Ahad, 23 Februari 2014

SPDP sedia berdamai - Mawan

KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sedia membuka pintu kepada anggota Kumpulan Berlima (G5) untuk kembali semula kepada parti demi kepentingan Barisan Nasional (BN).
Tan Sri William Mawan

Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom malah berkata apa jua penyelesaian sama ada menerusi perdamaian atau sebaliknya ia tidak boleh dipengaruhi oleh perasaan peribadi dan perlu dilakukan atas semangat BN.

“Saya akui kami akan berdamai malah usaha telah pun kami lakukan dengan mengambil kira nasihat daripada pemimpin BN iaitu Perdana Menteri dan Ketua Menteri sedia ada termasuk bakal Ketua Menteri kita.

“Saya percaya setiap penyelesaian harus dilakukan atas semangat BN kerana apa sahaja yang berlaku dalam parti komponen akan memberi kesan kepada BN secara keseluruhannya,” katanya.

Mawan berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Pingat Peringatan 100 Tahun Berpengakap di Sarawak di Institut Pendidikan Guru Batu Lintang di sini semalam.

Tambah Mawan, apabila Perdana Menteri dan Ketua Menteri menggesa parti untuk bersatu dan berdamai, SPDP katanya telah melakukan semampu yang mungkin untuk mencapai hasrat tersebut.

Tetapi katanya, seperti yang sering dinyatakan, usaha perdamaian ini hanya akan berjaya dengan adanya persefahaman dan kerjasama daripada semua ahli parti dan parti komponen.

“Setelah kita bersatu kembali baharulah kita akan mendapat kepercayaan dan keyakinan daripada rakyat terhadap parti.

“SPDP bukan sahaja berhadapan masalah dengan bekasbekas ahli SPDP yang telah membentuk G5 malah turut mendapat tentangan daripada ahli-ahli biasa terutama di kawasan Saratok.

“Tetapi apa jua masalah, pintu SPDP tetap terbuka untuk mereka dan parti sedia menerima semula mereka atas semangat BN,” kata Mawan yang juga Menteri Kanan dan Menteri Pembangunan Sosial.

Ditanya sama ada SPDP akan membawa kembali G5 dalam parti, Mawan berkata ia boleh berlaku kerana di bawah perlembagaan parti mereka masih boleh memohon untuk menyertai semula parti.

“Sebab itu kita ada perlembagaan dan undang-undang parti.

“Mereka yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan tetapi pada masa yang sama mereka boleh memohon untuk menyertai semula parti,” ujarnya.

Dalam pada itu G5 terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie, ADUN Bekenu Rosey Yunus, ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri Muran, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Datuk Dr Tiki Lafe.

Tiada ulasan: