Jumaat, 28 Februari 2014

Taib terima watikah perlantikan sebagai TYT Sarawak daripada Agong

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari berkenan menyerahkan watikah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kepada Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Istana Negara di sini.
   
Istiadat itu, yang berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak yang baharu Tan Sri Adenan Satem.
   
Selepas hampir 33 tahun menabur jasa sebagai Ketua Menteri, Taib secara rasmi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ketujuh menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang tamat perkhidmatan hari ini.
   
Semalam, Taib diraikan dalam satu majlis perpisahan ringkas tetapi penuh bermakna di bangunan pentadbiran negeri Sarawak dengan dihadiri kira-kira 300 kakitangan kerajaan yang bertugas bersama-sama beliau.
   
Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak keempat pada 26 Mac 1981 menggantikan bapa saudaranya Abdul Rahman Ya'akub.
   
Anak pertama daripada 10 beradik itu dilahirkan pada 21 Mei 1936 hasil perkongsian hidup antara Mahmud Abang Yahya dan isterinya Hamidah Ya'kub.
   
Taib memulakan kerjayanya sebagai hakim bersekutu kepada Hakim Herbert Mayo dari Australia Selatan selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Udang-undang pada 1961.
   
Beliau kembali bertugas di Sarawak dengan berkhidmat sebagai peguam negara Sarawak selama setahun pada 1961.
   
Taib menyertai dunia politik selepas menganggotai Majlis Perundangan Sarawak pada 1963 hingga 1966 dan dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Negeri serta Menteri Pembangunan dan Perhutanan Sarawak (1966-1967).
   
Kerjaya politik Taib di peringkat persekutuan bermula selepas beliau memenangi kerusi Parlimen Samarahan.
   
- Bernama

Tiada ulasan: