukar jawatan,” kata Shafie yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sibu sejak enam tahun lalu.
Shafie memberitahu, jika tiada halangan, majlis serah terima tugas akan diadakan pada 16 Disember ini.

Shafie berasal dari Terengganu telah menolak tiga kenaikan pangkat sejak tahun lepas.

Menurut beliau, jika diberi peluang beliau akan memilih Sibu untuk bersara kerana beliau dan keluarga sudah sebati di sini.

Isterinya merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tung Hua di sini dan mereka dikurniakan enam cahaya mata berusia 16 hingga 25 tahun.

Shafie telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PRDM) selama 27 tahun.


Sumber : Utusan Borneo Klik disini

Selasa, 3 Disember 2013

Hishammuddin Dimasukkan Ke Hospital Kerana Saluran Arteri Sempit

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dimasukkan ke sebuah hospital swasta Isnin selepas mengalami masalah saluran arteri yang sempit.

Setiausaha Akhbarnya Azmi Akop berkata doktor telah menjalankan prosedur angioplasti pada 3 petang, semuanya berjalan dengan baik dan keadaan Hishammuddin, 52, stabil.

"Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan pada tengah hari tadi, dan telah diminta untuk berehat oleh doktor yang merawatnya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.

Beliau bagaimanapun kurang pasti sama ada Hishammuddin akan menyertai Persidangan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini yang berlangsung mulai hari ini hingga Sabtu.

"Segalanya bergantung kepada tahap kesihatan Naib Presiden Umno itu dan atas kebenaran doktor yang merawatnya," katanya.


Sumber : Bernama Klik disini

Lebuh Raya Pan Borneo perlu RM22b, siap 2025

KUCHING: Jumlah peruntukan untuk menyiapkan serta menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo secara keseluruhannya adalah RM22 bilion dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Namun begitu Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata, projek tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat tetapi berterusan untuk setiap lima tahun mengikut peruntukan tahunan.

“Pada tahun depan kita mempunyai peruntukan sebanyak RM800 juta untuk kerja-kerja menyiapkan dan menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo setelah ditambah dengan peruntukan lebihan daripada tahun ini.

“Namun begitu, kita harus bersikap realistik apabila melaksanakan projek dari segi kebolehan para kontraktor, bahan-bahan binaan serta peralatan yang mencukupi untuk membina jalan,” ujar Fadillah ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Futsal Terbuka Petra Jaya di Kompleks Sukan Satok kelmarin.Pada perlawanan akhir, pasukan KTT dari kawasan Tupong berjaya menguasai kejohanan dengan memenangi tiga daripada empat kategori yang dipertandingkan iaitu kategori lelaki terbuka, bawah 17 tahun dan bawah 12 tahun.

Para pemenang menerima hadiah berupa wang tunai, pingat, piala iringan serta piala pusingan yang menyaksikan sebanyak 80 pasukan melibatkan 800 pemain mengambil bahagian, anjuran Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok.

Sementara itu, pasukan Tidal Bore muncul juara bagi kategori wanita manakala pasukan N8 Satok memenangi kategori jemputan dan hadiah-hadiah pemenang disampaikan oleh Fadillah sambil diiringi Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Satok Iskandar Sharkawi dan Pengerusi KSK Satok Irwan Zulkarnain Mohd Hasbie.

Di samping itu, Fadillah turut mengumumkan perancangan fasa ketiga pembangunan Kompleks Sukan Satok termasuk pemasangan bumbung bagi gelanggang futsal akan diteruskan dalam masa terdekat bagi kemudahan serta menggalakkan aktiviti sukan dan riadah yang sihat di kalangan penduduk setempat.
Pada masa yang sama, beliau turut mengakui peruntukan untuk membina dan menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo adalah tidak mencukupi namun beliau akan tetap melaksanakannya mengikut keperluan negeri Sarawak.

“Saya mengakui peruntukan untuk menyiapkan serta menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo adalah tidak mencukupi namun kita akan tetap meneruskan pembinaan serta kerjakerja baik pulih mengikut keperluan negeri.

“Kita akan memberi tumpuan terhadap pembinaan serta kerja-kerja naik taraf di jalan-jalan yang diklasifikasikan sebagai kritikal bagi mengurangkan kesesakan serta kemalangan yang telah dikenal pasti oleh kerajaan,” jelasnya.

Menurutnya, beliau bukan sahaja akan memberi tumpuan kepada pembinaan dan menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo malah akan turut melaksanakan kerja-kerja naik taraf jalan di kawasan pedalaman.

“Secara keselurahannya, jumlah peruntukan yang diperlukan untuk membina serta menaik taraf jalan-jalan di negeri Sarawak pada tahun depan adalah RM2 bilion namun seperti yang saya nyatakan tadi ia akan dilaksanakan mengikut keperluan serta peruntukan yang diberikan,” kata Fadillah.


Sumber : Utusan Borneo Klik disini


“Jangan kerana perbalahan dalam parti, kami (ketua masyarakat) dipersalahkan." Temenggong Lu Kim Yong

Chin kata pelantikan ketua masyarakat khususnya muka baharu hanya daripada kumpulan Soon Koh

KUCHING: Ketua masya-rakat kaum Cina di sini semalam meluahkan rasa kesal dengan dakwaan Pre-siden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Peter Chin mengatakan pelantikan ketua masyara-kat khususnya beberapa muka baharu hanya daripada kalangan kumpulan yang menyokong Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh.

Mereka yang diketuai Temenggung Lu Kim Yong berkata dakwaan dibuat Chin adalah tidak berasas kerana mereka dilantik berdasarkan merit dan rekod sebelum ini sebagai ketua masyarakat dan tiada kena mengena dengan konflik dalaman SUPP ketika ini.

Lu menambah, pelantikan ketua masyarakat diperakui dan disyorkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di-sahkan oleh siasatan polis, Pejabat Daerah dan Pejabat Residen sebelum diluluskan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat.

ANGAN DIPOLITIKKAN: Lu (duduk empat kiri) dan Liu (duduk tiga kanan) bersama ketua masyarakat kaum Cina pada sidang media di Kuching semalam.
“Kami mesti menjelaskan bahawa ketua masyarakat adalah bebas daripada arena politik. Kami tidak terlibat dalam mana-mana konflik yang berlaku dalam parti (SUPP) ketika ini.

“Pelantikan kami ada-lah melalui proses yang telus tanpa agenda peribadi tersembunyi. Semua muka baharu yang dilantik baru-baru ini dan mereka dilanjutkan tempoh perkhidmatan berdasarkan kebolehan serta rekod perkhidmatan sebelum ini,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pemanca Liu Thian Leong serta kira-kira 20 kapitan dari bahagian Ku-ching, Bau dan Lundu di sini semalam.

Lu berkata masyarakat setempat tahu serta meng-iktiraf perkhidmatan diberikan beberapa kapitan dan disebabkan khidmat yang baik sebelum ini serta kesanggupan untuk terus berkhidmat ditambah keadaan fizikal masih sihat, ada dalam kala-ngan mereka dilantik semula dan tidak kurang yang mendapat pengesyoran daripada NGO.

Beliau berkata hanya sekumpulan kecil dalam parti itu yang tidak puas hati memberi kenyataan tidak adil mengenai pelantikan ketua masyarakat kaum Cina dan ia akan mengelirukan rakyat.

“Saya menggesa ahli politik atau pemimpin dalam parti menghentikan tuduhan seperti ini kepada kami yang selama ini sanggup berkhidmat di peringkat akar umbi hanya dengan bayaran sedikit.

“Jangan kerana perbalahan dalam parti, kami (ketua masyarakat) dipersalahkan.

“Pentadbiran di peringkat akar umbi kini dalam proses transformasi dan umum sedia maklum Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) sendiri mahu transformasi ini berlaku bermula dengan penambahan jumlah ahli majlis yang dibuka kepada wakil NGO dan golongan profesional tetapi bersyarat iaitu sanggup berkhidmat untuk rakyat. Itu yang lebih penting,” ujarnya.

Menurut Lu sebelum ini terdapat beberapa jawatan ketua masyarakat tidak diisi untuk beberapa tahun.

Malah ada yang sudah berusia atau tidak mampu berkhidmat tidak menerima sebarang jawapan rasmi daripada pihak relevan menyebabkan perkhidmatan kepada komuniti setempat terjejas.


Sumber : Utusan Borneo Klik disini

Sektor awam perlu ketepi pemikiran statik : Taib

KUCHING: Sektor awam perlu berani mengetepikan pemikiran statik supaya inovasi dan kreativiti mampu menjadi budaya yang berterusan dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan meneruskan pembangunan negara.


Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, budaya itu tidak boleh disekat bagi memastikan kreativiti dan inovasi menjadi amalan yang pastinya mampu memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Penyelesaian kepada cabaran yang timbul adalah melalui satu pendekatan berani iaitu melakukan inovasi pengurusan yang pesat, inovasi sektor awam mampu mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti dan mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan Ke-30 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam kelamrin.

Taib berkata, pentadbiran perkhidmatan awam negeri telah melalui proses inovasi berkat kreativiti dan kebijaksanaan pemimpin terdahulu bermula dari era pemerintahaan Brooke.
“Sarawak mempunyai geografi yang sangat luas dan mencabar, pusat pentadbiran telah dibahagikan kepada lima bahagian utama pada 1950-an yang berkembang menjadi sembilan bahagian pentadbiran pada 1980 dan seterusnya meningkat kepada 11 bahagian pada 2002 hingga sekarang.

“Untuk meneruskan inovasi terus berkembang dan unggul dalam sektor awam, maka sektor awam perlu menjadi lebih berani dalam mengetepikan pemikiran statik dan ketegaran supaya inovasi dapat menjadi satu budaya,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa masyarakat kini mempunyai jangkaan tinggi kepada perkhidmatan awam ekoran kesan daripada kepesatan teknologi maklumat.
“Justeru, adalah penting kakitangan perkhidmatan awam terus melakukan inovasi kerana ia adalah satu fenomena penting dalam dasar ekonomi inovasi-centrik, merujuk kepada ekosistem yang menyokong, bertenaga dan inklusif,” tegasnya.

Menurutnya lagi, banyak negara maju mencapai tahap pembangunan yang pesat akibat daripada kemampuan mereka dalam mencipta perkhidmatan dan produk inovatif dan kreatif walaupun dalam keadaan sumber semula jadi terhad.


Sumber : Utusan Borneo Sila klik


Isnin, 2 Disember 2013

Sistem Perbankan Internet Dan IBG Masih Kurang Popular Di Negara Ini - Abu Hassan Alshari

Penggunaan perbankan Internet dan sistem pemindahan dana antara bank secara dalam talian atau IBG, oleh pengguna di negara ini masih tidak popular, terutama dalam kalangan peniaga kecil.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abu Hassan Alshari Yahya berkata kurang yakin terhadap keselamatan sistem perbankan Internet atau tidak biasa menjalankan transaksi perbankan secara dalam talian, didapati merupakan faktor sistem itu masih kurang mendapat sambutan pengguna.

Abu Hassan Alshari bin Yahaya

Beliau berkata untuk makluman, kadar kerugian akibat penipuan perbankan Internet tahun ini menurun kepada 0.0001 peratus daripada jumlah transaksi sebanyak RM2.6 trilion.

"Berbanding tahun lepas, kadar kerugian ialah 0.0002 peratus daripada jumlah transaksi sebanyak RM3 trilion," katanya ketika merasmikan Pameran Bergerak 'Experience' IBG di sini hari ini.

Beliau berkata industri perbankan telah melaksanakan pelbagai langkah keselamatan tambahan bagi memastikan akaun dan transaksi yang dijalankan pengguna menerusi Internet selamat dan dilindungi.

"Ini termasuk memperkenal pengesahan faktor kedua bagi memastikan kesahihan pengguna perbankan Internet sebagai tambahan kepada penggunaan pengenalan kata laluan," katanya.

Pada sidang media kemudiannya belia berkata bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada e-pembayaran, BNM turut mengurangkan caj pembayaran perkhidmatan IBG bermula awal tahun ini.

"Caj bayaran bagi transaksi IBG melalui Internet dan perbankan mudah alih telah dikurangkan daripada RM2 kepada RM0.10 bagi setiap transaksi bermula 2 Mei lepas.

"Ini bertujuan memberi masa kepada pengguna selama 11 bulan untuk menerima pakai pembayaran secara elektronik sebelum caj memproses cek sebanyak RM0.50 dikenakan bermula 1 April 2014," katanya.

Katanya sehingga kini penggunaan cek masih lagi digunakan secara meluas walaupun 74 peratus atau 13.7 juta pengguna di negara ini mempunyai akses kepada perbankan Internet, dan hanya 43 peratus atau 5.9 juta orang daripadanya menggunakan sistem tersebut secara aktif.

Oleh itu pengguna diharapkan dapat mempelajari dan menambah keyakinan terhadap sistem perbankan Internet dan IBG menerusi kempen-kempen pendidikan pada pameran yang dijalankan hari ini.

"Ini kerana perbankan dalam talian membolehkan anda menikmati kemudahan urus niaga yang lebih pantas, pada bila-bila masa tanpa perlu bersusah payah beratur di kaunter untuk melakukan urusan perbankan harian," katanya.

Program sehari anjuran bersama BNM, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia, meliputi 12 bandar utama dalam negara itu bermula di Seberang Perai, Pulau Pinang pada Oktober lepas dan berakhir di Kuching, Sarawak Mac depan.

-- BERNAMA Sila klik disini

Ahad, 1 Disember 2013

RM55.5 Juta Dana Mudah Cara Diluluskan Kepada 17 Syarikat Bumiputera Sarawak

Sehingga Oktober, Jawatankuasa Dana Mudah cara Sarawak meluluskan RM55.5 juta untuk membiayai 17 syarikat Bumiputera, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Naroden Majais.

Dana mudah cara berjumlah 15 peratus daripada kos keseluruhan projek itu merupakan bantuan kepada syarikat Bumiputera yang melaksanakan projek dengan kos minimum RM5 juta.

Beliau berkata daripada 17 syarikat itu, 11 syarikat dipilih untuk dimasukkan dalam program Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras).

"Selain dana mudah cara, bagi tempoh yang sama, sebanyak RM1.46 juta diperuntukkan untuk Dana Bumiputera Program Peluasan Keusahawanan (BEEP) kepada 18 syarikat kecil Bumiputera di Sarawak.

"Menerusi bantuan dana, sama ada dari segi geran, subsidi mahupun pinjaman mudah, kerajaan yakin ia dapat memudahkan pelaksanaan pelaburan atau perusahaan yang diceburi usahawan kita," katanya pada Majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak 2013, di sini.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Naroden berkata semua program untuk membantu para usahawan di Sarawak tidak akan terlaksana atau dapat direalisasikan tanpa nasihat dan juga panduan yang betul, justeru kerajaan pusat dan negeri telah merangka pelbagai program untuk membantu mereka.

"Usaha mencerna ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara berterusan menjadi teras utama kerajaan negeri dan pusat dalam persediaan jangka masa panjang bagi menghadapi keadaan ekonomi dunia.

"Ini dapat dilihat melalui beberapa langkah proaktif bagi menggalakkan budaya keusahawanan terus berkembang dalam kalangan masyarakat, dan menerusi pengumuman Bajet 2014 baru- baru ini," katanya.

Dana mudah cara bernilai RM2 bilion diperkenalkan Teraju dan Unit Kerjasama Awam dan Swasta, Jabatan Perdana Menteri (Ukas) dengan projek minimum diturunkan kepada RM5 juta.

Sebelum ini, permohonan dana mudah cara melibatkan projek dengan nilai minimum RM20 juta ke atas.


-- BERNAMA



Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Tumpu Kawasan Kerap Kemalangan

LIMBANG: Kerajaan mem­beri tumpuan terhadap usaha menangani semua kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan di Sabah dan Sarawak di bawah Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang dilaksanakan secara berterusan sehingga 2025.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata untuk tujuan itu sejumlah RM500 juta diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangani ka­wasan berisiko selain menaik taraf serta menyelenggara jalan rosak.
Beliau berkata, di bawah Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo juga, pem­binaan jalan empat lorong dirancang dilaksanakan pada masa depan termasuk lorong memotong di setiap satu kilometer untuk menangani kawasan kerap kemalangan dan pemendekan jalan.

“Untuk Sarawak, kita ke­mukakan cadangan membina lebih 100 lorong memotong, menangani kawasan kerap kemalangan dan penamba­ikan jalan terutama Jalan Sibu-Bintulu dan Jalan Bin­tulu-Miri,” katanya ketika ditemui pada lawatan kerja di Jambatan Pandaruan, di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Neg­eri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan Residen Bahagian Limbang Maria Hasman.

Beliau berkata, peruntukan yang ada adalah untuk me­nangani masalah kesesakan lalu lintas, menambah baik jalan bagi memberi kesele­saan kepada pengguna dan mengurangkan kemalangan jalan raya.

Fadillah berkata, kerajaan turut mengenal pasti empat kawasan kerap kemalangan di Betong untuk aktiviti penye­lenggaraan dan penambah­baikan 20 baikan jalan bermula Januari depan.

“Ia akan dilaksanakan mengikut empat fasa bermula Januari tahun depan dengan peruntukan keseluruhan ber­nilai RM20 juta,” katanya.

Jelasnya, ia dijangka siap dalam tempoh setahun atau dua tahun bergantung kepada jenis projek yang ada.
“Jika membabitkan kerja meluruskan jalan, ia akan mengambil masa panjang manakala bagi kerja penam­bahbaikan tanpa melibatkan kerja pembesaran jalan atau pengambilan tanah biasanya ia siap lebih cepat,” tam­bahnya.
Mengulas mengenai Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, Fadillah berkata kerajaan bercadang untuk membina empat lorong kes­eluruhan bagi jalan di Sabah dan Sarawak.

“Buat masa ini, kita tid­ak akan membuat empat lorong keseluruhan tetapi fokus kepada pembinaan jalan memotong setiap satu kilometer menangani kawasan berisiko kemalangan dan pe­mendekkan jalan mengikut keutamaan,” jelasnya.

Tambahnya, jawatankuasa khas ditubuhkan bagi me­nangani dan mengenal pasti masalah penyelenggaraan jalan di negeri ini.

Dalam pada itu, kerajaan tidak bercadang membina jalan menghubungkan Miri terus ke Limbang tanpa mela­lui Brunei Darussalam demi memelihara hubungan baik antara kedua-dua negara.

“Kita melihat banyak perkara khususnya rakan kita Brunei untuk memeli­hara hubungan baik antara Sarawak, Sabah dan Brunei sebagai saudara serantau.

“Apapun keputusan yang kita lakukan biarlah, ia meme­nangkan kedua-dua pihak,” katanya.

Terdahulu, pada majlis makan malam dan taklimat Lembaga Pembangunan Perindustrian Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini, Fadillah menjelaskan bahawa sejumlah RM70 juta dipe­runtukkan kepada Limbang dan RM70 juta lagi kepada Lawas bagi pembangunan dan penambaikan jalan raya di kawasan itu.

Peruntukan itu membabit­kan projek diluluskan, per­ancangan dan pelaksanaan projek di kawasan utara negeri Sarawak.

Sumber : Utusan Borneo Sila klik disini

Hapus Salah Tanggap Tentang Masa Depan Bidang Teknikal - Taib Mahmud

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata dengan perkembangan sektor perindustrian di Sarawak, ia sepatutnya menghapuskan salah tanggapan tentang masa depan pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang teknikal.



Beliau berkata masyarakat perlu mengikis tanggapan tentang peluang terhad pelajar jika mereka mengambil jurusan teknikal kerana landskap ekonomi negeri itu sudah berubah apabila muncul banyak peluang pekerjaan berasaskan perindustrian.

"Masih ada pelajar yang ragu-ragu untuk mengambil bidang teknikal sebagai pilihan utama kerana beranggapan peluangnya (pekerjaan) terhad. Ini tidak benar, dahulu memang betul sektor perindustrian negeri ini hanya kira-kira 10 peratus, namun kini sudah ia meningkat kepada 26 peratus.

"Lebih banyak peluang pekerjaan di sektor teknikal akan muncul melalui projek di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak," katanya semasa merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak 2013 yang bertemakan 'A Journey of Progress' di Samarahan, Sabtu.

Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datuk Len Talif Salleh.

Abdul Taib berkata melihat kepada perkembangan sektor perindustrian, maka para pelajar perlu mengambil peluang mempersiapkan diri dan menyasarkan pencapaian mereka dalam bidang itu pada masa hadapan.

"Pelajar-pelajar perlu mempersiapkan diri masing-masing. Fikir untuk tempoh masa 20 tahun akan datang dengan kedudukan mereka merebut peluang-peluang yang muncul hasil perubahan corak ekonomi ke arah negeri perindustrian.

"Mereka perlu faham, pada masa hadapan majikan akan lebih memerlukan pekerja berkemahiran," katanya.

Sehubungan itu Abdul Taib memuji langkah yang diambil agensi seperti Yayasan Sarawak yang membelanjakan RM30 juta sebagai bantuan pendidikan tinggi dan giat mempromosi pendidikan teknikal kepada rakyat Sarawak.

Sementara itu Len Talif yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) berkata prestasi pelaksanaan promosi oleh TEGAS amat membanggakan apabila berjaya mendekati kira-kira 125,000 pelajar Tingkatan Tiga hingga Enam di seluruh Sarawak untuk mengambil jurusan teknikal.


- Bernama

KPN beri amaran kepada kolumnis Mariam Mokhtar

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (Gambar) memberi amaran kepada kolumnis freemalaysiatoday.com Mariam Mokhtar supaya tidak menulis artikel yang boleh disifatkan sebagai berbaur hasutan. 

Ketua Polis Negara
Beliau tidak senang dengan artikel tulisan Mariam bertajuk 'One Ideology, Two Reactions', dalam portal berita itu semalam yang mempertikai layanan berbeza kerajaan berhubung kepulangan dua anggota radikal komunis kelahiran Malaysia -- abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dari Bangkok, Thailand dan Siti Aishah Abdul Wahab, yang terpengaruh dengan ideologi politik komunis serta didakwa dijadikan hamba di London selama 30 tahun. 




Sumber : Berita Harian Sila klik disini

Jambatan Bebas Tol Malaysia-Brunei Dirasmi Pada 8 Dis 2013

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah akan merasmikan jambatan tanpa tol Malaysia-Brunei bernilai RM25 juta, yang menghubungkan Limbang di Sarawak dan daerah Temburong di Brunei, pada 8 Dis ini.

Menteri Kerjaya Datuk Fadillah Yusof (Gambar) berkata tarikh itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini.

"Selain pembukaan jambatan itu, Kementerian Kerjaya akan mempertingkat tahap infrastruktur di Limbang dan Lawas," katanya pada majlis makan malam dan taklimat Lembaga Pembangunan Perindustrian Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini malam ini.

Beliau berkata Kementerian Kerjaya juga menyalurkan peruntukan berjumlah RM140 juta kepada Jabatan Kerja Raya Sarawak bagi pembangunan serta penambahbaikan jalan raya di Limbang dan Lawas dengan setiap kawasan menerima RM70 juta.

Jambatan itu umpama mimpi menjadi kenyataan kepada individu yang kerap berulang alik dari Sarawak, Sabah dan Brunei kerana selama ini mereka terpaksa beratur lebih lima jam untuk menaiki feri menyeberangi Sungai Pandaruan, yang mengambil masa kurang lima minit untuk tiba di setiap destinasi.



Sumber : Bernama Sila klik disini