Khamis, 20 Februari 2014

Pemuda PBB kecam campur tangan pihak luar dalam hal ehwal rakyat Sarawak - Kenyataan Media Ketua Pemuda PBB

YB Datuk Fadillah Yusof, Ketua Pergerakan Pemuda PBB
KENYATAAN MEDIA 
KETUA PERGERAKAN PEMUDA 
PARTI PESAKA BUMIPUTERA BERSATU (PBB)

Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan laman sesawang sebagai wadah untuk melemparkan fitnah dan memburuk-burukkan pucuk kepimpinan negeri Sarawak.

Tindakan laman sesawang berkenaan yang mengumpul petisyen untuk dihantar kepada Ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong, bagi membantah cadangan perlantikan Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak selepas melepaskan jawatan Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari ini, bertentangan dengan kehendak dan hasrat suara majoriti rakyat Sarawak sendiri, yang mahukan perlantikan berkenaan, sebagai tanda penghormatan kepada Pehin Sri Haji Abdul Taib, yang banyak berjasa kepada negeri Sarawak.

Pemuda PBB menganggap tindakan pihak berkenaan yang menggunakan laman sesawang change.org untuk membuat pelbagai andaian berbaur fitnah terhadap Pehin Sri Haji Abdul Taib, sebagai keterlaluan dan harus dikecam. Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap pucuk kepimpinan negeri Sarawak yang juga Presiden PBB itu tidak berasas sama sekali dan lebih bermotifkan berkepentingan politik.

Pehin Sri Haji Abdul Taib mempunyai rekod cemerlang menerajui Sarawak selama 33 tahun, malah berjaya melonjakkan ekonomi Sarawak dengan menyaksikan sejumlah RM28 bilion pelaburan sudah diterima di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) setakat ini. SCORE juga diyakini akan meletakkan Sarawak sebagai negeri terkaya di Malaysia.

Justeru Pemuda PBB menganggap pihak berkepentingan yang cuba memburuk-burukkan pucuk kepimpinan negeri Sarawak, sebenarnya cemburu dengan kekuatan Barisan Nasional (BN) di Sarawak, kemakmuran yang dinikmati rakyat Sarawak dan keharmonian kaum di Sarawak, sehingga sanggup melakukan apa sahaja cara bagi memburuk-burukkan kepimpinan cemerlang Ketua Menteri Sarawak dan bagi mencapai cita-cita politik mereka.

Pemuda PBB yakin rakyat Sarawak tidak mahu pihak luar yang menentukan siapa patut menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak dan siapa patut menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Pemuda PBB menjunjung prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara, dan akur siapa sahaja yang bakal dilantik oleh Ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong ke jawatan berkenaan. Lantikan jawatan itu adalah hak dan atas kebijaksanaan Ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Pemuda PBB,
YB Datuk Hj Fadillah Hj Yusof
19 Februari 2014

Tiada ulasan: