Selasa, 11 Februari 2014

Adenan dijangka mengangkat sumpah 28 Feb - Laporan Berita Harian

Kuching: Lawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Lundu, dalam kawasan DUN Tanjung Datu yang diwakili Tan Sri Adenan Satem pada Jumaat ini, memperkukuhkan spekulasi perlantikannya sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu. 
Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem

Malah, lawatan Timbalan Perdana Menteri itu memberi isyarat perlantikan Adenan menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang dijangka bersara hujung bulan ini mendapat restu Kerajaan Persekutuan.

Adenan, 69, yang juga Ketua Penerangan PBB dijangka mengangkat sumpah di hadapan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, pada 28 Februari. 

Majlis angkat sumpah Yang di-Pertua Negeri yang baharu menggantikan Abang Salahuddin yang berakhir tempoh khidmatnya pada hari yang sama pula, dijadual berlangsung 1 Mac, di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah. 


Buat pengumuman 

Muhyiddin dijangka membuat pengumuman itu dalam salah satu majlis sempena lawatannya. 

Difahamkan, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) mempunyai jadual ketat sepanjang sehari suntuk di Lundu. 
Beliau dijadual menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu bermula jam 9 pagi sebelum menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al-Taqwa dan Kenduri Rakyat sebelum berlepas pulang ke ibu negara pada jam 3 petang. 

Selain Abdul Taib dan Adenan, majlis dijangka dihadiri pemimpin tiga parti komponen BN Sarawak - Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). 

Sumber memberitahu BH, Muhyiddin mempunyai jadual ketat sepanjang tiga hari lawatan kerja ke Sarawak bermula esok hingga Jumaat. 

Katanya, selain mahu meninjau sendiri keadaan rakyat susulan isu kenaikan harga barang, beliau dijangka mengadakan pertemuan tertutup bersama Abdul Taib, Adenan dan pemimpin parti komponen lain berhubung pelan peralihan kuasa di negeri ini. 

“Kemungkinan ada pengumuman besar Jumaat ini....14 Februari 2014 (14/2/14) tarikh yang sangat cantik dan ada tiga majlis besar pada hari itu yang membabitkan penyertaan rakyat. Kita tunggu dan lihat saja nanti,” katanya. 

Serah nama pengganti 

Sementara itu, Abdul Taib mengesahkan akan menemui Tun Abang Muhammad Salahuddin bagi memaklumkan pengunduran serta menyerahkan nama pengganti beliau pada Sabtu ini. 

Abdul Taib berkata, beliau merancang meneruskan tugasnya kepada negara dalam bidang lain yang lebih ‘santai’ dan tidak memerlukannya mencampuri perkara lebih serius. 

“Saya akan berjumpa Yang di-Pertua Negeri 15 Februari ini... saya akan bersara... jangan bimbang. 

“Saya akan melihat ke depan selepas persaraan ini dan mahu terus menyumbang dalam tugas yang lebih santai,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Ulangtahun RELA Ke-42 Peringkat Sarawak, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). 

Menurut sumber Unit Protokol Astana Negeri, belum ada sebarang arahan dikeluarkan berhubung majlis angkat sumpah berkenaan. 

“Kami belum menerima sebarang arahan, namun sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.


Klik di sini untuk berita lanjut

Tiada ulasan: