Ahad, 1 Disember 2013

Jambatan Bebas Tol Malaysia-Brunei Dirasmi Pada 8 Dis 2013

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah akan merasmikan jambatan tanpa tol Malaysia-Brunei bernilai RM25 juta, yang menghubungkan Limbang di Sarawak dan daerah Temburong di Brunei, pada 8 Dis ini.

Menteri Kerjaya Datuk Fadillah Yusof (Gambar) berkata tarikh itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini.

"Selain pembukaan jambatan itu, Kementerian Kerjaya akan mempertingkat tahap infrastruktur di Limbang dan Lawas," katanya pada majlis makan malam dan taklimat Lembaga Pembangunan Perindustrian Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini malam ini.

Beliau berkata Kementerian Kerjaya juga menyalurkan peruntukan berjumlah RM140 juta kepada Jabatan Kerja Raya Sarawak bagi pembangunan serta penambahbaikan jalan raya di Limbang dan Lawas dengan setiap kawasan menerima RM70 juta.

Jambatan itu umpama mimpi menjadi kenyataan kepada individu yang kerap berulang alik dari Sarawak, Sabah dan Brunei kerana selama ini mereka terpaksa beratur lebih lima jam untuk menaiki feri menyeberangi Sungai Pandaruan, yang mengambil masa kurang lima minit untuk tiba di setiap destinasi.



Sumber : Bernama Sila klik disini

Tiada ulasan: