Ahad, 23 Februari 2014

SPRM jumpa RM20 juta dalam akaun bank polis yang disiasat kerana rasuah

Siasatan selama enam bulan yang dijalankan terhadap 60 pegawai polis yang disyaki terlibat dalam rasuah dan menggelapkan wang membongkar sesuatu yang mengejutkan – seorang pegawai kanannya mempunyai RM20 juta dalam beberapa akaun banknya, kata seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dengan syarat namanya tidak disiarkan, pegawai itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa pegawai kanan tersebut tidak dapat menjawab dari mana datangnya wang dalam banknya itu.

"Siasatan masih dijalankan. Akan ada lagi beberapa pendedahan dalam minggu-minggu akan datang," kata sumber itu.

Sumber juga berkata, tidak mustahil ada ramai lagi pegawai polis yang mengumpul harta boleh pindah atau tidak boleh pindah yang bernilai jutaan ringgit.

"Penyiasat juga terkejut dengan jumlah wang yang ada pada pegawai kanan ini, tetapi kami percaya banyak lagi yang akan kami temui," katanya.

Semua 60 pegawai polis itu, angka paling besar yang pernah disiasat SPRM serentak, kebanyakannya pegawai kanan yang bertugas di seluruh negara.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa pasukan yang merangkumi pegawai kanan daripada SPRM, Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Suruhanjaya Sekuriti dan polis telibat dalam penyiasatan ini.

Pasukan ini diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. Disebabkan masalah teknikal yang muncul baru-baru ini, pasukan penyisatan ini dibesarkan.

Sumber berkata, pasukan tersebut akan bertanggungjawab terus kepada Gani yang mengetuai siasatan bagi memastikan bukti sahih dapat dikumpul untuk menjamin pendakwaan yang kukuh dalam mahkamah.

Tiada ulasan: