Isnin, 24 Februari 2014

Ketua Menteri baharu mungkin rombak Kabinet

KUCHING - Selepas teka-teki mengenai siapa yang akan menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai ketua menteri terjawab, fokus sekarang tertumpu pada Kabinet negeri di bawah Ketua Menteri yang baharu Tan Sri Adenan Satem.

Adenan, 70, yang juga Menteri Tugas-tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri akan mengambil alih sebagai ketua menteri apabila perletakan jawatan Taib berkuat kuasa mulai 28 Februari.

Apabila dilantik sebagai ketua menteri yang baharu, Adenan dijangka membuat beberapa rombakan dalam barisan kabinet negeri walaupun sebelum itu menyatakan beliau akan mengekalkan barisan kabinet sekarang tetapi akan membuat rombakan dalam portfolio menteri dan menteri muda.

"Sebagai orang yang telah lama berkhidmat dalam kabinet negeri, Adenan tentu tahu siapakah calon yang sesuai untuk menyertai anggota kabinetnya," menurut seorang pemerhati dalaman.  

Menurut sumber-sumber, timbalan presiden Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang juga Menteri Perumahan dan Pelancongan negeri akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II sementara Tan Sri Alfred Jabu Numpang akan mengekalkan portfolio sebagai Timbalan Ketua Menteri I.    

Kekosongan jawatan Timbalan Ketua Menteri II tidak diisi sejak Tan Sri Dr George Chan, bekas presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tewas dalam pilihan raya negeri 2011.

Sementara itu, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) hari ini menyatakan sokongan atas pelantikan Adenan sebagai Ketua Menteri yang baharu.

Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom berkata, mesyuarat menyokong sepenuhnya keputusan Abdul Taib memilih Adenan sebagai pengganti beliau.

"Kami yakin beliau boleh meneruskan pentadbiran negeri ini dengan baik," kata Mawan pada sidang media selepas mesyuarat tiga jam di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Katanya, SPDP mengambil pendekatan untuk bergerak ke hadapan bagi memastikan ia memenangi kesemua kerusi yang akan ditandingi pada pilihan raya negeri akan datang.   

Menurut Mawan, Timbalan Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing diberi peranan untuk mengetuai jawatankuasa bagi tujuan itu termasuk berkaitan cadangan menerima semula lima anggota Kumpulan 5 (G5) yang dipecat daripada parti sebelum ini.

Lima anggota yang dipecat ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Sylvester Entrie Muran  (Marudi), Rosey Yunus (Bekenu),
Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan bekas anggota Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe.

Baru-baru ini timbul gesaan supaya pucuk pimpinan SPDP menerima semula kelima-lima pemimpin yang dipecat itu demi mengembalikan kekuatan SPDP dan BN bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Mawan berkata pihaknya mengambil pendekatan terbuka dalam hal itu tetapi kelima-lima pemimpin terbabit perlu memohon untuk menyertai semula parti itu. - Bernama

Tiada ulasan: