Jumaat, 28 Februari 2014

Tok Guru lempar fitnah, umpama 'kerana pulut santan binasa'

Pepatah Melayu berkata, akibat pulut santan binasa, akibat mulut badan binasa. Itulah akibat yang ditanggung Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang yang menuduh calon-calon PKR ada yang jadi pengedar pil kuda ketika mengulas pertindihan calon pada PRU tahun lepas.

Akibat keceluparan Haji Hadi, beliau disaman malu oleh calon PKR Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin. Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul berhubung kes saman fitnahnya terhadap bekas calon PKR Dun Bukit Besi itu.

Mengikut persetujuan PAS dan PKR Terengganu, PKR yang sepatutnya bertanding di DUN Bukit Besi pada 5 Mei 2013. PKR meletakkan Mohd Shamsul Mat Amin tetapi PAS yang kononnya berjuang atas nama Islam mungkir janji apabila turut meletakkan calonnya, Roslan Ismail.

PAS yang tamak sanggup menjadi parti munafik apabila meletakkan calon di kawasan yang sepatutnya ditandingi PKR di empat kerusi termasuk Bukit Besi. Hanya di DUN Bandar sahaja yang ditandingi calon PKR, Mohd Azan Ismail tidak dikacau oleh calon PAS.

Dalam pertandingan tiga penjuru di Bukit Besi, calon PKR kalah teruk mendapat 52 undi sahaja manakala calon PAS, Roslan Ismail mendapat 4408 undi dan calon BN, Roslee Daud mendapat 6966 undi. Calon BN menang dengan majoriti 2558 undi.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menawarkan diri menjadi orang tengah menyelesaikan isu saman RM2juta antara Presiden PAS dengan bekas calon PKR Mohd Shamsul Mat Amin di luar mahkamah.

“Saya boleh faham kedua-dua situasi di mana seseorang rasa terluka hati dan saya berharap rakan kita yang buat saman itu mungkin dia nak pengiktirafan terhadap maruah beliau dan saya juga yakin Haji Hadi sedia buat rundingan.Kalau tidak ada orang lain nak mainkan peranan tu saya nak tawarkan diri,” katanya pada 25 Februari lalu.

Semalam Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan parti itu sedang berusaha untuk menyelesaikan isu melibatkan saman RM2 juta antara Abdul Hadi Awang dan bekas calon PKR Dun Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, walaupun keluarga Mohd Shamsul berkeras untuk meneruskan saman tersebut namun pemimpin PKR di peringkat pusat telah memberikan nasihat kepadanya berhubung perkara tersebut.

“Pimpinan telah nasihat dulu. Keluarga berkeras. Saya telah jelaskan kepada Abdul Hadi.

“Kita sedang usahakan,” katanya yang dipetik daripada laman mikro Twitter miliknya.

Terbaru, PKR melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution berkata, pemimpin parti telah mengadakan rundingan dengan plaintif untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Kita telah hubungi Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail untuk menyelesaikan isu tersebut dengan pelbagai cara. Kita juga minta untuk tidak teruskan saman terhadap Abdul Hadi.

“Kita ada petunjuk positif untuk selesaikan perkara itu dengan baik daripada Mohd Shamsul,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shamsul Mat Amin menegaskan soal menarik balik saman sebanyak RM2 juta terhadap Presiden Pas sudah terlewat.

Menurut Mohd. Shamsul, dia tetap dengan pendirian itu kerana baginya, dakwaan pemimpin Pas itu berkait ‘calon pil kuda’ dalam Pilihan Raya Umum lalu cukup serius kerana secara tidak langsung melibatkan maruah, nama baiknya dan keluarga.

Beliau tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk menyulitkan keadaan pemimpin Pas itu atau menjejaskan hubungan antara parti tetapi didorong untuk membersihkan maruah yang tercemar.

“Kalau betul nak berbaik, sepatutnya boleh buat dari dahulu lagi (sebelum kes difailkan di mahkamah). Jumpa saya, kita bincang elok-elok. Saya dah beritahu dulu. Tapi, bila jadi macam ini (perintah saman dikeluarkan), dah tak gunalah sebab dah jadi kes mahkamah.

“Saya pun tak nak cakap banyak. Biarlah mahkamah yang uruskan. Apa-apa hal selepas ini, saya kena rujuk peguam dahulu,” katanya ketika dihubungi dua hari lepas.

Tindakan saman itu dibuat Mohd. Shamsul selepas Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum lalu sebagai alasan untuk Pas meletakkan calonnya bertanding di DUN Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dalam pernyataan tuntutannya, dia mendakwa, ucapan Abdul Hadi dalam satu ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April lalu telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan.

Mohd. Shamsul yang merupakan pemaju perumahan juga mendakwa berdepan dengan tekanan emosi dan mental yang berpanjangan setelah menerima cemuhan dan penghinaan serta dipandang serong oleh masyarakat.

Sementara itu, peguam Mohd. Shamsul, A. Vasudevan ketika dihubungi memberitahu, saman malu itu tidak boleh ditarik balik, namun peguam defendan boleh memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar tersebut.

“Hakim kemudian akan buat keputusan sama ada membenarkan permohonan itu atau tidak,” katanya.

Sementara itu  wujud satu fenomena ‘menjatuhkan hukuman’ kepada para peguam PAS terutamanya Haji Asmuni Awi kerana kononnya peguam telah cuai, leka, tidak kompeten bahkan sampai ke tahap peguam dituduh mensabotaj Presiden PAS hingga Penghakiman Ingkar tersebut dimasukkan.

“Di dalam kes ini, yang menyaman adalah plaintif dan defendan di dalam kes ini ialah Haji Abdul Hadi Awang. Di dalam mana-mana saman bagi kes sivil, plaintif bebas untuk meletakkan mana-mana alamat defendan yang difikirkan sesuai bagi plaintif.,” kata Pengarah Jabatan Undang Undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS Malaysia (JUHAM) Noorazmir Zakaria sebagai mengulas kritikan ahli-ahli PAS kepada peguam Haji Hadi.

Katanya, dari segi undang-undang, defendan tidak mempunyai kuasa untuk meminda alamat defendan di dalam saman yang difailkan oleh plaintif.

“Meskipun sebelum dari Writ Saman ini difailkan lagi Haji Asmuni telah memaklumkan secara bertulis kepada peguamcara  defendan memohon agar sebarang writ saman yang difailkan dapat diserahkan kepada Haji Asmuni sendiri, namun adalah di luar bidang kuasa peguam defendan sekiranya pihak plaintif tetap ingin menyerahkan saman tersebut ke alamat Presiden PAS di Marang.,” jelas beliau.

Justeru, katanya lagi, Haji Asmuni sebagai peguam defendan langsung tidak boleh dipersalahkan apabila pihak plaintif meletakkan alamat defendan di Marang kerana ia adalah hak sepenuhnya di pihak plaintif.

Bagi saya, kenapa Haji Hadi tidak minta maaf dari awal kepada Shamsul sehingga Shamsul terpaksa meneruskan tindakan saman ini. Alasan tidak menerima surat saman yang dialamatkan ke rumah Haji Hadi tidak boleh diterima kerana ada bukti surat berdaftar itu diterima.

Tiada ulasan: