Rabu, 19 Februari 2014

Kerajaan serius selesai masalah NCR, pembangkang hanya mahu populariti

SIBU: Kerajaan sentiasa serius dalam perkara berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) termasuk membelanjakan ribuan ringgit bagi tujuan sukatan perimeter berban-ding pembangkang yang hanya mendapatkan populariti politik.

Sehubungan itu, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBC) Abdullah Saidol menafikan dakwaan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Baru Bian yang mendakwa rakyat lebih suka mendapatkan bantuan pembangkang berbanding wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam menyelesaikan masalah tanah mereka.

“Baru Bian hanya memuji dirinya sendiri, sedang kami (kerajaan BN) menerima dan melayan lebih banyak pertanyaan serta keraguan rakyat berhubung status tanah mereka.

“Perbezaannya ialah kita tidak memberi sebarang publisiti untuk hal-hal sedemikian, sebaliknya merujuk terus masalah seumpama itu kepada agensi kerajaan mengikut prosedur undang-undang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Baru pada sidang akhbar di Kuching Khamis lalu, meminta BNBC supaya bertanya pada diri mereka mengapa orang ramai lebih suka membawa masalah mereka terutama berkaitan tanah kepada pembangkang dan bukan Ahli-ahli Parlimen kerajaan.

Baru mendakwa keadaan itu disebabkan khidmat yang dibawa wakil rakyat BN tidak berkesan dan mereka mungkin tidak bersedia menyelesaikan masalah tersebut kerana terikat dengan polisi.

“Pembangkang tidak peduli sama ada tuntutan tanah dikemukakan adalah sah atau tidak, bahkan tidak mahu bekerja secara serius dengan kerajaan dalam menyelesaikan masalah termasuk memburuk-burukkan usaha kerajaan melakukan sukatan perimeter,” ujarnya

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menambah, pembangkang mungkin mengenakan yuran guaman untuk perkhidmatan mereka dan pada masa sama mereka memohon perhatian media mendapatkan populariti politik.

Beliau menegaskan, Malaysia merupakan sebuah negara yang demokratik dan rakyatnya ditadbir oleh undang-undang.

Oleh itu, mana-mana pihak mempunyai tuntutan sah yang berasa terkilan mereka bebas membuat tuntutan undang-undang atau pampasan melalui tindakan undang-undang yang betul.

Tiada ulasan: