Selasa, 3 Disember 2013

Sektor awam perlu ketepi pemikiran statik : Taib

KUCHING: Sektor awam perlu berani mengetepikan pemikiran statik supaya inovasi dan kreativiti mampu menjadi budaya yang berterusan dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan meneruskan pembangunan negara.


Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, budaya itu tidak boleh disekat bagi memastikan kreativiti dan inovasi menjadi amalan yang pastinya mampu memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Penyelesaian kepada cabaran yang timbul adalah melalui satu pendekatan berani iaitu melakukan inovasi pengurusan yang pesat, inovasi sektor awam mampu mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti dan mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan Ke-30 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam kelamrin.

Taib berkata, pentadbiran perkhidmatan awam negeri telah melalui proses inovasi berkat kreativiti dan kebijaksanaan pemimpin terdahulu bermula dari era pemerintahaan Brooke.
“Sarawak mempunyai geografi yang sangat luas dan mencabar, pusat pentadbiran telah dibahagikan kepada lima bahagian utama pada 1950-an yang berkembang menjadi sembilan bahagian pentadbiran pada 1980 dan seterusnya meningkat kepada 11 bahagian pada 2002 hingga sekarang.

“Untuk meneruskan inovasi terus berkembang dan unggul dalam sektor awam, maka sektor awam perlu menjadi lebih berani dalam mengetepikan pemikiran statik dan ketegaran supaya inovasi dapat menjadi satu budaya,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa masyarakat kini mempunyai jangkaan tinggi kepada perkhidmatan awam ekoran kesan daripada kepesatan teknologi maklumat.
“Justeru, adalah penting kakitangan perkhidmatan awam terus melakukan inovasi kerana ia adalah satu fenomena penting dalam dasar ekonomi inovasi-centrik, merujuk kepada ekosistem yang menyokong, bertenaga dan inklusif,” tegasnya.

Menurutnya lagi, banyak negara maju mencapai tahap pembangunan yang pesat akibat daripada kemampuan mereka dalam mencipta perkhidmatan dan produk inovatif dan kreatif walaupun dalam keadaan sumber semula jadi terhad.


Sumber : Utusan Borneo Sila klik


Tiada ulasan: