Khamis, 27 Februari 2014

Raptai Majlis Angkat Sumpah KM baharu

KUCHING: Raptai Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Sarawak yang baharu, diadakan di Astana Negeri di Petra Jaya, semalam.

Raptai susun acara yang bermula jam 9 pagi itu diketuai Setiausaha Sulit Kanan Yang di- Pertua Negeri Datuk Khir Busrah dan disertai kakitangan-kakitangan Astana.

Menteri Tugas-Tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, 70, dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu esok (Jumaat) di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin di Astana Negeri.

Majlis rasmi itu adalah yang terakhir bagi Tun Abang Muhammad Salahuddin sebagai Yang di-Pertua Negeri sebelum Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengambil alih.

Tun Salahuddin menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 2 April 1977 hingga 1 April 1981 dan dilantik semula pada 5 Disember 2000 dan akan tamat pada 28 Februari ini.

Pada hari yang sama, Taib dijadualkan bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk diperkenankan sebagai Yang di-Pertua Negeri ketujuh.

Yang di-Pertua Negeri yang baharu dijangka akan menghadiri Majlis Angkat Sumpah di Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya pada Sabtu ini.- BP

Tiada ulasan: