Rabu, 26 Februari 2014

PBB mesyuarat tentukan calon Balingian

KUCHING - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti komponen terbesar dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak, akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi untuk memutuskan calon BN bagi kerusi Dun Balingian yang akan dikosongkan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Jumaat ini.
    
Setiausaha Agung PBB, Datuk Dr Stephen Rundi memberitahu Bernama hari ini, bahawa parti itu telah mula membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil itu selepas Taib mengumumkan beliau akan meletak jawatan sebagai ketua menteri pada 28 Februari.

Taib yang mempertahankan kerusi Balingian sejak pilihan raya negeri 2001, berkata beliau menyerahkan kepada bakal Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem untuk mengumumkan calon BN.

"Kami telah menjangkanya (Taib berhasrat untuk mengosongkan kerusi Balingian) dan telah membuat persiapan yang perlu...dan kami yakin dapat mempertahankan kerusi itu," kata Dr Rundi yang juga Setiausaha Agung BN Sarawak.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dijangka mengadakan persidangan media esok untuk mengumumkan mengenai pengosongan kerusi Balingian. - Bernama

Tiada ulasan: