Rabu, 26 Februari 2014

Husam tawar diri jadi orang tengah, cuba tutup kes fitnah

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menawarkan diri menjadi orang tengah menyelesaikan isu saman RM2juta antara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan bekas calon PKR Mohd Shamsul Mat Amin luar mahkamah.
“Saya boleh faham kedua-dua situasi di mana seseorang rasa terluka hati dan saya berharap rakan kita yang buat saman itu mungkin dia nak pengiktirafan terhadap maruah beliau dan saya juga yakin Presiden (Hadi) sedia buat rundingan.
“Kalau tidak ada orang lain nak mainkan peranan tu saya nak tawarkan diri.
“Saya tak kenal calon (PKR) tersebut tetapi saya nak tawarkan diri supaya ada penyelesaian luar mahkamah terhadap kes ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.
Husam berkata, menjadi tanggungjawab ahli mempertahankan pemimpinnya dan yakin perkara ini dapat diselesaikan dengan cara baik.
“Saya tak tahu apa sebab dari segi teknikal sampai berlakunya perkara ini…selaku Naib Presiden saya kena jaga (kedudukan) Presiden,” katanya.
Ditanya sama ada Hadi perlu mengemukakan permohonan maaf, bekas Exco Kelantan itu berkata ada beberapa jalan lain lagi yang boleh diambil untuk menyelesaikan kemelut itu.
“Kedudukan kedua-dua pihak kena fahami. Mungkin yang menyaman itu dia bukan nak sangat wang…Hadi pula saya yakin dia buat kenyataan itu bukan nak jatuhkan maruah mana-mana pihak,” katanya. - FMT Baca selanjutnya

Tiada ulasan: