Jumaat, 21 Februari 2014

Taib janji tak campuri pentadbiran negeri selepas bersara

Petra Jaya: Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang bakal bersara hujung bulan ini menyatakan tidak akan mencampuri sebarang urusan pentadbiran kerajaan negeri selepas ini, malah memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada penggantinya, Tan Sri Adenan Satem untuk menerajui tampuk pentadbiran kerajaan negeri.

Malah, Abdul Taib yang kelihatan cukup ceria sepanjang sidang media di pejabatnya di Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia, di sini sebentar tadi turut menyatakan beliau amat menyakini kemampuan Adenan untuk meneruskan legasi kecemerlangan kepepimpinannya dalam memacukan kemajuan berterusan bagi Sarawak. 
Bagaimanapun, Abdul Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pengerusi BN Sarawak, berkata beliau sedia memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman bagi membantu penggantinya sekiranya diperlukan.

"Ini mungkin sidang media terakhir saya.... saya agak teruja menjelang hari persaraan saya. Saya yakin akan meninggalkan negeri ini kepada pemimpin baharu dan pasukannya yang diyakini keupayaannya untuk terus memacukan pembangunan dan kemajuan Sarawak," katanya.

Katanya, walaupun banyak cabaran menunggu, namun Adenan diyakini mampu menghadapinya dengan sokongan anggota Kabinet Sarawak dan segenap lapisan rakyat Sarawak.

Tiada ulasan: