Jumaat, 21 Februari 2014

Jabu lebih daripada sekadar orang kanan - Taib

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan kaum Dayak di negeri ini menerima politik kurang kontroversi yang dibawa oleh Barisan Nasional, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, hari ini.

Taib berkata Jabu yang menjadi timbalannya sejak beliau menjawat jawatan ketua menteri pada 1981, memainkan peranan penting dalam membangkitkan kesedaran kaum Dayak supaya memberi lebih perhatian terhadap inti pati pembangunan.

"Beliau orang kanan yang sangat berdedikasi. Beliau sebenarnya lebih daripada sekadar orang kanan saya," katanya dalam sidang media, di sini.

Beliau ditanya mengenai peranan Jabu selepas ini susulan peralihan kepimpinan yang menyaksikan Taib bersara pada 28 Februari ini dan diganti oleh Menteri Tugas-tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Taib berkata, beliau percaya Jabu akan terus memainkan peranannya dalam mempromosikan kerjasama antara pelbagai kaum apabila Adenan mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri.

Mengenai khabar angin bahawa Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg akan dilantik timbalan ketua menteri dalam kabinet Adenan, Taib berkata, terserah kepada ketua menteri yang baharu untuk memutuskannya.

Katanya, sekalipun pasukan yang diaturnya selama ini bersemangat untuk melihat apa lagi yang boleh mereka lakukan berbanding jawatan yang bakal dipegang, beliau percaya Adenan mempunyai percaturan sendiri untuk memelihara semangat itu.

"Saya mesti ambil kira hakikat bahawa saya akan keluar dari gelanggang dan berada di luar lingkungan politik," katanya yang enggan mengulas lanjut isu itu. - BERNAMA

Tiada ulasan: