Isnin, 10 Februari 2014

Pesan Taib : Pastikan politik rasis UMNO tidak masuk Sarawak

Kuching : Tan Sri Abdul Taib Mahmud meninggalkan jawatan ketua menteri Sarawak dengan satu nasihat kepada penggantinya - sesiapa pun menggantikannya harus memastikan politik rasis Umno tidak masuk ke negeri itu.
Kenyataan Taib semasa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Barisan Nasional (BN) semalam memberi indikasi jelas bahawa penggantinya "harus tegas dan tidak berpaling" apabila berurusan dengan Putrajaya mengenai perkara yang melibatkan kepentingan Sarawak.
Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi, berkata Taib mengatakan penggantinya  perlu bersungguh-sungguh melindungi hak negeri seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963."Kita mesti berpegang kepada Perjanjian Malaysia dalam melindungi hak negeri ini," kata Rundi mengenai mesej Taib ketika ditanya apa yang berlaku dalam mesyuarat MT BN negeri di Kuching selain memberi ketua menteri itu mandat untuk memilih penggantinya.
Rundi berkata, bertegas dengan Putrajaya termasuk menghalang Umno masuk ke Sarawak yang dilihat tidak begitu mengendahkan perjanjian 20 perkara yang menjamin kepentingan dan hak Sarawak dan penduduknya apabila mereka bersetuju membentuk Malaysia bersama Malaya, Sabah dan Singapura.
Katanya, tiada sebab bagi Umno untuk melebarkan sayapnya ke Sarawak kerana Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Taib cemerlang dalam menguruskan negeri dan hak rakyat Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia.
Rundi berkata, sosio-etnik negeri berbeza daripada Semenanjung Malaysia dan lebih baik ia dikendalikan oleh rakyat Sarawak yang memahaminya dengan lebih baik.

Tiada ulasan: