Ahad, 1 Disember 2013

RM55.5 Juta Dana Mudah Cara Diluluskan Kepada 17 Syarikat Bumiputera Sarawak

Sehingga Oktober, Jawatankuasa Dana Mudah cara Sarawak meluluskan RM55.5 juta untuk membiayai 17 syarikat Bumiputera, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Naroden Majais.

Dana mudah cara berjumlah 15 peratus daripada kos keseluruhan projek itu merupakan bantuan kepada syarikat Bumiputera yang melaksanakan projek dengan kos minimum RM5 juta.

Beliau berkata daripada 17 syarikat itu, 11 syarikat dipilih untuk dimasukkan dalam program Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras).

"Selain dana mudah cara, bagi tempoh yang sama, sebanyak RM1.46 juta diperuntukkan untuk Dana Bumiputera Program Peluasan Keusahawanan (BEEP) kepada 18 syarikat kecil Bumiputera di Sarawak.

"Menerusi bantuan dana, sama ada dari segi geran, subsidi mahupun pinjaman mudah, kerajaan yakin ia dapat memudahkan pelaksanaan pelaburan atau perusahaan yang diceburi usahawan kita," katanya pada Majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak 2013, di sini.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Naroden berkata semua program untuk membantu para usahawan di Sarawak tidak akan terlaksana atau dapat direalisasikan tanpa nasihat dan juga panduan yang betul, justeru kerajaan pusat dan negeri telah merangka pelbagai program untuk membantu mereka.

"Usaha mencerna ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara berterusan menjadi teras utama kerajaan negeri dan pusat dalam persediaan jangka masa panjang bagi menghadapi keadaan ekonomi dunia.

"Ini dapat dilihat melalui beberapa langkah proaktif bagi menggalakkan budaya keusahawanan terus berkembang dalam kalangan masyarakat, dan menerusi pengumuman Bajet 2014 baru- baru ini," katanya.

Dana mudah cara bernilai RM2 bilion diperkenalkan Teraju dan Unit Kerjasama Awam dan Swasta, Jabatan Perdana Menteri (Ukas) dengan projek minimum diturunkan kepada RM5 juta.

Sebelum ini, permohonan dana mudah cara melibatkan projek dengan nilai minimum RM20 juta ke atas.


-- BERNAMA



Tiada ulasan: