Selasa, 4 Februari 2014

Parti komponen BN sedia bantu SUPP selesai masalah

KUCHING: Parti komponen Barisan Nasional (BN) bersedia membantu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyelesaikan masalah parti itu di bawah semangat BN.

Ketua Pemuda BN Negeri Datuk Fadillah Yusof berkata, sejak dari dahulu lagi, setiap parti komponen sentiasa menghulurkan bantuan kepada parti komponen lain yang berdepan masalah.

Bagaimanapun menurutnya, parti komponen BN di negeri ini hanya dapat memberi pandangan dan nasihat manakala tindakan untuk menyelesaikan masalah perlu diambil SUPP sendiri.

“Dengan semangat BN, kami sedia membantu SUPP kerana memang menjadi tradisi setiap parti komponen saling membantu antara satu sama lain.

“Namun bantuan yang kami berikan ada had. Kalau ada masalah dalaman, mereka sendiri sahaja yang dapat menyelesaikannya.

“Apa yang dapat kami lakukan adalah memberi pandangan dan nasihat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin yang mahu parti komponen BN yang lain membantu SUPP.

Chin dipetik sebagai berkata, jika memohon bantuan daripada parti komponen BN lain mampu membantu menyelamatkan parti tertua di Sarawak itu, beliau akur untuk berbuat demikian.

“Jika ia hanya krisis dalaman yang dihadapai SUPP, kami mungkin dan pastinya mampu menyelesaikannya secara dalaman.

“Namun SUPP bukan hanya berdepan dengan masalah dalaman parti ini sendiri tetapi masalah yang lebih besar lagi iaitu berdepan dengan pembatalan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), yang ketika ini membabitkan cawangan saya, Bekenu dan Piasau,” ujarnya.

Fadillah yang juga ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjelaskan, setiap keputusan yang diambil SUPP akan dihormati parti komponen BN yang lain.

Sementara itu Setiausaha Agung Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Datuk Nelson Balang Rining berkata, setakat ini belum ada perbincangan dibuat antara SPDP dan SUPP mengenai bantuan yang diperlukan.

“Belum ada sebarang perbincangan berhubung perkara ini,” jelasnya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Wilfred Rata Nissom berkata, parti tersebut mengambil langkah berkecuali dan enggan mencampuri urusan SUPP.

“Kita tidak akan masuk campur dalam perkara ini,” kata Nissom.


Read more: http://www.theborneopost.com/2014/02/03/parti-komponen-bn-sedia-bantu-supp-selesai-masalah/#ixzz2sHY7RNQx


Tiada ulasan: