Sabtu, 8 Februari 2014

Pemuda PAS tukar pendirian: Sokong Anwar jadi MB Selangor !!?

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS tidak menolak kemungkinan akan menyokong Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebgai Menteri Besar Selangor menggantikan penyandangnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS Pusat
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat berkata, pihaknya terpaksa akur jika perkara itu diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat.
“Tak sokong (sebelum ini) sebab belum ada keputusan daripada Majlis Presiden (Pakatan Rakyat).
“Kalau sudah ada keputusan dibuat kita akur keputusan pimpinan parti.
“Dia (keputusan) belum dibuat lagi maknanya Menteri Besar sekarang masih lagi Khalid Ibrahim,” katanya hari ini.
Pemuda PAS sebelum ini berbeza pendirian akan menyokong Anwar bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Tetapi sama sekali tidak akan menyokong jika Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berhasrat mahu jadi Menteri Besar sekiranya menang PRK Mac depan.
“Pemuda PAS ingin menegaskan bahawa menyokong Anwar sebagai calon PRK DUN Kajang tidak bermakna kami bersetuju beliau menjadi Menteri Besar Selangor,” katanya Selasa lalu.
Suhaizan bagaimanapun berkata, Anwar perlu melalui proses penilaian Majlis Presiden terlebih dahulu dan memberi kepercayaan penuh kepada pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat membuat keputusan.
“Dia (Anwar) kata mungkin akan serah (keputusan) kepada Majlis Presiden. Itu yang sewajarnya,” katanya.
Majlis Presiden terdiri daripada pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, iaitu Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, selain Anwar selaku Ketua Pembangkang.
Anwar semalam membayangkan kemungkinan beliau dilantik menggantikan Khalid jika menang PRK Kajang kerana baginya dalam dunia politik tiada apa jawatan yang kekal termasuk kerusi Menteri Besar.
“Kemungkinan itu ada, Kita kena bincang ikut proses Pakatan. Ada urusan berkenaan dengan Tuanku (Sultan Selangor) kerana isu Perlembagaan ini bukan hanya naik mahkamah sahaja,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.
Sementara itu, Khalid bagaimanapun dilaporkan enggan berundur sekalipun beberapa didesak berbuat demikian, namun mengakui akan ’turun’ dengan sendirinya jika merasakan khidmatnya tidak lagi diperlukan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kajang pada 23 Mac manakala hari penamaan calon akan diadakan pada 11 Mac depan.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari membabitkan 1,977 pengundi.
Ini adalah PRK ketiga dalam tempoh lapan bulan sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selepas PRK DUN Kuala Besut, Terengganu dan DUN Sungai Limau di Kedah.
Sumber : Sila klik disini

Tiada ulasan: