Khamis, 27 Februari 2014

Juanda Jaya bersedia jika dipilih

Mukah: Kehadiran Datuk Dr Juanda Jaya pada majlis terakhir Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di sini, semalam, menguatkan spekulasi pemilihannya sebagai calon mengisi kekosongan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.

Mufti Perlis itu hadir bersama Ahli Parlimen Igan, Datuk Abdul Wahab Dolah ke majlis Abdul Taib, ‘Pemimpin Bersama Rakyat’ di Kingwood Resort. 

Juanda, 42, yang berasal dari Igan mengakui terharu apabila ada pihak menyebutnya sebagai bakal calon bagi kerusi DUN Balingian yang akan dikosongkan Abdul Taib. 

“Syukur Alhamdulillah.... kerana ada juga yang menyebut nama saya dan jika betul saya yang dipilih, saya bersedia kerana sebagai anak didik Tan Sri (Abdul Taib), saya bersedia menerima apa sahaja arahan. 

“Enam tahun lalu, Tan Sri (Abdul Taib Mahmud) secara peribadi mengarahkan saya supaya pergi ke Perlis (menerima tawaran menjadi Mufti) dan saya akur kerana itu arahan beliau,” katanya.

Perkara besar Bagaimanapun, Juanda, menganggap pencalonan sebagai perkara besar yang perlu dibincangkan dengan pelbagai pihak serta mendapat persetujuan daripada pemimpin atasan. 

“Tambahan pula berkhidmat kepada masyarakat sekarang tidak lagi seperti masa dahulu. Terlalu banyak kehendak masyarakat hari ini terutama generasi muda yang perlu kita fahami. 

“Bagaimanapun, saya bersedia untuk memenuhi aspirasi generasi muda itu yang saya lihat perlu kita seimbangkan antara keperluan sosial dan insaniah,” katanya. 

Beliau yang bergegas ke Mukah dari Semenanjung awal pagi semalam, semata-mata mahu menghadiri majlis penghargaan kepada Abdul itu, bagaimanapun berkata kemunculannya bukan untuk memperkenalkan diri. 

Sebaliknya, kehadirannya sebagai mewakili masyarakat Melanau Igan untuk menyatakan penghargaan kepada Abdul Taib yang bersara dari jawatan Ketua Menteri, Jumaat ini. 

“Sebagai generasi yang membesar di bawah kepimpinan beliau, saya tentunya bangga dengan kejayaan beliau mengubah Sarawak daripada negeri paling mundur menjadi antara negeri terkaya di Malaysia ketika ini,” katanya. - BH

Tiada ulasan: