Rabu, 29 Januari 2014

Rafizi: Anwar ke Kajang pertahan Selangor daripada Umno jika Najib jatuh

PKR hari ini menjelaskan rasional di sebalik pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon adalah langkah menghadapi plot menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari dalam Umno oleh kem Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli. Gambar fail.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata usaha untuk menyingkirkan Najib mula dijalankan kem bekas perdana menteri itu yang juga merupakan musuh utama kepada Anwar dalam kes  pemecatan bekas timbalan perdana menteri itu pada 1998.
"Sudah menjadi rahsia terbuka langkah untuk menyingkirkan Najib kini bermula.
"Sebagai seorang anggota strategi parti, saya tidak boleh menolak kemungkinan Najib disingkir dan Umno jatuh kepada kem ultra Dr Mahathir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi membayangkan perkara lebih buruk berlaku sebaik usaha tersebut berjaya kerana usaha untuk merampas negeri Selangor akan dilakukan sedaya upaya sebaik sahaja Najib tersingkir.
"Serangan dan rancangan tidak bermoral untuk sedaya upaya merampas Selangor akan bermula selepas Najib yang lemah disingkirkan," katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kontroversi agama dan perkauman yang dimainkan oleh Umno dan sekutu mereka sejak kebelakangan ini adalah isyarat jelas bahawa perkara di luar jangkaan mungkin berlaku.
"Jika Najib jatuh, diramalkan isu manipulasi perkauman dan agama akan dicipta untuk mewujudkan ketidakpercayaan dan kekecewaan kepada kerajaan negeri Selangor," katanya.
Rafizi berkata, langkah meletakkan Anwar bertanding di Kajang juga adalah sebagai batu loncatan kepada Pakatan Rakyat (PR) dalam usaha merampas pentadbiran Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).
"Istanbul menjadi batu loncatan kepada Erdogan dan Jakarta kepada Jokowi, Selangor boleh menjadi batu loncatan kepada Pakatan untuk merampas Putrajaya," katanya.
Sementara itu, katanya, PR memerlukan pemimpin tertinggi dan berkemampuan untuk mempertahankan Selangor daripada dirampas BN kerana negeri tersebut dianggap mutiara kepada mana-mana parti politik di Malaysia.
"Kita perlukan sebanyak mungkin pemimpin tertinggi di Selangor untuk mempertahankannya kerana ia merupakan mutiara kepada mana-mana gabungan parti politik di dalam negara," katanya.
Rafizi berkata, tidak mustahil suatu hari nanti kontroversi PKR di Kajang akan mengubah rentak strategi menuju ke Putrajaya.
"Kita boleh imbau ketika saat sukar yang akan dikenang sebagai 'Langkah Kajang' sebagai penentu dalam usaha menawan Putrajaya,” katanya.
Rafizi turut meminta maaf kepada pengundi Kajang kerana terpaksa berdepan satu lagi pilihan raya dan menegaskan PKR sedia menerima akibat sekiranya pengundi menghukum mereka.
PKR di Selangor ketika ini sedang bergolak selepas dikatakan wujud usaha untuk menjatuhkan menteri besar penggal kedua, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada tampuk pemerintahan.
Krisis dan kontroversi tercetus sejak pengumuman kenaikan gaji oleh Abdul Khalid yang dikatakan tidak dibuat secara konsensus.
Kemudiaan disusuli dengan insiden pengguguran Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali daripada anak syarikat negeri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) baru-baru ini.
Kemelut PKR berterusan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusinya pada Isnin.
Semalam, pengumuman dibuat oleh PKR untuk meletak Anwar sebagai calon di kerusi yang dianggap selamat untuk dimenangi.
Langkah meletak Anwar dilihat pengkritik sebagai usaha meredakan ketegangan antara kem Abdul Khalid dan Azmin yang menyukarkan pentadbiran Selangor. - 29 Januari, 2014.
Sumber : The Malaysian Insider Sila klik di sini untuk berita lanjut

Tiada ulasan: