Khamis, 30 Januari 2014

Tindakan memainkan isu agama sekadar gimik politik pihak tertentu, kata Fadillah

KUCHING: Sarawak aman dan tidak menghadapi sebarang isu agama seperti mana berlaku di Semenanjung Malaysia.

Demikian ujar Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof ketika diminta mengulas mengenai isu kalimah ‘Allah’ yang digunakan dalam upacara keagamaan, lagu-lagu dan bahan cetakan penganut Kristian di sini.

“Ketua Menteri dan Menteri Muda Hal Ehwal Islam telah memberi jaminan bahawa tidak ada isu selagi negeri itu adalah Sarawak,” ujarnya masingmasing merujuk kepada Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Datuk Daud Abdul Rahman.

Fadillah berkata, rakyat Sarawak sememangnya dikenali sebagai toleran dan tidak pernah menganggap perkara tersebut sebagai satu isu.

“Alkitab yang ditulis dalam bahasa Melayu di Sarawak tidak pernah menjadi isu pun.  Kita sentiasa menerimanya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian sumbangan Tahun Baharu Cina kepada 100 penerima terdiri daripada warga emas masyarakat Cina di Dewan SUPP di Sungai Tengah, Matang di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi SUPP Cawangan Tupong, Kapitan Chin Foh Shaw.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) Sarawak akan mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang jika isu tersebut tidak diselesaikan, Fadillah berkata ia sekadar gimik politik.

“Orang mahu bermain dengan sentimen, iaitu mewujudkan perasaan sakit hati bagi menentang kerajaan,” tambah Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya.

Fadillah memberi jaminan, sebagai Pengerusi Pemuda BN Negeri, beliau akan berjuang untuk mengekalkan hubungan yang stabil, aman dan harmoni di kalangan kumpulan etnik dan agama di negeri ini.

“Itu adalah perkara yang paling penting.  Kita mesti melindungi Sarawak.  Kestabilan dan hubungan harmoni di antara rakyat adalah kunci untuk berjaya di sini,” tegasnya.

Read more: http://www.theborneopost.com/2014/01/29/rakyat-sarawak-memang-toleran/#ixzz2rnyPdbaB


Tiada ulasan: