Jumaat, 7 Februari 2014

PAS mohon Agong tidak lantik Taib Mahmud jadi TYT Sarawak

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS akan memohon campur tangan Yang di Pertuan Agong (YDPA) mempertimbangkan untuk tidak melantik Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sarawak yang baru.
Ketua Pemuda PAS Suhaizan berkata, Abdul Taib perlu di’bersih’kan dulu daripada tuduhan skandal rasuah dan salah guna kuasa sebelum diangkat menjadi TYT.
“Kami akan bertemu dengan pihak Istana Negara memohon YDPA mempertimbangkan untuk tidak melantik beliau sebagai TYT selagi beliau belum dibersihkan daripada rasuah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.
Undang-Undang Tubuh Negeri Sarawak menyatakan kuasa melantik TYT terletak ditangan YDPA mengikut budi bicara selepas berbincang dengan Ketua Menteri Sarawak.
Spekulasi bertiup kencang apabila Abdul Taib merancang untuk melepaskan jawatannya dalam masa terdekat, berdekatan dengan tarikh
tamatnya perkhidmatan TYT Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 28 Februari ini.
Abang Muhammad Salahuddin sepatutnya tamat tempoh perkhidmatannya pada 6 Disember tahun lalu, namun dilanjtkan sehingga sekarang.
Abdul Taib juga dijangka melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian untuk menjadi TYT sekaligus menjangkakan kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.
Ketua Menteri Sarawak yang baharu akan dilantik terlebih dahulu sebelum berlakunya perlantikan TYT menggantikan Abang Muhammad Salahuddin.
Sebelum ini, NGO antarabangsa Bruno Manser Fun (BMF) yang berpusat di Switzerland menganggarkan aset keluarga Abdul Taib bernilai USD$21 bilion (RM64 bilion).
Namun menurut Suhaizan, sehingga kini masih tiada pendakwaan dibuat keatas beliau dan hanya kertas siasatan demi kertas siasatan sahaja dibuka.
Katanya, perletakan jawatan sebagai Ketua Menteri ini sepatutnya menjadi peluang keemasan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysi
(SPRM) untuk membuka semula kertas siasatan sebelum ini atau buka fail
siasatan baru.
Beliau berkata pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada SPRM untuk mendesak agar Abdul Taib disiasat dan didakwa.
Ini kerana SPRM menurut Suhaizan sebelum ini seolah-olah dihalang untuk mendakwa malah gagal menyiasat sepenuhnya mungkin kerana kuasa yang dimilikinya.
“Jika beliau gagal dihadapkan kemuka pengadilan tetapi tetap dilantik sebagai TYT Sarawak maka rakyat bakal menyaksikan pengulangan kes yang sama sepertimana yang berlaku keatas Tan Sri Khalil Yaakob di Melaka di mana segala tuduhan dan aduan rasuah keatas beliau lenyap sama sekali setelah dilantik menjadi Tuan Yang Di-Pertua Negeri Melaka,” tegasnya.
Selain itu, beliau juga menuntut penjelasan daripada Pusat Zakat Sarawak, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Peguam Negara berkenaan dengan status zakat, bayaran cukai dan kes skandal beliau serta pengesahan tapisan daripada agensi berkenaan sebelum beliau dilantik menjadi TYT Sarawak.
Sumber : Sila klik disini

Tiada ulasan: