Khamis, 20 Februari 2014

Lagi Perlantikan TYT Sarawak, Abdul Azizi Bari kritik Taib.

Abdul Aziz Bari
Parti pembangkang di Sarawak dan ahli akademik berpadu suara sependapat menyatakan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang bakal meninggalkan jawatannya patut dibersihkan daripada semua tuduhan rasuah yang dilemparkan kepadanya sebelum dilantik sebagai ketua negeri yang baru.
Mereka berkata, jawatan ketua negeri itu walaupun pada asasnya lebih kepada istiadat, ia adalah simbol perpaduan rakyat Sarawak dan tindakan mencari perlindungan menerusi kedudukan itu adalah salah terutama apabila ia dikatakan menawarkan imuniti daripada pendakwaan.
Bantahan mereka tertumpu kepada imej tercemar Taib.
Mereka mahu supaya penggal Gabenor Tun Abang Mohammad Salahuddin Abang Barieng dilanjutkan sehingga Taib dibebaskan daripada tuduhan itu.
Bagaimanapun, spekulasi tersebar menyatakan Taib, 78, akan memasuki pejabat Yang di-Pertua Sarawak yang ke-7 pada 1 Mac.
Beliau dijangka menerima perkenan lantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim.
Pada minggu lalu, Taib mengumumkan akan meletak jawatan pada hujung bulan ini yang akan digantikan oleh Tan Sri Adenan Satem, bekas adik iparnya.
Pakar undang-undang perlembagaan, Abdul Aziz Bari, berkata Agong yang melantik ketua negeri Sarawak selepas mendengar nasihat daripada ketua menteri.
“Perdana menteri tiada peranan dalam hal ini dan Agong tidak perlu mendapatkan nasihatnya. Sebaliknya, Agong boleh mendapatkan pandangan daripada ahli lain dalam Majlis Raja-Raja,” katanya yang juga pensyarah di Fakulti Sains Sosial Universiti Selangor.
Beliau berkata, individu yang boleh memberi penghormatan kepada jawatan itu patut dilantik dan ahli politik bersara tidak patut dipertimbangkan untuk jawatan berkenaan di Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang, iaitu negeri yang tidak mempunyai sultan.
Aziz berkata, bagi Sabah dan Sarawak, pelantikan adalah penting kerana ketua negeri adalah benteng terakhir untuk mempertahankan hak negeri.
“Kebenaran gabenor Sabah dan Sarawak diperlukan jika ada pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang akan memberi kesan terhadap hak negeri-negeri berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan: