Isnin, 24 Februari 2014

Riot bersedia menggalas jawatan Presiden SUPP jika diberi mandat

Richard Riot, Timbalan Presiden SUPP
SERIAN: Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Richard Riot Jaem menyatakan bahawa beliau bersedia mengemudi parti berkenaan jika diberi mandat dan kenyataan itu bukan berniat untuk bersaing dengan pemimpin tertinggi parti itu.

Beliau menambah, pasti akan ada pihak yang tidak akan suka dengan kenyataannya itu tetapi beliau tidak mahu perselisihan faham antara dua pemimpin tertinggi SUPP akan menyebabkan parti dibatalkan pendaftarannya.

“Sekiranya saya memegang jawatan berkenaan saya akan menambah pendaftaran ahli baharu dari kalangan belia dan mahu menyatakan di sini biarlah yang sudah berusia berundur untuk memberi peluang kepada mereka yang masih muda.

“Apa yang terjadi pada parti ini tidak menggembirakan saya tetapi sebagai timbalan presiden SUPP, saya tidak boleh melawan bos…saya masih ahli yang sah dan perlu menuruti apa yang dikehendaki oleh parti.

“Saya melihat kedua-duanya tidak akan berbaik dan bersatu semula dan sekiranya saya diberi mandat untuk menjadi presiden parti saya pasti akan melakukannya.

“Saya tidak kisah jika ada orang yang akan marah, kalau saya bukan pemimpin bagus saya tidur di rumah saja,” katanya ketika menjawab soalan pemberita semalam.

Beliau turut menyatakan masalah antara Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin dan Ketua SUPP Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh tidak akan terlerai.

Riot juga berkata dalam tempoh lima tahun akan datang masyarakat Cina dan bukan Cina akan menyedari betapa relevannya parti itu di Sarawak.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia turut mengakui lebih banyak program akan dijalankan bagi golongan belia sekiranya beliau diberi mandat.

“Beri saya satu penggal (tiga tahun), kalau saya gagal saya sendiri akan mengundur diri,” jelasnya.

Borneo Post

Tiada ulasan: