Rabu, 29 Januari 2014

Bekas Mufti: Islam larang serang di rumah ibadat

Pendakwah popular, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Islam melarang umatnya menyerang ataupun berbunuhan di dalam rumah ibadat walaupun kerana berbeza agama.
Pada Isnin, ketika pertikaian berhubung kalimah Allah masih terus diperdebatkan, insiden serangan dua bom buatan sendiri molotov cocktail di sebuah gereja Pulau Pinang mengejutkan negara.
Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
"Dalam peperangan agama tidak benarkan iaitu antara ciri peperangan Islam, tidak boleh dibunuh mereka yang sedang beribadat dalam rumah ibadat," katanya kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas tentang isu serangan terbaru tersebut.
Bekas mufti Perli yang juga menetap di Pulau Pinang itu berkata, alasan untuk menyerang kerana kain rentang provokasi yang dipasang di hadapan gereja adalah tidak wajar dan umat Islam perlu bersikap adil.
"Saya harap orang Islam bersifat adil dalam hal ini.
"Walaupun digantung kain rentang tersebut, dalam peperangan Islam tidak benar musnahkan tempat ibadat," katanya.
Insiden serangan di gereja Pulau Pinang dikhuatiri mempunyai kaitan dengan kain rentang bertulis “Allah is great, Jesus is the son of Allah” yang digantung di luar gereja di Lebuh Farquhar, Sungai Pinang, Pulau Tikus dan Gelugor.
Mohd Asri turut mengecam keras pihak yang tidak bertanggungjawab menyerang gereja tersebut dan ia adalah suatu dosa besar daripada pandangan Islam.
"Sesiapa yang baling, serang rumah ibadat orang lain dengan rasa ia semangat agama, sebenarnya dia melakukan dosa yang besar," katanya.
Mengenai beberapa siri demonstrasi ganas yang didalangi kumpulan pendesak Melayu pro-Umno, Mohd Asri berkata, beliau menghormati hak untuk berhimpun tetapi menasihatkan mereka yang terbabit jangan sehingga mencetuskan provokasi.
"Demonstrasi adalah hak untuk manusia meluahkan rasa, mungkin kita boleh bersetuju, selagi aman tidak apa.
"Tetapi kita tidak boleh sehingga memusnahkan rumah ibadat orang lain, sesiapa yang melakukan adalah berdosa besar," katanya.
Sementara itu, Mohd Asri berkata, beliau bimbang  dengan provokasi yang dicetuskan oleh pihak tertentu di negeri tersebut sehingga menyebabkan orang awam menjadi mangsa.
"Saya bimbang pihak yang mencetuskan provokasi ini mempengaruhi orang awam dan akhirnya menjejaskan keselamatan," katanya.
Gereja Church of the Assumption di Lebuh Farquhar, Pulau Pinang diserang bom buatan sendiri awal pagi Isnin selepas kain rentang kontroversi kalimah Allah digantung di luar gereja tersebut pada Ahad.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim, berkata dua bom buatan sendiri molotov cocktail, dibaling ke kawasan lapang gereja tersebut.
Isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Islam mencetuskan perbalahan apabila umat Islam yang membentuk sejumlah besar populasi di negara menganggap perkataan berkenaan adalah hak eksklusif mereka.
Penganut Kristian membentuk 9% daripada 29 juta rakyat di negara ini.
Awal bulan lalu, sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan pro-Umno dan beberapa NGO lain menganjurkan perhimpunan dengan memainkan isu perkauman dan agama sebagai serangan balas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR, Lee Khai Loon yang dikecam gara-gara tarian parodi flash mob kangkung.
Selain menjulang sepanduk yang berunsurkan provakatif, kumpulan tersebut memainkan isu rusuhan 13 Mei sambil melaungkan kenyataan rasis dan keagamaan. – 29 Januari 2014.

Tiada ulasan: