Khamis, 20 Februari 2014

Dua kali Najib dimalukan - Penganalisa

PETALING JAYA: Dua kali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dimalukan. Kali pertama pada bulan November lalu apabila Ustaz Elias Kazim menolak perlantikan ahli majlis tertinggi Umno sedangkan Umno sudah membuat pengumuman rasmi mengenai perlantikan tersebut.
Kali kedua, minggu lepas apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy meletakkan jawatan kerana kegagalan Najib memenuhi janji-janji dengan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).
Bukan sahaja beliau meletakkan jawatan malah Pengerusi Hindraf itu mendesak Najib berundur. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin merupakan menteri yang pertama mempertahankan Najib.
Menurut beliau, Waythamoorthy sebaliknya perlu menyalahkan dirinya sendiri kerana gagal bekerja sebagai satu pasukan dan tidak efektif dalam membawa perjuangannya ketika diberi peluang menganggotai Kabinet.
Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno mendedahkan, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bertindak menuntut kesemua bajet kerajaan melibatkan masyarakat India untuk diletakkan di bawah kawalannya.
“Waythamoorthy ingin mengawal semua transaksi kewangan dan membelakangi kementerian-kementerian dan agensi kerajaan. Kerajaan tidak beroperasi sebegini. Apabila beliau tidak mendapat perkara tersebut, beliau berhenti dan menyalahkan Perdana Menteri,” katanya dalam akaun Twitternya semalam.
Hari ini Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan desakan Wathyamoorthy itu sebagai biadab dan melampaui batas.
Katanya, sikap Waythamoorthy yang cuba menyalahkan kerajaan khususnya Perdana Menteri pada hakikatnya, merupakan permainan politik beliau untuk menutup sikapnya yang mementingkan diri.
Naib Presiden Umno itu berkata tindakan beliau selaku Timbalan Menteri yang menuntut agar semua bajet kerajaan untuk masyarakat India diletakkan di bawah kawalannya mencerminkan sikap tamak dan tidak ikhlas beliau dalam memperjuangkan nasib kaum India secara holistik, seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini.
Laporan Free Malaysia Today

Tiada ulasan: