Rabu, 26 Februari 2014

Pembangkang sedaya upaya halang Taib jadi TYT

KUCHING: Laluan Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk menjadi Tuan Yang Terutama (TYT) bakal menemui jalan sukar apabila Adun Padungan, Wong King Wei mengemukakan saman writ.

Wong mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Kuching tengah hari semalam untuk melarang Taib daripada menerima pelantikan sebagai TYT Sarawak.

“Kita mencari pengadilan ini melalui mahkamah kerana perkara ini melanggar Artikel 2(2) perlembagaan negeri,

“Permohonan injuksi ini akan diajukan pada esok hari dan mahkamah perlu mendengar perkara ini secepat mungkin sebelum hari Sabtu,” kata beliau ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata Taib harus dilarang atau ditegah untuk menjadi TYT Sarawak kerana Artikel 2(2) perlembagaan negeri berkata bahawa TYT tidak boleh terlibat aktif dengan apa-apa jenis perniagaan atau syarikat.

Untuk rekod Taib memegang jawatan sebagai Pengarah syarikat Mesti Bersatu Sdn. Bhd (Company No 758849) sejak 9 Mei 2007 dan sehingga kini tetap menjadi salah satu  Pengarah Mesti Bersatu.

“Defendan merupakan pemegang saham Mesti Bersatu dengan jumlah pegangan 400,000 saham dalam syarikat,

“Kita memberikan 14 hari kepada Taib yang memegang jawatan Ketua Menteri sejak 26 Mac 1981 untuk tampil sebelum mahkamah dari tarikh saman writ dikemukakan atas beliau,” tegas beliau.

Menurut Wong, kes terbabit akan didengar pada esok hari di Mahkamah Tinggi Kuching oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah, Yang Arif Chew Soo Ho. - FMT

Tiada ulasan: