Selasa, 11 Februari 2014

"Selfie" penyebab kehilangan keyakinan diri

Jabatan Kesihatan Mental Thailand memberi peringatan kepada generasi muda yang obses dengan trend popular ‘selfie’ bahawa ia boleh menyebabkan mereka hilang keyakinan selain menyebabkan ketagihan yang boleh membawa kepada impak negatif terhadap kehidupan dan pekerjaan mereka.

Budaya selfie ini semakin popular di kalangan pengguna internet, terutama remaja dan kumpulan pelajar, dimana mereka memuat  naik gambar-gambar mereka ke laman media sosial bagi mendapatkan perhatian, kata Timbalan Ketua Pengarah, Panpimol Wipulakorn dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, sikap ini boleh menyebabkan masalah mental pada masa hadapan terutama sekali berkaitan keyakinan diri dimana ini boleh menyebabkan kesan negatif terhadap kehidupan seharian seseorang, karier dan juga pembangunan negara.

“Selfie menghasilkan kesan, lebih atau kurang, terhadap kehidupan seharian seseorang, bergantung kepada setiap individu. Memuat naik gambar (di laman media sosial) untuk mendapatkan perhatian dan ‘likes’ daripada teman seusia merupakan sifat normal manusia. Apabila melakukan sesuatu perkara dan kemudian mendapat ganjaran, setiap manusia pasti akan melakukannya lagi,” kata Dr  Panpimol.

“Walaubagaimanapun, ganjaran-ganjaran ini berbeza mengikut tahap kepuasan yang dapat diberikan kepada setiap individu. Sesetengah daripada mereka merasa gembira selepas berkongsi selfie mereka dan mendapatkan beberapa ‘like’, manakala sesetengah mengharapkan ‘like’ yang lebih banyak dimana ini boleh menyebabkan ketagihan untuk mendapatkan lebih banyak ‘like’.

"Sebaliknya, jika mereka merasakan mereka tidak mendapat perhatian secukupnya, mereka akan memuat naik selfie yang baru, namun tetap tiada sambutan. Ini boleh menjejaskan pemikiran mereka. Mereka boleh hilang keyakinan diri dan mempunyai sikap yang negatif terhadap diri sendiri, seperti rasa tidak puas hati dengan diri sendiri atau bentuk badan mereka.

“Memberi terlalu banyak perhatian kepada selfie sendiri dengan terus memeriksa komen yang diberikan kepada mereka dengan harapan mendapat jumlah ‘like’ paling banyak merupakan satu petanda bahawa selfie boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah buat  mereka, termasuk kemungkinan untuk hilang keyakinan,” tambah Dr Panpimol.

Thailand mempunyai kira-kira 19 juta pengguna Facebook dan 800,000 pengguna Instagram, menurut satu kajian oleh Agensi Pembangunan Transaksi Elektronik (ETDA), sebuah organisasi awam.

Tiada ulasan: