Selasa, 4 Februari 2014

Pemuda PAS tidak setuju DSAI jadi MB Selangor

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat  berkata, pergerakan itu akan menyokong ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat
Bagaiamanapun, tidak sesekali menyokong jika Ketua Pembangkang itu berhasrat mahu menjadi menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Pemuda PAS ingin menegaskan bahawa menyokong Anwar sebagai calon PRK DUN Kajang tidak bermakna kami bersetuju beliau menjadi menteri besar Selangor,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.
Suhaizan berkata, mesyuarat biro politik Pemuda PAS malam tadi turut memberi amaran supaya tidak mengheret Pakatan Rakyat membincangkan mengenai isu pelantikan menteri besar yang baru ekoran polemik Kajang.
Katanya, Pemuda PAS juga mendesak mana-mana pihak termasuk Pakatan Rakyat menghentikan daripada menimbulkan isu mengenai pengganti Khalid.”Pemuda PAS mendesak agar isu menteri besar dihentikan segera kerana rakyat Malaysia sudah muak dengan polemik politik yang tak berkesudahan,” tegasnya.
Pihaknya turut kesal dengan tindakan PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang yang dianggapnya sebagai tergesa-gesa, membazir masa dan duit rakyat.
Malah ia  mendedahkan Pakatan Rakyat kepada risiko kemerosotan sokongan rakyat, katanya.

`Menghormati muafakat’
“Walaubagaimanapun kita menghormati muafakat Pakatan Rakyat yang memberi hak mengurus DUN kepada parti yang menang dalam pilihan raya lepas.
“Justeru Pemuda PAS mendesak agar mana-mana komponen Pakatan Rakyat tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa akan datang,” katanya.
Ditanya mengenai suara beberapa pemimpin PAS sebelum ini yang tidak bersetuju dan mahu memboikot PRK Kajang, Suhaizan berkata itu cuma pandangan dan menghormatinya.
“Kita meraikan kepelbagaian pandangan, itu hanya pandangan bukan keputusan.
“Prinsipnya kita mahu pembaziran berlaku tetapi kita juga tak mahu memberikan kemenangan percuma kepada BN,” katanya.
Sementara itu, beliau menggesa mana-mana pihak yang bertanding termasuk PKR perlu mengelakkan pembaziran daripada berlaku.
Katanya, kerajaan pusat dan Selangor perlu mengelakkan projek-projek ‘mi segera’ yang akan mengorbankan wang rakyat.
“Rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barang akan menghukum mana-mana pihak yang dilihat membazir,” katanya.

Tiada ulasan: