Selasa, 28 Januari 2014

Jangan perjudi masa depan Sarawak - Jeffery

KUCHING: Pengerusi Parti Reformasi Negeri (STAR) Cawangan Sabah Datuk Dr Jeffery G Kitingan mengingatkan rakyat Sarawak agar tidak memperjudikan masa depan negeri ini dengan membenarkan kemasukan UMNO.

Datuk Dr Jeffery G Kitingan
Bercakap pada sidang media di sini semalam, Dr Jeffery berkata Sarawak harus belajar daripada kesilapan yang dilakukan oleh Sabah yang kini dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan di bawah UMNO.

“Jujur saya katakan Sabah kini dalam situasi yang amat buruk kerana segalanya dikuasai oleh kerajaan persekutuan termasuk imigresen sehingga menyukarkan kawalan keluar masuk pendatang asing.

“Jika Sarawak memberikan ruang kepada UMNO untuk bertapak di negeri ini percayalah saya, mereka akan menguasai segalanya yang ada di negeri ini termasuk hasil kekayaan bumi di sini,” dakwanya.

Tambah Dr Jeffery, adalah menyedihkan jika Sarawak membenarkan UMNO memasuki negeri dan beliau yakin pihak UMNO tidak akan berhenti berusaha untuk mengambil peluang bagi merealisasikan hasrat mereka.

“UMNO tidak akan berputus asa malah saya percaya ada invidivu yang mempunyai hasrat untuk memimpin negeri ini sanggup menawarkan diri mereka untuk membantu UMNO.

“Kerajaan negeri dan semua parti politik tempatan di negeri ini harus menolak mereka menjadi lebih kuat untuk mematahkan usaha UMNO termasuk Pakatan Rakyat (PR) kerana pada saya UMNO atau PR tidak jauh bezanya,” katanya.

Ditanya mengenai pandangan beliau terhadap situasi dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dr Jeffery berkata ia adalah menyedihkan melihat parti bersejarah yang pernah berjuang untuk Sarawak ini dalam awang-awangan.

“Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai apa yang berlaku dalam parti ini, tetapi sudah pasti agak menyedihkan jika pendaftarannya dibatalkan kerana segala usaha yang diperjuangkan selama ini akan terkubur sama.

“Adalah lebih baik jika SUPP kembali kepada perjuangan asalnya dan ia mungkin boleh membantu memulihkan semula parti ini,” katanya ringkas.


Read more: http://www.theborneopost.com/2014/01/28/jangan-perjudi-masa-depan-sarawak/#ixzz2reUKwGrU

Tiada ulasan: