Jumaat, 21 Februari 2014

Kumpul petisyen bantah cadangan lantik Taib sebagai TYT didalangi pembangkang

KUCHING: Tindakan mengumpul petisyen menggunakan laman sesawang untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah cadangan pelantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak selepas beliau melepaskan jawatan Ketua Menteri pada 28 Februari ini diyakini didalangi parti pembangkang.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata, tindakan itu sebagai cubaan mengalihkan perhatian umum daripada masalah dalaman dihadapi parti pembangkang sendiri yang semakin hari semakin menyerlahkan kelemahan mereka.

“Saya yakin tindakan yang diambil oleh pihak tertentu ini didalangi oleh parti pembangkang yang cuba mengalihkan perhatian kita daripada masalah dalaman mereka yang semakin hari semakin menyerlahkan kelemahan mereka.

“Siapa dan apa hak mereka ini untuk mengajar kita orang Sarawak tentang corak kepimpinan kita?” ujarnya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu semalam.

Abdullah yang juga pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak menambah, sikap ‘mereka’ itu secara tidak langsung memberi gambaran sebenar tentang amalan budaya politik mereka yang biadap dan angkuh.

Menurutnya semua wakil kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam mesyuarat yang lepas telah sebulat suara bersetuju mencadangkan Taib dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri selepas beliau bersara pada 28 Februari ini.

“Mungkin ‘mereka’ lupa BN Sarawak menang majoriti dalam Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum lepas.

“Oleh itu, ingin saya mengingatkan mereka ini supaya kemaskan rumah mereka sendiri dahulu, sebelum sibuk tentang rumah kami di Sarawak,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kepimpinan BN di Sarawak ingin meneruskan falsafah politik pembangunan yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar dan ia hanya dapat dilakukan dengan persefahaman kukuh serta bantuan peruntukan dari kerajaan persekutuan. 

Borneo Post 21.2.2014

Tiada ulasan: