Rabu, 12 Februari 2014

Pelabuhan laut dalam kedua bertaraf dunia di Bintulu

BINTULU: Bintulu bakal mempunyai sebuah lagi pelabuhan laut dalam bertaraf antarabangsa apabila Samalaju Industrial Port Sdn Bhd (SIPSB) siap sepenuhnya pada 2016.


Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelabuhan yang beroperasi di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) itu kelak akan melancarkan urusan import dan eksport serta perdagangan lain, sekali gus memperkasakan industri perkapalan dan pelabuhan laut dalam di negeri ini.

“Setakat ini, kos pembinaan SIPSB menelan belanja berjumlah RM1.8 bilion menumpukan kepada pembinaan dermaga dan tempat kapal berlabuh yang dijangka siap pada April nanti,” ujarnya pada sidang media ketika sesi lawatan kerja ke tapak SIPSB di SIP yang merupakan kawasan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Sambil menyifatkan projek pembinaan pelabuhan kedua Bintulu itu sebagai tepat pada masanya, Awang Tengah yakin pelabuhan yang mampu menampung kapasiti mencecah 80 juta tan itu mampu melancarkan import dan eksport melibatkan industri berat yang dijalankan dalam projek SCORE.

“Buat masa sekarang, sebanyak enam syarikat beroperasi di SIP membuat perjanjian komersial dengan SIPSB bagi menjalankan pelbagai urusan import dan eksport serta penghantaran barangan ke pelbagai destinasi berkaitan dan operasi semasa mereka di kawasan perindustrian mega terbabit,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, loji perawatan air bersih di SIP yang beroperasi mulai Mac depan akan meningkatkan kapasiti air ke seluruh kawasan industri dan penempatan di SIP, sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan air di kawasan itu.

Justeru, Awang Tengah melahirkan rasa bangga dengan syarikat kontraktor tempatan yang dilantik kerana berjaya menjalankan projek pembinaan penyediaan prasarana dan kemudahan di SIP dan siap seperti dirancangkan, khususnya SIPSB yang berperanan besar melancarkan projek SCORE.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) Datuk Mior Ahmad Baiti Mior Lub Ahmad.

Tiada ulasan: