Rabu, 29 Januari 2014

Khalid nafi PDRM akan tubuh Unit Polis Syarie

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan pihaknya akan menubuhkan Unit Polis Syarie yang menjadi kritikan banyak pihak.
Tan Sri Khalid Abu Bakar
Khalid berkata, laporan mengatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan unit tersebut adalah tidak benar dan disalah tafsir pihak tertentu.
"Tidak benar tentang laporan mengatakan kami akan menubuhkan satu unit dan menangkap pasangan di taman ataupun berkhalwat," katanya pada sidang media di Bukit Aman, pagi ini.
"Berlaku salah faham dengan apa yang sedang berlaku," katanya.
Khalid berkata, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya bermaksud polis menawarkan khidmat kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) secara tetap.
"Ketika ini, penguatkuasa agama pusat dan negeri meminta bantuan polis secara sementara.
"Sekarang, polis dan Kementerian Dalam Negeri sedang berbincang kemungkinan anggota polis ditempatkan dalam jabatan penguatkuasa tersebut secara tetap," katanya.
Beliau berkata, perbincangan antara polis, Jakim dan KDN masih sedang berjalan.
"Jakim perlu memohon kepada Jabatan Perkhimatan Awam untuk membuka jawatan supaya anggota polis yang ditempatkan akan mendapat arahan pindahan secara rasmi," katanya.
Sabtu lalu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustafa, berkata Unit Polis Syarie  akan dimuktamadkan selepas perbincangan mengenai skop tugas dan bidang kuasanya selesai tidak lama lagi.
Bagaimanapun, pakar perlembagaan menegaskan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Islam merupakan urusan negeri dan ia akan bertentangan dengan tugas polis. - 29 Januari, 2014.
Sumber : The Malaysian Insider Sila klik di sini

Tiada ulasan: