Rabu, 26 Februari 2014

PAS pertikai tindakan Imigresen Sarawak tolak kemasukan Mazlan Aliman

Andri Zulkarnaen, Ketua Penerangan Badan Perhubungan Sarawak
KUCHING: Badan Perhubungan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak memohon larangan masuk terhadap Pengerusi Lajnah Tanah PAS Pusat Mazlan Aliman di Lapangan Terbang Sibu diperjelaskan.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Sarawak Andri Zulkarnaen Hamden berkata, penangkapan itu adalah tidak wajar kerana tanpa asas kukuh sebab ia dibuat.

“Beliau tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan jenayah di seluruh Malaysia khususnya Sarawak.

“Sudah menjadi amalan di mana-mana juga di dunia ini, seseorang ditahan atau dihalang dari memasuki sesuatu negara atau negeri mestilah dibuktikan bersalah berserta fakta-fakta kukuh lagi konkrit,” katanya ketika ditemui selepas bertemu dengan pegawai-pegawai kanan Jabatan Imigresen Negeri di Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga di sini, semalam.

Mazlan yang menaiki penerbangan dari Senai, Johor tiba di Lapangan Terbang Sibu jam 11.25 pagi Sabtu lepas apabila ditahan dan dihalang masuk ke Sarawak tanpa sebarang alasan munasabah.

Beliau yang merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Penganjur Program Himpunan Tanah Rakyat yang diadakan di Beting Maro, Pusa, kemudian dihantar balik ke Senai pada jam 12.15 tengah hari pada hari yang sama.

Menurut Andri, Mazlan telah membuat semakan imigresen sebelum ini dan disahkan tidak ada sebarang halangan untuk masuk ke Sarawak.


“Jelas sekali penahanan Mazlan ini adalah bersifat politik dan ulangan kepada penahanan dikenakan terhadap beliau pada 6 Julai 2011 di Lapangan Terbang Miri,” katanya. - BP

Tiada ulasan: