Isnin, 24 Februari 2014

Taib mahu pemimpin SUPP, PRS, SPDP bertolak ansur demi kebaikan mereka

MIRI: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu ketiga-tiga pemimpin dalam parti komponen Barisan Nasional

(BN) Negeri supaya mengembalikan perpaduan dalam parti masing-masing.

Malah Taib dalam amanatnya sebelum berundur sebagai Ketua Menteri pada akhir bulan ini mahu pemimpin ketiga-tiga parti itu supaya menyemai sikap bertolak ansur demi kebaikan parti masing-masing dengan memelihat perpaduan dan persefahaman bagi mengelak timbulnya ‘ancaman-ancaman’ kecil yang boleh mewujudkan pertelagahan dalam parti.

“Dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), ini yang kami lakukan, dengan berasas kepada perpaduan dan semangat bertolak ansur untuk memelihara (perpaduan dan persefahaman) supaya persetujuan mengenai perkara besar tidak akan diancam oleh perkara yang kecil.

“Kami mempunyai budaya ini dalam PBB, ia adalah budaya politik kami (PBB) dan parti-parti lain sudah pun mulai mempunyai pandangan yang sama. Insya-Allah, mereka juga akan dapat naik semula,” katanya.

Taib berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai amanat dan nasihat beliau kepada parti-parti lain dalam komponen BN Negeri yang dilihat gagal mencapai apa yang telah dicapai oleh PBB sepanjang dipimpin oleh beliau.

Tiga parti komponen BNNegeri yang dimaksudkan oleh Taib ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan beliau berharap melalui percampuran ahli-ahli parti terbabit dengan ahli-ahli PBB, mereka akan menerima budaya politik PBB itu.

Namun Taib mengakui ia bukan perkara mudah sebaliknya memerlukan masa dan langkah yang berperingkat-peringkat untuk ketiga-tiga parti itu menerima budaya politik yang diamalkan oleh PBB itu.

Ditanya jika ada formula tertentu dilaksanakan oleh beliau dalam mengemudi PBB sejak lebih 30 tahun lalu, Taib berkata, pemimpin ketiga-tiga parti terbabit pastinya cukup bijak dalam memainkan peranan mereka.

“Kami dalam PBB mempunyai banyak orang Melayu, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu yang semakin banyak berpelajaran dan terpelajar dari luar bandar.

“Oleh sebab itu kami mempunyai banyak input untuk memimpin dengan dasar-dasar yang dapat diterima oleh semua kaum Bumiputera dan kemudiannya orang Cina,” tambah beliau.

Bagaimanapun masyarakat Cina di negeri ini tidak susah untuk diyakinkan terutama mengenai pembangunan kerana masyarakat tersebut katanya, sudah biasa dengan konsep pembangunan menerusi penyertaan mereka dalam perniagaan.

Borneo Post

Tiada ulasan: