Sabtu, 22 Februari 2014

PAS Sarawak dakwa Jabatan Imigresen tunduk kepada desakan politik?

PAS Sarawak kesal dengan penahanan Pengerusi Lajnah Tanah PAS Pusat, Mazlan Aliman di Lapangan Terbang Sibu kira-kira jam 11.25 pagi tadi.
Andri Zulkarnaen
Ketua Penerangannya, Andri Zulkarnaen Hamden (gambar) berkata penangkapan ini amat tidak wajar kerana tiada asas kukuh mengapa Mazlan ditahan.
"Beliau tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan jenayah di Malaysia, khususnya di Sarawak. Alasan yang diberi pihak Imigresen yang menyatakan bahawa pihak Pejabat Ketua Menteri tidak membenarkan Mazlan memasuki Sarawak jelasnya satu pencabulan kepada sistem undang-undang di negara kita, khususnya Sarawak."
Mazlan ditahan di lapangan terbang Sibu pagi tadi sebaik saja mendaftar di Imigresen Sibu untuk keluar dari lapangan terbang itu.
Mazlan dijangka bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Himpunan Tanah Sarawak di Beting Maro esok.
Ini adalah kali kedua Mazlan ditahan daripada memasuki Sarawak.
"Sudah menjadi amalan di mana juga di dunia ini, seseorang yang ditahan atau dihalang daripada memasuki sebuah negara atau negeri mestilah dibuktikan bersalah dengan fakta kukuh dan konkrit," kata Andri.
Beliau berkata, jelas sekali penahanan Mazlan ini bersifat politik, dan adalah ulangan kepada penahanan yang dikenakan terhadap beliau pada 6 Julai 2011 di Lapangan Terbang Miri.
"Pihak-pihak tertentu jelasnya takut dengan pendedahan demi pendedahan tentang penyelewengan dan skandal tanah melibatkan pemimpin BN di seluruh negara, khususnya Sarawak."
"Mazlan melalui NGO Anak dilihat menjadi duri dalam daging kepada penyangak tanah yang menjadikan tanah rakyat sebagai habuan mereka mengumpul kekayaan," tambah Andri Zulkarnaen.
Menurutnya, Badan Perhubungan PAS Sarawak menggesa Pihak Imigresen supaya tidak tunduk kepada desakan politik dalam menjalankan tugas mereka.
"Amat merbahaya jika Jabatan Penguatkuasa seperti Imigresen tunduk kepada tekanan politik seperti kes Mazlan ini.
"Kami menggesa Mazlan segera dibenarkan memasuki Sarawak untuk meneruskan program Himpunan Tanah Sarawak yang dijadualkan berlangsung esok di Dun Beting Maro. Ianya dianjurkan dengan kerjasama Lajnah Tanah dan Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak."
Dalam perkembangan berkaitan, Andri juga melahirkan kekesalannya dengan beberapa kes ugutan yang dilakukan pihak tertentu kepada Ahli Jawatankuasa Program dan peserta program esok.
"Salah seorang AJK kami diugut akan ditangkap jika datang ke kawasan beberapa Rumah Panjang di Beting Maro untuk mengajak penghuni Rumah Panjang hadir ke program esok."
"Selain itu, kami juga percaya Tuai beberapa Rumah Panjang di kawasan tersebut juga diugut sehingga mereka tidak berani untuk memberikan kerjasama kepada program kami, sedangkan semalam mereka begitu bersemangat untuk bersama-sama menjayakan program tersebut." kata beliau.
Andri berkata ugutan itu adalah suatu tindakan primitif, pengecut dan tidak professional pihak tertentu yang jelas takutkan bayang-bayang sendiri.
"Mereka takut penghuni di Rumah Panjang seperti Manggu Manggeris, Mutton Jawi dan lain-lain terus memberikan sokongan kepada usaha PAS untuk mengembalikan hak kepada rakyat Sarawak dari segi pemilikan tanah." tambah beliau.

Sementara itu, Mazlan Aliman menulis di Facebook menyatakan bahawa beliau sudah kembali ke Johor dan baru sahaja mendarat di Lapangan Terbang Senai sebentar tadi. – 22 Februari, 2014.

Tiada ulasan: