Isnin, 24 Februari 2014

Taib bebas penyalahgunaan kuasa, rasuah

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal untuk mengaitkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan penyalahgunaan kuasa dalam kelulusan tanah yang diberikan kepada keluarganya kerana kelulusan dilakukan oleh dua menteri kanan negeri, kata sumber.

Dua menteri tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang merangkap menteri permodenan pertanian dan pembangunan luar bandar dan Datuk Awang Tengah Ali Hassan (menteri perancangan sumber dan alam sekitar II, menteri pembangunan perindustrian).

Kertas siasatan SPRM sudah dibuka lima tahun lalu kerana Taib dikatakan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan rasuah.

“Pasukan penyiasat mendapati Taib tidak membuat sebarang keputusan untuk mengelakkan menyalahi undang-undang tetapi mewakilkan dua menteri yang meluluskannya dalam dua majlis berbeza,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Mengikut seksyen 23 Akta SPRM 2009, seorang penjawat awam tidak boleh menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya untuk mendapat suapan rasuah, seseorang pengerusi atau ahli dalam sesuatu mesyuarat yang mempunyai kepentingan tidak boleh terbabit dalam membuat keputusan sama ada untuk dirinya, saudara-maranya atau sekutunya.

Akta SPRM mendefinasikan keluarga termasuk isteri, abang atau kakak, abang atau kakak ipar, pakcik, makcik, menantu lelaki dan perempuan.

Oleh kerana pasukan SPRM tidak mempunyai bukti Taib menyalahgunakan kuasa, maka kenyataannya tidak dapat direkodkan berhubung pemberian tanah kepada ahli keluarganya.

TMI

Tiada ulasan: