Selasa, 25 Februari 2014

Karpal Singh fail rayuan ketepi sabitan hasutan

Peguam veteran, Karpal Singh yang didapati bersalah kerana mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak ketika ketegangan krisis perlembagaan pada 2009 memfailkan rayuan untuk menterbalikkan keputusan itu.

Karpal yang berkerusi roda memfailkan notis rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi pagi ini.
Beliau kini perlu menunggu asas penghakiman daripada hakim perbicaraan sebelum menyerahkan petisyen rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Jumaat lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Paduka Azman Abdullah, berkata pihak pembelaan gagal membentuk keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

“Pendakwaan sudah membuktikan kes selepas mahkamah ini mendengar keterangan saksi pembela, penghujahan kedua-dua pihak dan penghakiman Mahkamah Rayuan,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 11 Mac untuk menjatuhkan hukuman bagi membolehkan pembela menyediakan mitigasi untuk mendapatkan hukuman lebih ringan.

Karpal, 73, yang juga pengerusi DAP, juga berdepan risiko hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen kerana sabitan kesalahan itu membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, wakil rakyat akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih  setahun.

Karpal menyertai senarai pemimpin DAP yang disabitkan salah di bawah undang-undang drakonian yang dikatakan oleh pengkritik sebagai direka untuk menyekat penentangan.

Bekas ketua DAP Pulau Pinang, mendiang Dr Ooi Kee Saik adalah yang pertama pada 1970, diikuti mendiang Fan Yew Teng, yang juga ahli Parlimen Kampar dan pemangku setiausaha agung DAP pada 1975.

Lim Guan Eng juga didapati bersalah pada 1998 dan dihukum penjara 18 bulan. Beliau kembali aktif dalam arena politik pada 2004.

Karpal didakwa melakukan kesalahan itu di firma guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur pada 6 Februari, 2009.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu didakwa berkata penyingkiran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah boleh dipersoalkan di mahkamah undang-undang.

Pembelaan Karpal ialah beliau menawarkan pendapat undang-undang dan bukan mengugut Raja, yang juga pernah menjadi ketua hakim negara di Mahkamah Agung sebelum ini.

Pasukan pembelaan Karpal juga mencabar bahawa tuduhan itu dirangka dengan niat jahat kerana ada orang lain yang membuat kenyataan berbaur hasutan yang lebih teruk, tetapi tiada tindakan diambil.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, berkata Karpal mengeluarkan kenyataan hasutan dan niatnya tidak relevan untuk pendakwaan membuktikan apa-apa.

Noorin berkata, Karpal mempersoalkan prerogatif Sultan Perak mengikut Perlembagaan Perak.
Karpal pada awalnya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri pada Jun 2010.


Pada Januari 2012, Mahkamah Rayuan memerintahkan Karpal memasukkan pembelaannya di mahkamah selepas rayuan pendakwa raya dibenarkan. – 25 Februari, 2014. TMI

Tiada ulasan: