Rabu, 26 Februari 2014

Hadi fail permohonan ketepikan perintah ingkar

KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon PKR Dun Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin, di Mahkamah Tinggi, di sini, esok.

Permohonan itu akan difailkan peguam Pas, Asmuni Awi, untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar yang dikeluarkan mahkamah Ahad lalu.

Asmuni berkata, pihaknya sudah selesai proses dokumentasi yang diperlukan, dan yakin perintah penghakiman ingkar itu boleh diketepikan berdasarkan etika pengurusan kes berkenaan.

“Saya tidak boleh ulas lanjut, tetapi kita yakin boleh selesaikan perkara ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, Ahad lalu, Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul berhubung kes saman fitnahnya terhadap Ketua Angkatan Muda PKR Dungun itu.

Perintah penghakiman ingkar itu dikeluarkan selepas Abdul Hadi gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang difailkan Mohd Shamsul (plaintif) pada 5 Disember tahun lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mohamad Nasrudin Mohamed, merekodkan penghakiman itu selepas membenarkan permohonan Mohd Shamsul melalui peguamnya, A Vasudevan.

Abdul Hadi gagal hadir sepanjang tiga kali kes itu disebut di mahkamah dan tidak mengemukakan sebarang memorandum ketidakhadiran atau pembelaan terhadap tuntutan itu.

Mohd Shamsul memfailkan saman itu bagi membersihkan namanya, susulan ceramah Hadi (defendan) di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tahun lalu.

Beliau mendakwa ceramah itu mengaitkan calon PKR dengan pil kuda, sekali gus menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon PKR dan ahli perniagaan.

Plaintif sebelum ini menghantar surat kepada Hadi menuntut permohonan maaf secara terbuka, namun dalam surat balasnya, Presiden Pas itu menafikan pernah mengaitkan plaintif dengan kegiatan penagihan pil kuda.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa fitnah Hadi menyebabkan dia berdepan tekanan emosi dan mental berpanjangan serta menerima cemuhan dan penghinaan serta dipandang serong oleh masyarakat.

Katanya, Hadi membuat tuduhan itu sebagai penjelasan kepada tindakan meletakkan calon Pas di tempat yang ditandingi calon PKR, sehingga berlaku pertindihan calon dalam pembangkang
. - SH

Tiada ulasan: