Isnin, 2 Disember 2013

Sistem Perbankan Internet Dan IBG Masih Kurang Popular Di Negara Ini - Abu Hassan Alshari

Penggunaan perbankan Internet dan sistem pemindahan dana antara bank secara dalam talian atau IBG, oleh pengguna di negara ini masih tidak popular, terutama dalam kalangan peniaga kecil.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abu Hassan Alshari Yahya berkata kurang yakin terhadap keselamatan sistem perbankan Internet atau tidak biasa menjalankan transaksi perbankan secara dalam talian, didapati merupakan faktor sistem itu masih kurang mendapat sambutan pengguna.

Abu Hassan Alshari bin Yahaya

Beliau berkata untuk makluman, kadar kerugian akibat penipuan perbankan Internet tahun ini menurun kepada 0.0001 peratus daripada jumlah transaksi sebanyak RM2.6 trilion.

"Berbanding tahun lepas, kadar kerugian ialah 0.0002 peratus daripada jumlah transaksi sebanyak RM3 trilion," katanya ketika merasmikan Pameran Bergerak 'Experience' IBG di sini hari ini.

Beliau berkata industri perbankan telah melaksanakan pelbagai langkah keselamatan tambahan bagi memastikan akaun dan transaksi yang dijalankan pengguna menerusi Internet selamat dan dilindungi.

"Ini termasuk memperkenal pengesahan faktor kedua bagi memastikan kesahihan pengguna perbankan Internet sebagai tambahan kepada penggunaan pengenalan kata laluan," katanya.

Pada sidang media kemudiannya belia berkata bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada e-pembayaran, BNM turut mengurangkan caj pembayaran perkhidmatan IBG bermula awal tahun ini.

"Caj bayaran bagi transaksi IBG melalui Internet dan perbankan mudah alih telah dikurangkan daripada RM2 kepada RM0.10 bagi setiap transaksi bermula 2 Mei lepas.

"Ini bertujuan memberi masa kepada pengguna selama 11 bulan untuk menerima pakai pembayaran secara elektronik sebelum caj memproses cek sebanyak RM0.50 dikenakan bermula 1 April 2014," katanya.

Katanya sehingga kini penggunaan cek masih lagi digunakan secara meluas walaupun 74 peratus atau 13.7 juta pengguna di negara ini mempunyai akses kepada perbankan Internet, dan hanya 43 peratus atau 5.9 juta orang daripadanya menggunakan sistem tersebut secara aktif.

Oleh itu pengguna diharapkan dapat mempelajari dan menambah keyakinan terhadap sistem perbankan Internet dan IBG menerusi kempen-kempen pendidikan pada pameran yang dijalankan hari ini.

"Ini kerana perbankan dalam talian membolehkan anda menikmati kemudahan urus niaga yang lebih pantas, pada bila-bila masa tanpa perlu bersusah payah beratur di kaunter untuk melakukan urusan perbankan harian," katanya.

Program sehari anjuran bersama BNM, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia, meliputi 12 bandar utama dalam negara itu bermula di Seberang Perai, Pulau Pinang pada Oktober lepas dan berakhir di Kuching, Sarawak Mac depan.

-- BERNAMA Sila klik disini

Tiada ulasan: