Ahad, 1 Disember 2013

Hapus Salah Tanggap Tentang Masa Depan Bidang Teknikal - Taib Mahmud

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata dengan perkembangan sektor perindustrian di Sarawak, ia sepatutnya menghapuskan salah tanggapan tentang masa depan pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang teknikal.



Beliau berkata masyarakat perlu mengikis tanggapan tentang peluang terhad pelajar jika mereka mengambil jurusan teknikal kerana landskap ekonomi negeri itu sudah berubah apabila muncul banyak peluang pekerjaan berasaskan perindustrian.

"Masih ada pelajar yang ragu-ragu untuk mengambil bidang teknikal sebagai pilihan utama kerana beranggapan peluangnya (pekerjaan) terhad. Ini tidak benar, dahulu memang betul sektor perindustrian negeri ini hanya kira-kira 10 peratus, namun kini sudah ia meningkat kepada 26 peratus.

"Lebih banyak peluang pekerjaan di sektor teknikal akan muncul melalui projek di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak," katanya semasa merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak 2013 yang bertemakan 'A Journey of Progress' di Samarahan, Sabtu.

Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datuk Len Talif Salleh.

Abdul Taib berkata melihat kepada perkembangan sektor perindustrian, maka para pelajar perlu mengambil peluang mempersiapkan diri dan menyasarkan pencapaian mereka dalam bidang itu pada masa hadapan.

"Pelajar-pelajar perlu mempersiapkan diri masing-masing. Fikir untuk tempoh masa 20 tahun akan datang dengan kedudukan mereka merebut peluang-peluang yang muncul hasil perubahan corak ekonomi ke arah negeri perindustrian.

"Mereka perlu faham, pada masa hadapan majikan akan lebih memerlukan pekerja berkemahiran," katanya.

Sehubungan itu Abdul Taib memuji langkah yang diambil agensi seperti Yayasan Sarawak yang membelanjakan RM30 juta sebagai bantuan pendidikan tinggi dan giat mempromosi pendidikan teknikal kepada rakyat Sarawak.

Sementara itu Len Talif yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) berkata prestasi pelaksanaan promosi oleh TEGAS amat membanggakan apabila berjaya mendekati kira-kira 125,000 pelajar Tingkatan Tiga hingga Enam di seluruh Sarawak untuk mengambil jurusan teknikal.


- Bernama

Tiada ulasan: