Ahad, 7 Disember 2014

UPP dan TERAS tidak mungkin akan menyertai BN Sarawak

BINTULU: Harapan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) untuk menyertai Barisan Nasional (BN) berkecai selepas BN Sarawak memutuskan untuk mengekalkan amalan terdahulu apabila parti baharu memohon untuk menyertai gabungan BN negeri.

Ketua Menteri Sarawak merangkap pengerusi BN negeri Tan Sri Adenan Satem berkata gabungan itu telah lama menerima pakai peraturan bahawa jika ada pihak membantah mana-mana parti baharu untuk menyertai BN negeri, maka mereka (parti baharu) tidak boleh masuk.

"Tidak mungkin," katanya ketika ditanya media hari ini tentang kemungkinan UPP dan Teras diterima menjadi anggota gabungan BN negeri.

Terdahulu, Adenan menghadiri perasmian Perhimpunan Agung tri-tahunan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Suarah Bintulu.

Adenan bagaimanapun berkata walaupun parti-parti itu tidak dapat menganggotai gabungan BN negeri, itu tidak menghalang mereka yang mendakwa sebagai mesra BN untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Ketika diminta mengulas lanjut ucapannya berhubung elakkan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya negeri ke-11, Adenan berkata sebelum ini, pertembungan adalah antara pembangkang, BN dan calon bebas tetapi sekarang berikutan banyak isu politik, keadaan telah berubah yang mengakibatkan perpecahan undi dan menjejaskan peluang BN untuk menang.

Pada 30 Nov, Presiden Teras dan bekas Presiden SPDP Tan Sri William Mawan berkata parti itu akan memohon untuk menyertai BN dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, pemangku presiden SPDP sekarang Datuk Seri Tiong King Sing membantah hasrat Teras.

Mawan bersama-sama empat wakil rakyat Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entrie (Marudi), Rosie Yunus (Bekenu) dan Paulus Gumbang (Batu Danau) keluar daripada SPDP pada pertengahan tahun ini dan menyertai Teras.

UPP dipimpin Datuk Seri Wong Soon Koh, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, yang sebelum ini ialah penolong setiausaha agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tetapi meninggalkan parti pada Mei tahun ini ekoran kemelut kepimpinan yang berlarutan dan SUPP membantah hasrat UPP untuk menyertai BN.

Selain SPDP dan SUPP, gabungan BN negeri terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, yang menjadi tunjang gabungan BN negeri, dan Parti Rakyat Sarawak. - BERNAMA

Isnin, 1 Disember 2014

Harga RON97, RON95 turun, diesel naik mulai 1 Disember 2014

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata harga runcit bagi minyak diesel pula dinaikkan kepada 3 sen seliter kepada RM2.23 seliter.

Harga runcit RON97 kini ialah RM2.55 seliter, RON95, RM2.30 seliter manakala diesel ialah RM2.20 seliter.

Menurut Hasan harga baharu ini akan berkuat kuasa hanya untuk Disember.
"Kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga produk kos pada setiap masa dan kadar pertukaran matawang untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel bagi bulan-bulan berikutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak diminta mematuhi penetapan harga baharu itu dan jika ingkar, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pada 21 November lepas, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengampunan terkawal mulai 1 Disember.

Kaedah pengapungan terkawal yang diputuskan Kabinet itu adalah sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sejak Julai 2010, katanya.

"Melalui kaedah pengapungan terkawal, purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya, ini bermakna jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit RON97, RON95 dan diesel juga akan meningkat dan begitu sekiranya berlaku sebaliknya (harga pasaran minyak mentah dunia menurun)."

– Bernama, 30 November, 2014.

Khamis, 2 Oktober 2014

Bumiputera jangan salahkan kaum lain jika gagal kuasai ekonomi, kata Dr M

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kaum Bumiputera tidak boleh menyalahkan kerajaan dan kaum lain sekiranya sasaran 30% pemilikan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara menjelang tahun 2020 tidak tercapai.

Beliau berkata mereka perlu menyalahkan diri sendiri kerana tidak mempertingkat daya usaha bagi memajukan diri.

"Kita tidak boleh menyalahkan orang lain dan mengharapkan mereka mengurangkan usaha demi kepentingan kita, sebaliknya kita kena betulkan diri dan berusaha lebih daripada kaum-kaum lain untuk berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab pada Ceramah Perdana Bersama Pemikir Ulung Negara anjuran Gabungan Persatuan Pesara-Pesara Melaka di sini, hari ini. Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Dr Mahathir berkata kaum Bumiputera diberikan banyak kelebihan daripada kerajaan khususnya dalam sektor ekonomi namun tidak digunakan dengan baik.

"Sebagai contoh, kerajaan pernah memberikan projek pembinaan kelas-kelas komputer di sekolah kepada kontraktor Melayu tetapi mereka menjual projek itu kepada orang lain," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata konsep berkongsi kuasa politik dan ekonomi yang diasaskan pemimpin terdahulu mampu terus menjamin kemakmuran dan keharmonian kaum di negara ini.

Sebaliknya, katanya tindakan berlumba-lumba menguasai kesemua bidang oleh sesuatu kaum mampu menggugat kestabilan dan ketenteraman dengan tindakan rusuhan berikutan perasaan terasing dan tertindas oleh kaum lain. – Bernama, 1 Oktober, 2014.

Rabu, 1 Oktober 2014

Harga minyak naik berkuatkuasa malam ini

Mulai tengah malam ini, KPDNKK mengumumkan harga runcit baharu petrol RON95 akan meningkat sebanyak 20sen kepada RM2.30 seliter.

Kenaikan ini juga melibatkan harga diesel dengan harga baharu adalah RM2.20 seliter.

Selasa, 30 September 2014

Bekas Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak meninggal dunia

KUCHING: Bekas Pengarah Penerangan Sarawak, Resat Salleh, 60, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 2.10 pagi ini akibat komplikasi injap.

Pemangku Pengarah Penerangan Sarawak, Zaini Mohamad, berkata jenazah arwah akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira jam 3.45 petang, untuk dibawa ke rumah kakaknya di Kampung Tanjung di sini sebelum disemadikan di tanah perkuburan Islam Semariang.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa arwah sebelum ini sering menerima rawatan selepas mengadu sakit dada dan dimasukkan ke HKL beberapa minggu lalu.

Beliau berkata, Allahyarham bertugas sebagai pengarah penerangan Sarawak pada 2006 sebelum bertukar ke Ibu pejabat Penerangan di Putrajaya pada Oktober 2012 dan baru bersara wajib kira-kira tiga bulan lalu.

"Saya bekerja dengan arwah sejak beliau menjadi pengarah penerangan negeri, beliau adalah seorang yang suka berjenaka, baik hati, sentiasa fokus dengan tugasnya dalam mengangkat martabat jabatan. Takziah buat keluarganya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zaini berkata, allahyarham juga mempunyai pengalaman yang amat luas, antaranya pernah terbabit secara langsung dalam pembabitan Jabatan Penerangan dalam pengurusan Sukan Komanwel pada tahun 1998, serta penganjuran Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Kuala Lumpur pada 1989.

Katanya, Allahyarham Resat yang memulakan kariernya sebagai penolong pegawai akhbar di Jabatan Perkhidmatan Penerangan pada tahun 1976, pernah mengetuai Unit Perhubungan Awam Kementerian Penerangan pada tahun 1989, sebelum dilantik sebagai pengarah penerangan Johor pada 1995.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

Zaini berkata, orang ramai yang ingin menziarahi jenazah dan keluarganya boleh mengunjungi rumah kakak allahyarham di Kampung Tanjung di sini.

- BERNAMA

Isnin, 25 Ogos 2014

Jawatankuasa Protem TERAS Cabang Nangka ditubuh


SIBU: Jawatankuasa Protem Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Cabang Nangka telah ditubuhkan di sini, semalam.

Sehubungan itu, Radin Legan dipilih sebagai pengerusi manakala Asan Uli dipilih sebagai timbalan pengerusi.

Jawatan naib pengerusinya disandang Senin Entiri, Bandang Bangkong dan Let Embul.

Jawatan lain disandang oleh George Unggat (setiausaha), Sangga Sungo (penolong setiausaha), Lawrence Radin (bendahari) Jimbat Badi (penolong bendahari) dan Kamis Ebong (ketua penerangan).

Ahli biasa terdiri daripada Tumas Muli, Moses Entiri, Augustin Juin, Keyai Juing dan Evelin Randi.

Sementara itu, Evelyn Ajik telah dipilih sebagai ketua wanita manakala jawatan ketua pemuda dipangku Steve Nyawai.

Sumber : Borneo Post

13 Adun PAS tak akan tandatangan SD sokong Wan Azizah, kata Mustafa Ali


Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, 13 Adun tersebut tidak menandatangani sebarang SD menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah seperti yang dilakukan oleh Adun PKR dan DAP.
"Tidak, perkara itu tidak berbangkit," kata Mustafa pada sidang media di ibu pejabat PAS selepas ditanya mengenai SD tersebut.
"PAS bersetuju untuk serahkan kepada perkenan Tuanku Sultan Selangor untuk menentukan siapa pengganti bagi jawatan MB Selangor," katanya.
Pengesahan Mustafa tersebut mengesahkan hanya dua Adun PAS sahaja menandatangani SD ‎menyokong Dr Wan Azizah, iaitu Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin.
Malah, kedua-dua Adun tersebut juga masih berdepan dengan tindakan disiplin kerana membuat tindakan awal yang membelakangi keputusan parti Islam tersebut.
Ahli jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos memutuskan untuk mencalonkan nama Dr Wan Azizah dan Azmin untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Keputusan tersebut menyebabkan wujudnya pertikaian di kalangan parti dalam Pakatan memandangkan PKR bertegas untuk kekal dengan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal MB.
Mesyuarat majlis pimpinan PR yang bermesyuarat kemudian petang itu memutuskan untuk menghantar hanya nama Dr Wan Azizah untuk dipertimbangkan istana.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari mengesahkan Pakatan sudah menghantar nama isterinya, Dr Wan Azizah kepada pihak Istana untuk diputuskan Sultan Selangor sebagai MB baru.
Anwar berkata tidak timbul isu dua nama dihantar ke istana.
"Jadi hanya satu calon dan surat itu ditandatangani pemimpin PR, Guan Eng, Mat Sabu dan saya sendiri, dan itu mencukupi," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Esok, Khalid akan mengadap akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah esok bagi menjelaskan kedudukannya selepas hilang kepercayaaan daripada majoriti Adun. 
Sumber : TMI

Teras, UPP tiada dalam Pemuda BN

Hanya pemimpin pemuda dari empat buah parti, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan menghadiri Persidangan Pemuda BN Sarawak.
KUCHING: Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) and Parti Bersatu Rakyat (UPP) tidak akan dijemput untuk Persidangan Pemuda Barisan Nasional (BN) walaupun sebagai pemerhati.
Ketua Belia BN Negeri, Fadillah Yusof dalam satu kenyataan berkata persidangan yang bakal diadakan pada bulan hadapan hanya akan dihadiri oleh pimpinan tertinggi pemuda dari empat buah komponen parti BN iaitu Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
“Salah satu tujuan (persidangan yang akan datang) ialah untuk memastikan pemimpin muda kita masih bersama BN,” tegas Fadillah. “Kepada mereka yang meninggalkan komponen, kita harus menerima hakikat tersebut. Tetapi kepada pemimpin belia yang masih ada, kita harus fokus bukan hanya berada dalam BN tetapi mendapatkan lebih banyak ahli untuk bersama BN melalui empat komponen parti kita.”
Beliau berkata usaha hanya menumpukan sokongan kepada BN tidak terjejas oleh perkembangan politik semasa ini dan pada yang sama memperkukuhkan empat buah komponen BN negeri.
Persidangan Pemuda BN Peringkat Kebangsaan di Miri tahun hadapan
Beliau berkata tujuan utama Persidangan Pemuda BN Sarawak ialah untuk membawakan isu yang berkait rapat dengan generasi muda sebagai salah satu strategi untuk meningkatkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan awal 2016.
“Kita ingin mengkaji isu yang memberi kesan kepada belia di Sarawak baik dalam politik, ekonomi dan sosial supaya boleh di bawa kepada perhatian pihak atasan di peringkat kebangsaan. Perhatian mereka ialah peluang yang sama rata untuk belia di Sarawak di mana kita akan selesaikan isu-isu ini,” kata beliau.
Beliau juga menambah Persidangan Pemuda BN Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Miri pada tahun hadapan dimana akan membincangkan isu yang lebih besar.
Sumber : FMT

Rabu, 20 Ogos 2014

FITNAH : ADUN Nangka digesa pengguna laman sosial buat laporan Polis terhadap pelaku


SIBU: ADUN Nangka Dr Annuar Rapaee tidak menolak kemungkinan akan membuat laporan polis terhadap dakwaan yang mengaitkan beliau secara tidak langsung "bersubahat" dalam penganjuran pertandingan Ratu Kebaya Pondan di tapak BCF Sibu semalam.

Annuar, yang dihubungi Sarawakiana sebentar tadi berkata, beliau akan berjumpa dengan pihak Majlis Agama Islam Sibu hari ini untuk meneliti laporan berkaitan dakwaan tersebut.

"Saya juga akan bertemu dengan penganjur program tersebut sebelum mempertimbangkan samada akan mengambil tindakan susulan (membuat laporan polis) atau sebaliknya."

"Sejurus dimaklumkan tentang dakwaan tersebut semalam, saya telah meminta Majlis Agama Islam Sibu segera membuat siasatan ke atas perkara berkenaan," tambah Annuar lagi.

Semalam, seorang individu yang menggunakan nama Aszfia Haris pada status akaun Facebooknya telah secara sinis mendakwa Annuar dan Majlis Islam Sibu telah "bersubahat" dalam penganjuran pertandingan Ratu Kebaya Pondan di tapak BCF Sibu.


Salah seorang daripada penganjur acara tersebut Puan Zaiton Abdul Kader menerusi akaun Facebooknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut sambil memberi respon berbunyi, "Tiada peserta pondan seperti khabar angin".

Walau posting dakwaan saudara Aszfia Haris tersebut telah pun dipadam, rata-rata pengamal media, khusus media sosial Facebook tidak berpuashati kerana ianya sedikit sebanyak telah mencalarkan imej ADUN Nangka dan Majlis Agama Islam Sibu.

Rata-rata di antara mereka mendesak kedua-dua pihak yang dikaitkan dengan keaiban tersebut membuat laporan polis agar tindakan sewajarnya diambil bagi mengelak perkara yang sama tidak berulang lagi.

Sumber : Sarawakiana

Selasa, 19 Ogos 2014

'Saya Hanya Tegur Najib, Bukan Suruh Letak Jawatan' - Kata Dr Mahathir


KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak berniat meminta Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan, sebaliknya hanya memberi teguran terhadap Perdana Menteri dalam catatan terbaru dalam blognya.

"Saya tidak kata dia (Najib) patut letak jawatan, saya cuma tidak setuju dengan sebahagian daripada dasar dia.

"Ia (teguran) itu bukan bersifat peribadi. Orang lain tak tegur dia, jadi saya tegur la," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis, Universiti Utara Malaysia (IEIJS-UUM) di sini hari ini.

Bekas perdana menteri itu dalam catatan blognya hari ini berkata, beliau menegur pentadbiran Najib kerana berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala yang dilakukan oleh mereka adalah baik belaka.

Katanya, hanya apabila ditegur sahaja pemimpin akan sedar kesalahan yang dilakukan dan mungkin memperbetulkannya.

Dr Mahathir berkata beliau menegur menerusi blognya kerana telah berulang kali menegur pentadbiran Najib tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil.

Sementara itu, mengenai penubuhan IEIJS, Dr Mahathir berkata, ia dapat membantu memberi kefahaman dalam bentuk fakta akademik kepada orang Islam dan juga bukan Islam mengenai apa yang sebenarnya berlaku di Palestin.

"Tidak banyak kajian fakta tentang Baitulmaqdis oleh ulama-ulama Islam. Hasil penubuhan institut ini, saya berharap akan ada kefahaman yang lebih baik tentang apa jua yang berlaku di sana," katanya.

- BERNAMA

Khalid membayar “harga mahal” kerana menjadi seorang berintegriti


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau kini membayar “harga mahal” kerana menjadi seseorang yang berintegriti. 

“Saya mengambil keputusan menjadi ahli politik, jadi saya kena hadapinya,” 

“Inilah harga integriti,” katanya sewaktu merasmikan serta merujuk kepada kehadiran lebih 20 orang petugas media dalam majlis persidangan integriti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam hari ini. 

Sewaktu ucapannya yang dihadiri kira-kira 100 orang penjawat PKNS itu, Khalid langsung tidak merujuk kepada kes politik, tetapi menyentuh keperluan untuk memegang amanah dengan integriti. 

“Saya suka memetik hadis yang dikaitkan dengan amanah – Dari Abu Hurairah R.A yang berbunyi ” Di saat amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran,” kata beliau dalam ucapannya. 

Selepas berucap, Khalid terus menutup mulut ketika diekori sekumpulan besar wartawan, yang selama ini mengikuti berita Khalid sejak beliau dipecat daripada PKR dua minggu lalu.

Beliau, bagaimanapun terus mendiamkan diri dikelilingi hampir 20 orang petugas keselamatan bagi menghalang wartawan dari menghampirinya. Khalid sebelum ini cukup terkenal dengan sifatnya yang ramah kepada pihak media tetapi kini hanya tersenyum tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan. 

Semalam, Khalid sepatutnya menghadiri perjumpaan bulanan dengan penjawat awam anjuran Yayasan Selangor di Auditorium Jubli Perak tetapi membatalkannya kehadirannya di saat-saat akhir. Majlis tersebut hanya dihadiri oleh Exco PAS, Sallehen Mukhyi, Dr.Yunus Hairi dan Dr.Halimah Ali. “Program Perhimpunan Bulanan yang dijadualkan pada pagi Isnin 18 Ogos anjuran Yayasan Selangor dibatalkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. “Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan,” kata sekretariat akhbar dalam satu kenyataan. 

Pada petangnya pula, Khalid yang sepatutnya menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Bolasepak Selangor di Kelab Shah Alam pada jam 5.30 petang, tetapi tidak muncul. Tempat beliau digantikan dengan Dr.Yunus yang berkata beliau diarah menggantikan Khalid. 

Jumaat lalu, Khalid berkata Sultan Selangor telah menasihatkan beliau supaya tidak membuat sebarang kenyataan sehingga baginda pulang pada 27 Ogos. “Saya telah berkomunikasi dengan DYMM Sultan Selangor berhubung perkembangan terbaharu politik di negeri ini termasuk sentimen di kalangan Adun. “DYMM Tuanku Sultan telah memberitahu yang baginda berpuas hati bahawa saya mempunyai sokongan majoriti Adun pada ketika saya menyembah taklimat pada Isnin, 11 Ogos 2014,” kata Khalid dalam satu kenyataan. 

Seterusnya, kata beliau, baginda telah menitahkan beliau supaya tidak membuat sebarang keputusan atau pengumuman berkenaan jawatan menteri besar sehingga baginda kembali pada 27 Ogos ini. 

FMT

Wakil rakyat BN diminta selesai isu remeh di kawasan mereka


KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem mahu semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Negeri menyelesaikan isu remeh di kawasan masing-masing pada tahun ini.

Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC) Negeri Abdullah Saidol berkata, isu yang dimaksudkan turut merangkumi janji yang dibuat wakil rakyat hendaklah diselesaikan dengan segera.

Jadi menurutnya, setiap ahli BNBBC perlu bekerja lebih keras agar perkhidmatan yang diberikan sampai kepada setiap lapisan masyarakat.

“Apa yang Ketua Menteri mahukan adalah setiap janji yang dibuat tidak dibiarkan berlarutan sehingga enam bulan tanpa diselesaikan.

“Sebagai contoh, kalau berjanji hendak menghantar kipas, janganlah dibiarkan dalam tempoh lama.
“Setiap ahli BNBBC dan wakil rakyat BN perlu ingat apa yang dijanjikan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu Abdullah bersama ahli BNBBC yang lain bermesyuarat bersama Adenan yang juga pengerusi BN Negeri.

Namun menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu, perkara lebih penting adalah setiap wakil rakyat BN perlu lebih kerap turun padang.

“Kami diarahkan untuk bekerja keras kerana pilihan raya sudah hampir,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha BNBBC Negeri Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia merupakan perjumpaan sulung BNBBC bersama Ketua Menteri.

“Dalam mesyuarat ini kami menyatakan sokongan padu kepada Tan Sri Adenan sebagai Ketua Menteri.

“Ketua Menteri juga menyampaikan pesanan agar kita bersedia awal untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” jelasnya.

Dalam mesyuarat itu katanya, BNBBC Negeri turut menyatakan kepada Ketua Menteri mengenai kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diadakan tidak lama lagi.

“Kami telah mendapat kelulusan Ketua Menteri untuk berjumpa Perdana Menteri,” kata Dr Abdul Rahman. 

Sumber : Utusan Borneo

Rabu, 13 Ogos 2014

Pemecatan semua exco mendapat perkenan Sultan

Semalam pada jam 2 petang, Khalid telah mengutuskan surat kepada Sultan Selangor dan surat itu telah dibalas dalam waktu dua jam
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa penamatan khidmat exco tersebut sah dan sudah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurutnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah mengadakan mesyuarat seperti biasa dengan korum yang mencukupi bersama empat ahli MMKN dan tiga pegawai Ex-officio.
“Jumlah ini memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2) (b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai empat anggota MMKN untuk mentadbir negeri secara sah,” katanya sewaktu sidang media di SUK, hari ini.
Khalid turut menjelaskan bahawa semalam pada jam 2 petang, beliau telah mengutuskan surat kepada Sultan Selangor dan surat itu telah dibalas dalam waktu dua jam.
“Kita berpendapat bahawa 5 Exco tersebut tidak boleh diteruskan perkhidmatan mereka setelah mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan MB dan hanya menghadiri mesyuarat MMKN bagi memantau perjalanan kerajaan negeri serta hanya akan menurut kehendak parti yang mereka dukung.
“Kenyataan ini sekaligus bercanggah dengan 10 Aku Janji dan Sumpah Kesetiaan yang telah dilafazkan ketika mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.
Beliau berharap rakyat Selangor tidak lagi keliru dengan situasi ini kerana penamatan khidmat exco-exco ini dibuat secara sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Saya berharap rakyat Selangor bertenang kerana pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa manakala agenda membela kebajikan untuk rakyat akan diteruskan dan diutamakan,” ujarnya.
Baginda telah membalas surat tersebut dengan menyatakan, “Beta tiada halangan jika Tan Sri sebagai Menteri Besar menamatkan khidmat mereka,”.
Antara nama yang telah dipersembahkan kepada baginda adalah Elizabeth Wong, Dr Daroyah Alwi, Ean Yong Hian Wah, dan juga V. Ganabatirau.
Manakala Rodziah Ismail masih belum dipecat.
“Kita tunggu sehingga dia kembali dan keputusan akan dibuat bersandar kepada sama ada beliau setuju untuk bersama saya atau tidak, jika beliau enggan, beliau akan diminta untuk melepaskan jawatannya,” katanya.
Selain itu, Khalid turut mendapat nasihat daripada Tuanku Sultan Selangor supaya meneruskan pentadbiran dengan exco yang ada.
Ujarnya Khalid lagi, beliau turut menjelaskan bahawa masa yang cukup akan diberikan supaya bekas-bekas exco dapat mengosongkan meja mereka.
“Biasanya kita bagi satu atau dua minggu untuk mengemaskini dan sehingga kini, ada dua pejabat exco yang telah dikosongkan sejak ahad lalu,” katanya.
ADUN Pelabuhan Klang itu turut menjelaskan bahawa perkara mengenai perlantikan exco daripada Umno tidak berbangkit dan beliau juga akan berbincang perkara itu dengan Sultan juga bersama exco yang sedia ada.
Khalid turut menjelaskan kepada pemberita status kerajaan sekarang ini adalah terdiri daripada PKR, DAP, PAS, dan Umno pun ada.
“Harus diingat Pakatan Rakyat bukannya satu ‘registered body’,” katanya.
Sumber : FMT

Adenan minta SUPP dan UPP berkompromi

Pendirian Adenan dan PBB seolah-olah menampung UPP dan Teras, memandangkan ahli-ahli mereka masih dalam kabinet negeri.
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem telah meminta Sarawak United People’s Party (SUPP) untuk bercakap dengan bekas rakan mereka di United People’s Party (UPP) dan berkompromi sebelum pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Dua ahli sains politik dari Universiti Malaysia Sarawak memberikan pandangan yang berbeza apabila ditanya oleh media tempatan mengenai hal terbabit.
Prof Madya Andrew Aeria berkata, walaupun pemimpin SUPP tidak mahu bercakap dengan UPP sekarang, PRN yang akan datang masih lama, oleh itu terdapat peluang tinggi untuk satu penyelesaian dicapai.
“Saya tidak percaya bahawa pemimpin-pemimpin kanan Barisan Nasional seperti Adenan, yang juga Pengerusi BN negeri ini, akan mengizinkan perlawanan ‘free for all’,” kata Aeria.
Tetapi jika itu berlaku, yang berperang ialah pihak SUPP dan UPP – dan juga SPDP dan Teras, jika mereka gagal menyelesaikan perbezaan, mereka tidak akan dibenarkan untuk menggunakan logo BN.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Faisal S Hazis berkata pemimpin SUPP tidak akan menerima dengan baik “nasihat” untuk bercakap dengan UPP, yang berada di luar BN.
Perkara yang sama boleh dikatakan mengenai SPDP dan Teras, katanya. “Ini adalah salah satu isu utama Ketua Menteri yang perlu ditangani sebelum PRN.”
“Tetapi saya tidak melihat bagaimana mereka akan dapat duduk untuk menyelesaikan isu-isu mereka terutamanya dalam kes SUPP kerana perbezaan antara mereka sudah lama. Meskipun banyak yang menjadi taruhan parti dalam PRN 2011 dan PRU-13 yang lepas, keadaan mereka masih tetap sama.”
Faisal berkata akan terdapat rintangan yang lebih besar daripada SUPP untuk berunding dengan UPP. “UPP bukan dalam BN, jadi mengapa mesti SUPP perlu pergi dan bercakap dengan mereka?”
Adenan memberi isyarat jelas bahawa beliau menyokong UPP dan Teras
Faisal bersetuju dengan Aeria, jika isu-isu tersebut tidak diselesaikan, ia boleh membawa kepada pergaduhan antara pelbagai parti dalam PRN.
Pada masa ini, Faisal berkata pendirian Adenan dan PBB seolah-olah menampung UPP dan Teras, memandangkan ahli-ahli mereka masih dalam kabinet negeri.
“Adenan memberi isyarat jelas bahawa beliau menyokong UPP dan Teras,” katanya.
Sumber : FMT

Isnin, 4 Ogos 2014

Adenan trying to solve Sarawak BN woes

The emergence of Teras and UPP has affected the Sarawak BN's solidarity and strength and Chief Minister Adenan Satem is trying to find a solution to the problem.
SIBU: Chief Minister Adenan Satem is still working out a suitable solution to solve the problems in the Sarawak Barisan Nasional (BN) caused by the emergence of new political parties, namely Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) and the United People’s Party (UPP).
Teras and UPP are the results of internal leadership crises in the Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) and the Sarawak United People’s Party (SUPP) respectively.
Speaking at a Hari Raya do here last night, the chief minister said there was no doubt that the emergence of Teras and UPP has affected the Sarawak BN’s solidarity and strength to a certain extent.
“The opposition parties are cheering and may stand to gain, but I’m working out a solution. I cannot solve the problem there and then. Give me time, maybe one or two years to do so,” he said.
Both Teras and UPP have yet to be accepted into the BN. Teras is led by William Mawan, who is also the state’s Social Development and Urbanisation Minister and former SPDP president, while UPP is helmed by Wong Soon Koh, who is the state’s Local Government and Community Development Minister and former SUPP assistant secretary-general.
On the current state cabinet line-up, Adenan said he would maintain it without any changes and hence, keep Mawan and Wong.
“I want an inclusive not an exclusive government. This is the policy for us to prosper and progress,” he added. – Bernama

Jumaat, 1 Ogos 2014

Jambatan dibina terlalu rendah

Transportasi sungai tidak dapat diakses jika kontraktor meneruskan pembinaan dengan ketinggian jambatan yang telah di rencanakan.
DALAT: Penduduk di beberapa kawasan di daerah ini menggesa agar pembinaan jambatan di Jalan Kampung Tanam- Medong dihentikan buat sementara waktu.
Pembinaan jambatan tersebut melibatkan jalan di sepanjang Batang Oya yang merentasi beberapa kampung di kawasan ini seperti Kampung Medong, Kampung Kekan, Kampung Baru, Kampung Hilir, Kampung Brunei (bertentangan Bazar Dalat), Kampung Hilir, Kampung Dalat Hilir dan Kampung Tanam.
Gesaan itu dibuat oleh penduduk kampung kerana tidak senang dengan ketinggian jambatan yang di dakwa sangat rendah.
Beberapa penduduk telah mengadakan protes aman di tapak pembinaan cadangan jambatan di Sungai Dalam Dalat baru-baru ini dan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dalat bersama-sama dengan pemilik tanah yang hanya dikenali sebagai Jambori.
“Kita mahu pihak berkuasa untuk membina jambatan yang lebih tinggi di lapan buah sungai di sepanjang laluan terbabit. Kita mengesan beberapa jambatan dibina terlalu hampir atau lebih tinggi sedikit daripada tahap jalan raya. Ini akan mengakibatkan sungai terbabit tidak dapat diakses oleh  bot sekiranya kontraktor meneruskan pembinaan dengan ketinggian jambatan seperti sekarang ini. Ia akan merugikan penduduk kampung yang menggunakan bot untuk ke ladang dan mengangkut sagu dari hutan,” jelas Jambori.
Penduduk hantar surat protes kepada JKR
Penduduk kampung juga mahu kontraktor mengalihkan beberapa pembentung di kawasan sungai yang terjejas kerana menimbulkan halangan kepada penduduk kampung terutama sekali pemilik tanah.
Beliau turut mendedahkan bahawa mereka juga menghantar surat protes kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan salinan kepada Pejabar JKR di Dalat dan Mukah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kepada wakil rakyat.
Penduduk lain juga turut memberi komen mengenai laporan polis yang mereka lakukan selepas protes aman terbabit dan berharap pihak berkaitan memandang serius masalah ini.
FMT

Khamis, 31 Julai 2014

10 Ogos terlalu lewat bagi PAS

Kegagalan mengurus krisis dengan berkesan dan cepat akan menjejaskan imej PAS hingga ke akar umbi dan akan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap PAS terhakis.

KUALA LUMPUR : Pemuda PAS Malaysia menggesa agar pucuk pimpinan PAS mengambil langkah untuk mengadakan mesyuarat PAS Pusat dengan segera kerana keadaan waktu ini kian  meruncing lebih-lebih lagi  dengan wujudnya tanggapan negatif terhadap perbezaan pendapat yang ada dalam PAS.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, walaupun perbezaan pendapat merupakan sesuatu yang sihat dan adalah bertujuan untuk menjadikan PAS lebih berjaya, namun tanggapan-tanggapan  negatif dari pelbagai pihak akan membuat perpaduan di peringkat akar umbi parti tergugat kalau krisis ini tidak di tangani dengan cepat dan berkesan.
“Tarikh 10 Ogos 2014 untuk PAS Pusat mengadakan mesyuarat sudah terlambat untuk mengurus kemelut yang timbul dari pelbagai perbezaan pendapat oleh ahli-ahli parti PAS.”
“Jika krisis ini tidak ditangani secepat yang mungkin dan dengan berkesan, ia akan membuka peluang kepada “musuh-musuh” PAS, terutamanya UMNO, untuk menggagalkan hasrat dan cita-cita Pakatan Rakyat (PR) untuk mengambil alih Putrajaya dalam PRU ke-14 bagi meneruskan agenda perubahan dalam urustadbir dan tatakelola Malaysia’” tegas Suhaizan.
“PAS tidak boleh menafikan bahawa parti itu sedang di landa krisis. Selain membuka peluang untuk musuh masuk, keyakinan akar umbi dan rakyat terhadap parti akan turut terjejas ,” akhirinya.
FMT

PKR kecewa kenyataan AJK Pusat PAS


Kenyataan Dr Zuhdi bercanggah dengan janji PAS untuk menjunjung keadilan untuk semua kaum.
KUALA SELANGOR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedih dan kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh seorang AJK PAS Pusat dan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) iaitu Dr Zuhdi Marzuki yang telah bocor kepada umum.
Menurut Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, hal ini berlaku selepas mesej ‘Whatsapp’ itu telah bocor kepada umum. Bahkan Dr Zuhdi sedikitpun tidak menafikan berkenaan mesej tersebut malah beliau cuba memberi pelbagai alasan.
“Tidak kiralah apa alasan yang diberikan oleh Dr Zuhdi, kenyataan-kenyataan beliau seperti di dalam komunikasi whatsapp tidak boleh dinafikan lagi,” katanya dalam posting blognya yang terbaru www.rafiziramli.com
Jelas Rafizi lagi, Dr Zuhdi telah mencadangkan supaya PAS keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan bergabung dengan Umno untuk menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim. Malah, Dr Zuhdi turut mendakwa bahawa adanya seorang ADUN PKR yang berhasrat untuk melompat bersama-sama PAS keluar dari PR.
“Dia menyatakan perancangan bagaimana menggunakan kuasa di Selangor hasil dari penggabungan dengan Umno dan PAS itu untuk menekan bukan Melayu.
“Ayat yang digunakan olehnya bukanlah ayat yang membicarakan kemungkinan (atau senario), tetapi melambangkan sentimen kebencian dan semangat perkaumannya.
“Dia juga secara tidak langsung menyatakan persetujuan kepada tindakan-tindakan yang diambil JAIS terhadap penganut agama lain setakat ini,” katanya.
Dalam pada masa yang sama, Dr Zuhdi turut menyatakan perancangan bagaimana menggunakan kuasa di Selangor hasil dari penggabungan dengan Umno dan PAS itu untuk mengubah persempadanan pilihanraya agar berat sebelah dan mengenepikan orang bukan Melayu.
“Ini satu pengkhianatan besar kepada perjuangan menuntut pilihanraya yang adil dan bersih yang dibawa oleh rakyat, BERSIH, Pakatan Rakyat dan PAS selama ini,” ujarnya.
Jelas bahawa pandangan, cadangan dan pertimbangan Dr Zuhdi ini melanggar pelbagai dasar, ketetapan dan perjanjian yang dibuat oleh PAS, baik secara dalaman atau dengan rakan-rakan politik dan NGO lain.
Bahkan perkara tersebut turut bercanggah dengan ketetapan muktamar yang menolak Kerajaan Perpaduan dengan Umno walaupun ada pimpinan PAS yang membawa senario itu.
“Hal ini bercanggah dengan janji PAS yang menandatangani Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang menjunjung keadilan untuk semua kaum dan menolak perkauman sempit. Ia juga bercanggah dengan janji PAS yang menandatangani Buku Jingga Pakatan Rakyat, Manifesto Rakyat Pakatan Rakyat dalam PRU13, piagam bersama BERSIH2.0 yang menggariskan langkah-langkah dasar memberi keadilan kepada semua dan membawa reformasi pilihanraya yang bersih,” ujarnya.
Rafizi turut menjelaskan bahawa perbezaan pendapat memang dibenarkan di dalam mana-mana organisasi namun, pendapat dan sentimen yang dizahirkan oleh seorang Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS ini yang lebih biasa kita dengar dari PERKASA dan ISMA memberi gambaran bahawa masih ada unsur-unsur khianat kepada prinsip PR di dalam pucuk pimpinan PAS.
“Oleh yang demikian, saya memohon supaya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS menyatakan pendirian PAS berkenaan perkara ini. Bahkan menyatakan apakah akan ada tindakan disiplin ke atas Dr Zuhdi?
“Berapa ramai lagikah dari kalangan pimpinan PAS yang berpandangan perkauman dan anti demokrasi seperti ini supaya kita tahu pendirian mereka dan bukannya bermuka-muka di depan serta mengutarakan cadangan untuk khianati PR dalam perbincangan tertutup seperti Dr Zuhdi?
Pengarah Strategik PKR itu turut menyatakan bahawa kebersamaan PAS di dalam PR yang membawa pendekatan melalui dakwah kepada orang bukan Islam telah banyak membantu meningkatkan syiar Islam.
“Pendekatan itu telah melunakkan pandangan banyak orang bukan Islam yang melihat keadilan kepada semua yang dibawa oleh Islam melalui PR, selaras dengan sifat Islam yang membawa rahmat ke seluruh alam.
“Kenyataan perkauman songsang yang dibawa oleh pimpinan PAS seperti Dr Zuhdi telah merosakkan pandangan bukan Islam terhadap mesej Islam membawa rahmat ke seluruh alam yang dibawa PAS sendiri,” ujarnya.
FMT

Desakan Pemuda PAS di tolak PAS Pusat

KUALA LUMPUR : Ketua Pemuda PAS hari ini berkata, PAS Pusat telah menolak desakan Pemuda PAS untuk mengadakan mesyuarat PAS Pusat yang bertujuan untuk menangani krisis dalaman parti serta isu menteri besar Selangor, lebih awal dari yang di jadualkan pada 10 Ogos 2014.
Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata, “PAS Pusat tetap menyambut baik saranan dan desakan Pemuda PAS untuk menangani krisis yang tercetus akibat dari mesej WhatsApp kontroversial Dr.Zuhdi yang terdedah kepada umum tempoh hari.”
“Justeru kerana masih ada 10 hari lagi sebelum mesyuarat PAS Pusat, saya menyeru kepada semua pihak (PAS) agar tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang akan merugikan parti,” mintanya melalui satu kenyataan di laman Facebooknya.
Semalam Suhaizan mendesak supaya PAS Pusat mengadakan mesyuaratnya lebih awal dari yang di jadualkan supaya kontroversi-kontroversi dan perbedaan pendapat di antara anggota parti PAS yang menimbulkan kegelisahan di media massa dapat di atasi dengan segera supaya keyakinan akar-umbi dan rakyat terhadap parti tidak terjejas.
FMT

Mukah people say no sand dredging

MUKAH: Villagers of Kampung Litong in Mukah are strongly against the renewed sand dredging works at the mouth of the Mukah River for fear of soil erosion in the village.
Its Village Chief, Jamahari Sahli claims that if dredging work resumes in the area then ​​the village will sink and disappear from the world map.
“We are concerned about the future of our village and our children,” he complained. “We have taken up the matter with the authorities concerned but our pleas have fallen on deaf ears.”
Jamahari said that he and the other residents were not in principle against any party developing Mukah.
However, the future of the people in the village must also be taken into account, he added.
Apparently, dredging work was done at the river mouth before. However, on that occasion, the villagers successfully applied for a retaining wall to be built along the coast to reduce the impact of erosion.
“If there was no retaining wall, I believe the whole village would have been destroyed by severe soil erosion resulting in strong tidal waves from the ocean,” said Jamahari.
“During the monsoon season, the waves are usually strong, high and hit the river banks at Kampung Litong.”
If dredging resumes, more damage will occur in the area and it is possible that the retaining wall will sink into the river bed, he warned.
“There are already some effects in the area like the palm trees in the area disappearing, many jetties damaged and broken down and the continuing erosion of the river banks,” he said.
FMT

Saranan boleh diberi tetapi dengan hormat

KUCHING: Hari untuk bermain politik yang ada di masa lepas iaitu menunjukkan sikap tidak menghormati saingan politik sudah berakhir.
Veteran Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Peter Minos berkata Ketua Menteri Adenan Satem tidak perlu seseorang memberitahunya bagaimana untuk melakukan tugas beliau.
“Kita di Sarawak mempunyai pemimpin yang baik dan bijak dan itu ada pada Adenan, dan kita perlu menghormati beliau. Politik yang hina merupakan politik yang dimiliki pada masa lalu.
“Kematangan perlu ada dalam politik kita, seperti yang di amalkan di Barat yang lebih matang dan bertamadun dimana kerajaan dan oposisi menghormati di antara satu sama lain walaupun berbeza pendapat mengenai sesetengah perkara,” katanya mengulas polemik terbaru di ruangan forum media tempatan tentang cabaran DAP Sarawak baru baru ini kepada Adenan untuk mempertimbangkan Polisi Pembahruan 10 Perkara.
Adenan menunjukkan pembawaan kerhormatan dalam politik Sarawak, tegas Peter.
“Tidak ada ruginya untuk ahli politik di negeri ini mencontohi Adenan dan saya fikir politik di Semenanjung sangat penuh dengan kemarahan dan balas dendam serta politik begitu kita tidak mahu bertapak di Sarawak baik sekarang atau di masa depan.” tegas Peter.
Peter juga berkata bahawa seluruh rakyat Sarawak sudah mendengar dan membaca idea Adenan yang ingin mempromosi dan mempertahankan kepentingan Sarawak yang memfokuskan pembangunan luar bandar, melindungi kebebasan beragama dan permintaan untuk peruntukan yang lebih dari Kerajaan Persekutuan.
“Adenan melayan oposisi dengan hormat dan bertimbang rasa serta memahami banyak isu dan cabaran.
“Dalam masa kurang enam bulan, Adenan menunjukkan beliau pemimpin yang ada akal, bijaksana dan mempunyai keberanian. Ramai yang berkata demikian sama ada di Sarawak dan Semenanjung malah yang saya temui di London baru-baru ini juga berpendapat demikian.
Rakyat boleh memberi saran untuk memajukan Sarawak dengan cara yang terhormat
“Jika rakyat mempunyai saranan  bagaimana memajukan Sarawak, mereka boleh memberinya tetapi lakukannya dengan cara yang terhormat. Saya yakin Ketua Menteri akan mendengarnya,” kata Peter.
Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen, ketika membuat seruan kepada Adenan untuk mempertimbangkan Polisi Pembahruan 10 Perkara menegaskan pemerintah negara terlibat dengan kronisme, nepotisme dan polisi rasuah, dan masalah ini akan terus berkembang jika tidak ada reformasi dilaksanakan.
FMT

Sarawak mahu perhatian seperti Sabah

MIRI: Hartawan terkemuka Lau Siu Wai, 84, menggesa pihak berkuasa pelancongan Persekutuan untuk memberi perhatian kepada Sarawak, terutamanya kawasan utara, seperti mana ia memberikan perhatian kepada Sabah dari segi promosi di luar negara.
Lau, yang juga pengerusi Kumpulan Perumahan Miri, berkata berdasarkan maklum balas, ia seolah-olah seperti Sabah telah mendapat “majoriti saham” dalam promosi antarabangsa berbanding dengan apa yang diperuntukkan kepada Sarawak.
“Terdapat keperluan untuk memberi perhatian kepada Miri dan seluruh Sarawak dalam ekspo pelancongan antarabangsa,” katanya.
Beliau mengulas sesi perbincangan beliau yang diadakan baru baru ini tentang cara-cara untuk membuat Miri dan kawasan utara di negeri ini lebih terkenal dan berorientasikan pelancongan.
Program tiga jam itu dihadiri oleh pengusaha pelancongan dan pengusaha hotel serta wakil-wakil dari Dewan Perniagaan Cina dan Industri, Pejabat Residen Bahagian Miri, Lembaga Pelancongan Sarawak dan badan-badan pelancongan yang lain.
Tapak Warisan Dunia Mulu di utara negeri ini mempunyai gua terbesar di dunia
“Miri dan seluruh utara Sarawak seolah-olah tidak mendapat perhatian dari pihak Persekutuan dari segi promosi pelancongan,” tegas beliau.
“Risalah di Sarawak tidak diedarkan secara meluas kepada badan-badan pelancongan asing. Tapak Warisan Dunia Mulu di utara negeri ini mempunyai gua yang terbesar di dunia. Miri adalah merupakan pintu masuk ke tapak warisan ini. “
Lau adalah pemaju projek perumahan komersial pertama di utara Sarawak dan juga pemilik Meritz Hotel Miri.
Pada masa ini beliau terlibat dengan pembinaan sebuah taman tema air benilai RM 400 juta berhampiran dengan sempadan Sarawak-Brunei, 35km dari utara Miri.
FMT

Pelampau agama, rasis dilarang masuk Sarawak


KUCHING: Sarawak bertegas tidak akan membenarkan golongan pelampau agama dan politik rasis memasuki negeri ini.
Ketua Menteri Adenan Haji Satem berkata, pendirian tegas itu bagi memastikan elemen-elemen negatif itu tidak menjejaskan keharmonian agama dan sosial di Sarawak.
“Kita mampu mengekalkan keharmonian agama dan sosialnya kerana rakyat mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap rakan-rakan yang tidak seagama dan sebangsa.
“Umat Islam hendaklah terus menunjukkan bahawa mereka sentiasa berpegang kepada keserdahaan atau Wassatiyah dalam setiap aspek kehidupan dan pandangan mereka.
“Konsep Wassatiyah adalah jalan ke arah masa hadapan yang lebih cerah kepada umat Islam di negeri ini dan juga kepada penganut-penganut agama lain,” katanya dalam ucapannya sempena hari raya.
Beliau berkata, keharmonian tersebut terus diperkukuhkan dengan sikap keserdahanaan anak-anak Sarawak dalam pelbagai aspek kehidupan harian mereka.
Menurut Adenan, kisah-kisah peperangan dan pembunuhan antara sesama agama dan sebangsa di negara-negara luar yang terpampang di kaca televisyen dan surat khabar menginsafkan bahawa betapa bernasibnya rakyat Sarawak di Bumi Kenyalang.
“Semangat perpaduan antara rakyat pelbagai agama dan keturunan yang telah dibina bersama di negeri ini menjadi kebanggaan kita. Tidak dinafikan kita mempunyai perbezaan pendapat dan pandangan, tetapi itu bukan bermakna kita tidak mampu mencapai kesepakatan,” jelasnya.
Usaha untuk mengurangkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar
Toleran membawa maksud masih terdapat elemen ‘terpaksa’. Kita bukan setakat toleran terhadap orang yang berbeza dengan kita tetapi seharusnya menghormati perbezaan mereka dengan kita dari segi pegangan agama, budaya dan latar belakang keturunan, ujarnya.
Dari segi ekonomi, kata Adenan, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha untuk mengurangkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar, antara orang berada dan kurang berada.
“Negeri ini mempunyai banyak sumber asli yang telah dibangunkan secara tersusun untuk mengangkat status ekonomi dan taraf hidup rakyatnya.
“Persoalan yang harus dititikberatkan ialah kaedah dan cara pembahagian kekayaan yang akan merapatkan jurang-jurang ini supaya taraf hidup rakyat mampu dipertingkatkan dengan lebih adil dan saksama,” katanya.
FMT