Jumaat, 28 Februari 2014

KPN nafi 60 anggota polis disiasat SPRM

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan laporan sebuah portal berita mengenai 60 anggota polis disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terbabit dalam pengubahan wang haram dan rasuah.

"Saya sudah berjumpa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan beliau sendiri terkejut dengan laporan itu. Beliau bertanya daripada mana mereka dapat laporan tersebut.

"Beliau beritahu saya laporan itu palsu, tidak benar sama sekali," katanya selepas majlis ramah mesra bersama pesara pegawai kanan polis di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak, hari ini.

Sehubungan itu, Khalid meminta pihak terbabit berhati-hati dengan sumber berita mereka.

"Jangan laporkan daripada sumber yang tidak betul, entah tukang kebun mana dia (wartawan) itu jumpa untuk dapatkan cerita yang tidak betul ni," katanya sambil menambah pihaknya menyerahkan kepada SPRM dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut terhadap laporan palsu tersebut.

Mengikut laporan portal itu, kira-kira 60 anggota polis disyaki menerima rasuah daripada pengendali perniagaan haram di ibu negara.

Perniagaan itu meliputi perjudian di kafe siber, rumah urut dan sarang pelacuran. - TMI

Tiada ulasan: