Isnin, 24 Februari 2014

Presiden PAS fitnah rakan Pakatan, diperintah membayar saman oleh Mahkamah

Datuk Seri Hadi Awang, Presiden PAS
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diperintahkan membayar ganti rugi RM2 juta kepada calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin, berhubung kes saman fitnah.

Perintah penghakiman ingkar itu dikeluarkan semalam, selepas Abdul Hadi gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang difailkan pada 5 Disember lalu. Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mohamad Nasrudin Mohamed, merekodkan penghakiman itu selepas membenarkan permohonan Mohd Shamsul melalui peguamnya, A Vasudevan. 



Bayar ganti rugi
Vasudevan berkata, mahkamah turut memerintahkan Abdul Hadi membayar faedah lima peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi itu dari tarikh writ difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.


BH Sumber

IMBASAN BERITA TERDAHULU :

KUALA TERENGGANU 5 Dis. 2013 - Bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd. Shamsul Mat Amin hari ini memfailkan saman RM2 juta terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa telah memfitnahnya semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), April lalu.

Mohd. Shamsul, 28, yang juga Ketua Angkatan Muda PKR Dungun selaku plaintif memfailkan saman tersebut melalui firma guaman Tetuan Vasudevan A & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Plaintif ketika ditemui berkata, tuntutan saman itu dikemukakan setelah Abdul Hadi melalui peguamnya menghantar surat bertarikh 7 November kepadanya dengan menafikan beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu.

Menurut Mohd. Shamsul yang masih menjadi ahli PKR, tindakan saman itu diambil bagi membersihkan namanya dan dilakukan atas sifat peribadi serta tiada kaitan dengan parti itu yang sebelum ini memintanya agar tidak meneruskan hasrat berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, ucapan Abdul Hadi dalam satu ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April lalu telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan.

Plaintif yang merupakan pemaju perumahan juga mendakwa berdepan dengan tekanan emosi dan mental yang berpanjangan setelah menerima cemuhan dan penghinaan serta dipandang serong oleh masyarakat.
Menurut plaintif, Abdul Hadi membuat tuduhan tersebut sebagai penjelasan kepada tindakan meletakkan calon-calon Pas di tempat-tempat yang ditandingi oleh calon PKR sehingga mengakibatkan berlaku pertindihan calon dalam pakatan pembangkang.

"Kawasan pilihan raya DUN Bukit Besi tempat saya berdaftar untuk bertanding juga merupakan satu tempat calon Pas telah diletakkan untuk bertanding.

"Maka tuduhan dan kata-kata Abdul Hadi yang berunsur fitnah tersebut merujuk secara langsung kepada plaintif dan membawa maksud plaintif yang merupakan calon PKR terlibat dalam kegiatan jenayah menjual pil kuda," dakwa plaintif.

Dakwanya lagi, tuduhan Abdul Hadi yang dinamakan sebagai defendan telah tersebar luas dalam semua media utama manakala rakaman ceramah dimuat naik di internet yang boleh dibaca dan didengar oleh masyarakat Malaysia secara meluas.

Perkara itu, dakwa beliau, memberi gambaran plaintif adalah seorang yang tidak bermoral, tidak berpegang teguh kepada kepimpinan parti, bergiat dalam jenayah dan tidak boleh dipercayai untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan penduduk.

Berikutan itu, plaintif telah membuat laporan polis pada 22 Julai lalu bagi menyelamatkan reputasi dan nama baiknya.

Selain ganti rugi, plaintif menuntut perintah injunksi terhadap defendan daripada membuat sebarang kenyataan, pengucapan atau penulisan yang berunsur fitnah terhadapnya.

Dalam PRU-13 yang menyaksikan persaingan tiga penjuru itu, Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerusi melalui Roslee Daud dengan memperoleh 6,966 undi manakala calon Pas, Roslan Ismail (4,408) dan Mohd. Shamsul cuma memperoleh 52 undi.


Tiada ulasan: