Khamis, 27 Februari 2014

Bekir nafi dirinya calon Balingian

KUCHING: Anak Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Dato Sri Mahmud Abu Bekir Taib menafikan beliau adalah calon untuk Balingian apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kelak.

Beliau berkata, masih terlalu awal bagi dirinya untuk berkecimpung dalam dunia politik ekoran tanggungjawabnya dalam sektor korporat.

“Saya mengutamakan kepentingan penduduk Sarawak namun jika saya dipanggil untuk berkhidmat, saya akan melakukan yang terbaik tetapi sekarang saya amat sibuk dalam sektor korporat.

“Saya bersedia berkhidmat… cuma saya rasa saya belum diperlukan dalam masa terdekat ini,” jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Penyerahan Kontrak antara Sarawak Energy Berhad dengan usaha sama Sinohydro Corporation Sdn Bhd-Trenergy Infrastructure Sdn Bhd di Menara SEB The Isthmus di sini, semalam.

Bekir yang juga pengerusi Trenergy Infrastructure Sdn Bhd berkata demikian ketika ditanya jika beliau berminat untuk bertanding di kerusi Balingian apabila ia dikosongkan oleh bapanya kelak.

PRK di Balingian dijangka boleh diadakan bila-bila masa apabila Taib mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ADUN Balingian semalam yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri pada 2001.

Taib dijangka menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian kepada Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar hari ini.

Taib, 77, presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 12 Februari lalu mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri yang disandangnya lebih tiga dekad sejak 1981, berkuat kuasa 28 Februari ini.

Taib dijangka akan menjadi Yang di-Pertua Negeri baharu bagi menggantikan Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin yang akan bersara pada 28 Februari ini. - BP

Tiada ulasan: